Wednesday, March 23, 2011

Isu dan Cabaran Melaksanakan Mata Pelajaran Vokasional (MPV) di SMK


  1. Penyediaan guru MPV berdasarkan bidang pengkhususan mengikut mata pelajaran MPV diperingkat ijazah pertama jelas menjadi keutamaan. Bagaimana pun sebagai langkah awal penawaran kursus bagi mata pelajaran berkaitan boleh dilaksanakan dengan menawarkan mata pelajaran baru dalam program sedia ada di jabatan/fakulti tertentu di institusi pengajian tinggi. Mata pelajaran di peringkat universiti boleh bersifat ‘teras’, ‘mata pelajaran wajib’ atau ‘elektif’. Orientasi pelaksanaan kursus haruslah bercorak ‘competency based’ dan modular supaya pendedahan terhadap ‘proses pengajaran dan pembelajaran MPV sebenar’ dapat diterapkan.
  2. Proses pengajaran dan pembelajaran MPV menekankan pembelajaran masteri dan kompetensi. Penggunaan modul pembelajaran memastikan pelajar dapat menguasai sesuatu tugas dalam sesuatu kompetensi, sebelum mereka bergerak ke tugas yang baru. Oleh itu selain aspek kemahiran yang perlu dikuasai oleh seseorang guru MPV, mereka juga perlu mempunyai kemahiran mengajar pembelajaran berasaskan keterampilan (competency base learning). Kaedah mengajar yang menekankan pedagogi konvensional adalah tidak lagi sesuai.
  3. Pada masa yang sama kepentingan menekankan keperluan ‘kemahiran bukan teknikal’ atau ‘employbility skills’ perlu diambil kerana kompetensi adalah satu unit tugasan (task) yang mengintegrasikan pengetahuan teknikal, kemahiran dan sikap dalam menggunakan alat, bahan, keselamatan dan kaedah atau teknik untuk menyempurnakan tugas (duty) yang berkaitan dengan sesuatu pekerjaan. Ini selaras dengan dapatan kajian yang dijalankan oleh McDaniels, 1992 di mana antara kemahiran ‘employability’ yang diperlukan oleh majikan termasuklah, berdikari, jujur, kemas, menepati masa, keupayaan berhubung secara berkesan, keupayaan bekerja dalam satu kumpulan, bercit-cita tinggi, mempunyai etika kerja yang baik, setia dan juga dapat membuat pengubahsuaian. Oleh itu kurikulum pendidikan guru MPV perlu menyediakan peluang mempraktikkan kemahiran ‘employbility’ seperti di atas.
  4. Perubahan ketara dalam melaksanakan pentaksiran MPV dalam SPM memperlihatkan satu lagi inovasi dalam pentaksiran yang diperkenalkan. MPV menjadi satu lagi medan ujian kepada pakar pentaksir dengan mengetengahkan Sistem “Hurdle’. Pentaksiran MPV dibahagikan kepada dua jenis pensijilan iaitu pensijilan modular yang mengiktiraf pencapaian murid dalam sesuatu keterampilan dan pensijilan terbuka SPM. Sistem pentaksiran kompeten yang dilaksanakan lebih fleksibel, individualized dan mampu mempertingkatkan pembelajaran murid yang dinamakan sebagai Pentaksiran Kompetensi-Pensijilan Modular (PK-PM) (Hassanor Othman, 2003). Sementara itu kaedah pentadbiran pentaksiran adalah berasaskan sekolah dan pusat. Oleh itu keperluan menyediakan guru yang dapat menguasai kaedah pentaksiran berasaskan keterampilan (competency base assessment) adalah menjadi kemestian.

No comments:

Post a Comment