Tuesday, July 20, 2010

Khalid al-Walid ‘pedang Allah’


PERJANJIAN damai Hudaibiah banyak membuka hati orang-orang kafir untuk memeluk Islam. Antaranya yang memeluk Islam ialah Khalid bin al-Walid. Beliau dahulu adalah pemimpin pasukan Quraisy yang sangat terkemuka. Beliau juga merupakan seorang pahlawan perang yang sangat gagah dan berani.


Hampir semua peperangan disertai oleh beliau akan beroleh kemenangan. Selepas memeluk Islam, Rasulullah memberikannya jolokan 'Saifullah' iaitu Pedang Allah. Beliau juga telah menakluki negeri Syria.


Selepas memeluk Islam, Khalid menjadi pemimpin dalam setiap peperangan. Ini disebabkan beliau bijaksana dan berpengalaman dalam mengatur strategi peperangan.


Ketika beliau melihat jumlah pasukan musuh di Muktah yang berlipat ganda ramainya, beliau memasang strategi dengan mengajak pasukannya mundur ke selatan sementara pihak musuh mundur ke utara.


Dengan itu, kedua-dua pasukan tidak bertembung dan berada dalam keadaan yang jauh. Keadaan itu menjadikan mereka lebih selamat dalam pasukan daripada meneruskan peperangan yang akan membawa kepada kebinasaan dan kematian.


Sementara itu, beliau juga telah menugaskan sebahagian pasukannya yang berada di barisan belakang untuk melancarkan pertembungan dan pergaduhan sebagai taktik seolah-olah pasukan Muslimin sedang mendapatkan bantuan dari Madinah.


Taktik yang beliau atur ini ternyata berhasil. Pihak musuh menjadi takut terhadap pasukan Muslimin sehingga sebahagiannya terus berusaha mundur dan tidak meneruskan peperangan.


Ketika hendak memeluk Islam, beliau telah menyaksikan berbagai-bagai peristiwa dengan Nabi Muhammad SAW. Baginda sangat dikenali oleh semua orang dan pengikut-pengikut baginda juga semakin bertambah.


Pernah suatu ketika, baginda dan rombongan baginda dalam perjalanan menuju ke Hudaibiah, pasukan Khalid telah mengekori baginda. Kemudian beliau melihat Rasulullah bersembahyang Zuhur bersama-sama para sahabat baginda.


Pada mulanya beliau bercadang hendak menyerang mereka ketika mereka sedang bersembahyang itu, tetapi tiba-tiba tidak tercapai keinginan untuk membuat sedemikian.


Khalid terus menunggu sehingga baginda menunaikan solat Asar pula. Tetapi niat itu diketahui oleh Rasulullah, lalu baginda dan para sahabat terpaksa menunaikan solat khauf iaitu solat dalam keadaan takut dan berjaga-jaga. Terus hati Khalid berasa serba salah dan tidak jadi hendak menghalang Rasulullah.


Apabila beliau mengetahui pemergian baginda ke Hudaibiah adalah untuk membuat perjanjian perdamaian dengan kaum Quraisy, terus Khalid bersemangat untuk mendatangi Rasulullah dan menyatakan keinginan beliau untuk memeluk Islam.


Lalu beliau pun segera mengajak kawan-kawannya untuk pergi ke Madinah menemui Rasulullah dan memeluk Islam. Rasulullah sungguh gembira menyambut kedatangan Khalid dan sahabat-sahabatnya, lalu mengislamkan mereka.


Sumber: http://www.utusan.com.my

No comments:

Post a Comment