Friday, July 9, 2010
Kemahiran Berfikir Kritis, Kemahiran Berfikir Kreatif, Kemahiran Vokasional dalam Mata Pelajaran Aliran Vokasional (MPAV).
Komitmen untuk menggalakkan kemahiran berfikir kritis dan kreatif telah menjadi satu agenda utama pendidikan di Malaysia. Para pendidik bersetuju bahawa kemahiran berfikir kritis dan kreatif dapat dipertingkatkan dikalangan pelajar melalui proses pengajaran secara eksplisit yang menggunakan situasi harian sebagai konteks pembelajaran (Ristow, 1988). Pelajar dikatakan berkeupayaan mempelajari kemahiran berfikir jika kurikulum menegaskan dan memberikan tumpuan cara bagaimana ianya boleh dilakukan (Presseisen, 1986). Justeru pelbagai strategi pengajaran dan pembelajaran telah direkabentuk untuk membantu perkembangan kemahiran berfikir kritis dan kreatif (Costa, 1988).
Sehaluan dengan perkembangan itu, Kementerian Pendidikan Malaysia telah merombak semula kurikulum sekolah menengah. Sebagai contoh, di antara perenggan kata penghantar Bahagian Kurikulum Teknik dan Vokasional yang terdapat dalam Huraian Sukatan Pelajaran Aplikasi Elektrik dan Elektronik 2003 ialah "….kurikulum ini disediakan sebagai panduan guru dalam usaha membimbing murid memperolehi pengetahuan dan kemahiran dengan berkesan. Penguasaan prinsip dan konsep dalam mata pelajaran ini melalui pelbagai aktiviti pembelajaran akan dapat membantu murid menguasai pengetahuan asas bidang yang dipelajari bagi melahirkan tenaga kerja yang produktif dan kreatif". Kaedah Pembelajaran Berasaskan Masalah (PBM) yang diubahsuai dari model PBM McMaster (Barrows, 1980) akan dapat meningkatkan kemahiran berfikir kritis dan kreatif, kemahiran vokasional dan pencapaian dalam MPAV di setiap sekolah menengah vokasional.
Disamping itu pembelajaran MPAV juga dapat meningkatkan daya intelek dan kemampuan membuat keputusan sendiri, memperkembangkan pengetahuan teknologi semasa dan kepupayaan penyesuaian diri untuk berfungsi secara berkesan dalam bidang vokasional.
Bagi menjadikan kurikulum MPAV menjadi lebih mantap relevan unsur-unsur kemahiran berfikir kritis, kemahiran berfikir kreatif, kemahiran vokasional harus diterap merentasi dalam semua bidang modul yang diperkenalkan. Pendekatan pengajaran dan pembelajaran pula seharusnya dapat membimbing pelajar agar mampu menggunakan ketiga-tiga kemahiran tersebut, apabila hendaklah membina kerjaya kendiri setelah tamat pengajian.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment