KITA sering mendengar kematian mengejut apabila individu rebah selepas mengadu sakit dada. Masalah ini digelar keadaan jantung terhenti iaitu apabila jantung berhenti berfungsi secara tiba-tiba.
Puncanya - kerosakan sistem elektrikal organ penting berkenaan. Perlu diingat, jantung terhenti bukanlah serangan jantung. Namun, angka kematiannya menggerunkan iaitu tiga juta kes setahun di seluruh dunia. Malangnya, seperti ditegaskan Pakar Kardiologi dan Pengarah Elektropsiologi, Institut Jantung Negara (IJN), Dr Razali Omar, daripada jumlah itu hanya satu peratus mangsa yang berjaya diselamatkan.
"Ramai menyangka barah adalah pembunuh utama, sebaliknya jika digabungkan jumlah penyakit kronik seperti barah payudara, barah paru-paru, strok dan HIV/Aids jumlah itu masih tidak dapat menandingi kes kematian akibat jantung terhenti," katanya.
Penyakit berkaitan masalah kardiovaskular adalah pembunuh nombor satu dan jumlah ini semakin meningkat di Malaysia terutama dalam kalangan lelaki berusia kurang dari 40 tahun.
"Kalau 30 tahun dulu penyakit berjangkit berada di kedudukan teratas. kini dalam arus pembangunan yang begitu pesat, negara pula mengukuh dari segi ekonomi masyarakat hidup lebih lama. Walaupun masyarakat hidup lebih lama, malangnya kualiti hidup mereka terjejas akibat penyakit seperti kencing manis, serangan jantung, strok dan pelbagai lagi, semuanya akibat gaya hidup yang tidak sihat termasuk diet dan amalan merokok," katanya.
Dr Razali berkata, memandangkan jantung adalah organ elektrikal, bermakna ia boleh rosak sama ada ia berdegup terlalu laju atau terlalu perlahan. Pada masa cukup singkat, beberapa saat atau minit saja kematian secara mengejut boleh berlaku. Di Amerika Syarikat misalnya, 70 peratus kematian akibat jantung terhenti disebabkan lewat mendapat rawatan.
Lebih malang lagi, individu yang pernah mengalami serangan jantung mempunyai risiko empat hingga enam kali ganda mengalami jantung terhenti.
Namun ada bezanya antara jantung terhenti dengan serangan jantung. Ringkasnya, secara perbandingan, andai jantung adalah sebuah rumah, jantung terhenti berlaku apabila berlakunya masalah bekalan elektrik manakala serangan jantung disebabkan masalah paip.
Punca paling biasa jantung terhenti adalah arrhythmia dikenali ventricular fibrillation (VF). Ia berlaku apabila isyarat elektrikal yang mengawal pengepaman jantung tiba-tiba menjadi laju dan tidak sekata. Akibatnya, bahagian bawah jantung, iaitu ventrikal mula bergetar dan tidak berdegup. Ini menyebabkannya tidak lagi mampu mengepam darah dari jantung ke seluruh tubuh.
Jika darah gagal mengalir ke otak, ia akan kehilangan oksigen dan individu malang itu akan pengsan serta-merta. Tanpa bantuan kecemasan seperti kejutan elektrik yang disalirkan terus ke jantung (mesin dinamakan defibrillator) untuk mengembalikan rentak biasa jantung, pesakit akan mati dalam beberapa saat atau minit saja!
Apa membimbangkan, masalah jantung terhenti tidak boleh dijangka dan boleh menimpa individu sihat, aktif dan tanpa rekod masalah jantung. Bagaimanapun, keadaan ini tidak berlaku secara rambang dan majoriti mangsa mempunyai sejarah komplikasi kesihatan atau jantung dan mungkin tidak menyedarinya.
Antara rawatan terkini adalah Inplantable Cardioverter Defibrillators (ICD). Alat mencegah jantung terhenti kepada pesakit yang berisiko tinggi berfungsi ini memastikan kadar degupan jantung sentiasa aktif apabila pesakit mengalami serangan jantung secara tiba-tiba. ICD ditanam dalam dada dan memantau jantung dengan mengesan sebarang rentak luar biasa.
Sebarang arrhythmia merbahaya dikesan, ICD menghantar nadi kejutan elektrik tenaga rendah bagi mengembalikan rentak normal jantung dan menghalang jantung mati. Diperbuat daripada titanium seberat 68 gram, alat yang perlu dicas enam bulan sekali ini menelan kos sekitar RM32,000 hingga RM80,000 dan mudah diuruskan. ICD mampu bertahan sehingga enam tahun bergantung kepada individu.
Sejak diperkenalkan pada 1996 di IJN, kaedah ini memberi manfaat kepada 70 hingga 80 pesakit di Malaysia setiap tahun.
INFO: Jantung terhenti
- Disebabkan masalah elektrikal
- Jantung henti berdegup serta merta dan tanpa amaran
- Boleh sebabkan maut jika tidak dialirkan dengan kejutan elektrik secara segera
Serangan jantung
- Masalah pembuluh
- Salur darah tersumbat menghalang aliran darah ke jantung
- Kekurangan darah boleh merosakkan otot jantung dan tisu.
suzan@bharian.com.my
Sumber: http://www.bharian.com.my/
No comments:
Post a Comment