Tuesday, July 13, 2010
Cabaran Guru
Guru membawa maksud yang luas dan tidak terbatas. Individu yang melibatkan diri mereka sama ada secara formal atau tidak formal bagi menyampaikan ilmu pengetahuan atau kepandaian kepada orang perseorangan atau kelompok individu digelar sebagai guru (Atan Long, 1984). Ahli-ahli sains sosial melabelkan golongan guru sebagai pendidik, pengajar, pengasuh dan pembimbing yang bertanggungjawab menyebar ilmu pengetahuan, mencorak tingkahlaku dan menunjukkan teladan yang baik kepada pelajar. Tugas terpenting guru adalah melaksanakan proses dan pedagogi pengajaran yang membolehkan pembelajaran berlaku mengikut matlamat dan mencorakkan pola perlakuan yang berkualiti dan berkesan.
Dari segi tanggungjawab, guru merupakan golongan profesional kerana profesion ini lebih mementingkan perkhidmatan daripada ganjaran kewangan dan merasa bertanggungjawab dalam semua tindakan dan keputusan yang dibuat (Sufean, 1993). Guru yang berkualiti terdiri daripada mereka yang memiliki kriteria tertentu seperti keikhlasan, keazaman, kreativiti, dedikasi dan komited terhadap tugas dan tanggungjawab (Kamaruddin, 1989). Guru bukan sahaja menjadi pendidik dan pengasas kepada pengetahuan pelajar-pelajar tetapi juga menjadi pemimpin, penasihat dan agen perubahan dalam masyarakat (Fatimah, 2002). Sepanjang menjalankan tugas, matlamat guru adalah luhur demi memajukan pelajar, masyarakat dan negara. Dalam suasana dunia pendidikan yang begitu mencabar, guru dianggap sebagai pemimpin profesional.
Antara peranan utama guru adalah merupakan agen yang akan mencorakkan sistem pendidikan masa depan negara. Mereka bertanggungjawab untuk membuat perancangan dan persediaan mengajar, menyampaikan isi pelajaran, bertindak sebagai pengurus, kaunselor, pengawal disiplin, berpersonaliti mulia serta dapat berinteraksi dengan baik dengan masyarakat sekolah khususnya dan masyarakat setempat amnya bagi menjayakan wawasan profesion keguruan dengan cemerlang sehingga mencapai tahap ketrampilan maksimum.
Beberapa kajian empirikal telah menunjukkan komitmen kerja guru banyak dipengaruhi oleh polisi pentadbir sekolah dan suasana tempat kerja (Baron & Greenberg, 1990). Sokongan pihak pentadbir dapat meningkatkan prestasi kerja serta komitmen kerja dan kepuasan kerja yang tinggi (Miskel, 1977; Abd. Main, 1993). Manakala terdapat guru yang dibebankan dengan terlalu banyak tugas yang tidak berbentuk akademik akan menghilangkan komitmen mereka dalam kerja-kerja berbentuk profesional (Ball & Goodson, 1985).
Ada juga di kalangan guru masih kabur serta kurang faham dengan fungsi dan tanggungjawab mereka semasa berada di sekolah. Kadang-kadang guru diarah untuk mengikut perlakuan dan budaya mengajar guru yang dianggapkan "standard" di sekolah secara umum dan tidak mengambil kira faktor-faktor lain seperti persekitaran dan karenah pelajar yang berbeza.
Namun begitu guru harus terus mempertingkan tahap profesionalisme mereka dan membantu melaksanakan program-program serta melakukan perubahan bagi mencapai matlamat sekolah. Adalah perlu bagi seseorang guru mempunyai kesedaran tentang pentingnya "coaching and mentoring" dalam membentuk kumpulan personaliti guru dapat memenuhi keperluan masa hadapan. Melalui "coaching ang mentoring" guru juga dapat bertukar-tukar pandangan untuk membentuk guru yang berkesan. Ianya juga akan menambahkan kecenderungan kalangan guru mengenalpasti masalah atau kekangan yang wujud di tempat kerja sekaligus akan menghasilkan peningkatan kualiti secara berterusan. Melalui ini juga guru berpeluang menggunakan masa dan sumber yang diperuntukkan dengan lebih efisyen.
Akhir sekali guru harus melihat dan mengkaji tentang tugas dan tanggungjawab guru sebelum memilih kerjaya tersebut, mereka perlu tahu apakah faktor yang mendorong mereka memilih kerjaya guru dan faktor yang menyumbang kepada komitmen kerja mereka. Guru yang berjaya menempuh segala dugaan dan cabaran dalam pendidikan adalah golongan guru yang istimewa, dinamik dan berkaliber. Semoga Allah membalas segala jasa dan pengorbanan guru.
Labels:
Pendidikan
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment