Tuesday, July 27, 2010

Penilaian dan strategi pengajaran


SETIAP guru terutamanya guru permulaan harus mengambil sikap bahawa proses pengajaran dan pembelajaran (P & P) bukan hanya untuk memenuhi kriteria peperiksaan awam sahaja.

Sesungguhnya sesuatu penilaian dan pengukuran itu harus bersandarkan kepada hasilan pembelajaran yang dikenal pasti di peringkat perancangan. Hasilan pembelajaran pula harus juga didasarkan kepada taksonomi pembelajaran.

Taksonomi Bloom (1956) mengklasifikasikan pembelajaran kepada domain kognitif, afektif dan psikomotor. Manakala John Biggs, (1982) memperkenalkan Taksonomi SOLO (Structure of the Observed Learning Outcomes) yang menyediakan cara yang sistematik untuk menilai prestasi murid dalam proses penguasaan ilmu.

Dalam domain kognitif misalnya terdapat pemeringkatan pembelajaran yang disenaraikan oleh Bloom iaitu bermula dengan peringkat pengetahuan, pemahaman, aplikasi, analisis, sintisis dan penilaian.

Oleh itu adalah menjadi tanggungjawab seseorang guru untuk menentukan pemeringkat penilaian dan pengukuran prestasi murid berdasarkan pemeringkatan pembelajaran yang dirumuskan dalam hasilan pembelajaran mengikut kesesuaian tahap dan topik sesuatu pembelajaran.

Dalam proses menentukan pemeringkatan yang terdapat dan taksonomi pembelajaran, guru seharusnya mengambil kira tentang strategi yang harus digunakan untuk menjana pemikiran murid yang lebih kritis dan kreatif ke arah mewujudkan murid yang lebih bersifat global tanpa hanya menumpukan kepada hafalan fakta sahaja.

Sama ada penilian tersebut berbentuk objektif, struktur atau esei bukanlah isunya dalam menentukan ketajaman minda murid, tetapi strategi yang digunakan untuk menguasai ilmu tersebut mengikut domain pembelajaran yang dikemukan oleh Bloom atau Biggs adalah penting bagi guru membuat perancangan dan merangka aktiviti yang sesuai untuk murid melaksanakannya ke arah penjanaan minda kritis, kreatif dan inovatif.

Oleh itu dalam proses pengajaran dan pembelajaran seseorang guru harus kreatif merancangan pelbagai strategi dengan mengambil kira pelbagai teori dalam pembelajaran.

Inilah masanya bagai guru-guru menyemak semula teori-toeri pembelajaran yang banyak memberi panduan dan bimbingan ke arah merancang aktiviti pembelajaran yang mampu mewujudkan persekitaran pembelajaran yang lebih berkesan.

Strategi penjanaan minda kreatif dan kreatif dengan menggunakan pelbagai alat pemikir (mind tools) yang dicadangkan oleh ahli pemikir Edward De Bono misalnya harus mampu difahami oleh guru untuk diaplikasi dan disesuaikan di bilik darjah.

Penguasaan ilmu dan kemahiran dalam bidang ICT yang merupakan salah satu aspek kemahiran guru di Abad ke 21 serta kemampuna mengintegrasikannya dalam proses pembelajaran merupakan satu nilai tambah untuk dilaksanakan dan mampu membuka minda murid untuk mereka berfikir di luar kotak sepertimana yang dihasratkan oleh pihak Kementerian Pelajaran Malaysia.

Justeru, dapatlah diperkatakan bahawa kecemerlangan murid bukanlah hanya bergantung kepada preatasi mereka dalam peperiksaan sahaja tetapi banyak bergantung kepada proses pemhelajaran yang dilaksanakan oleh guru.

Tanpa perubahan dan inisiatif guru untuk melaksanakan pembelajaran secara lebih bermakna, apa sahaja sistem yang diperkenalkan oleh pihak atasan mungkin tidak akan mampu mencapai hasrat dan aspirasi negara.

Oleh DR. ISMAIL ZAIN drismailzain@yahoo.com
Sumber: http://www.tutor.com.my/

No comments:

Post a Comment