Monday, July 12, 2010

Memertabatkan Pendidikan Vokasional

Matlamat Pendidikan Vokasional diwujudkankan untuk menjaga kepentingan ekonomi di sesebuah negara. Bagi negara yang ingin maju harus menyediakan secara berterusan tenaga manusia yang diperlukan untuk membangun sektor ekonomi (Labaree 1997). Dengan lain perkataan, objektif penubuhan sekolah vokasional adalah supaya kurikulum sekolah lebih responsif terhadap keperluan gunatenaga dalam pasaran buruh terutama gunatenaga mahir dan separa mahir.

Pendidikan vokasional, secara umumnya, boleh ditakrifkan sebagai suatu program pendidikan atau latihan yang berasaskan kemahiran teknikal untuk melahirkan gunatenaga mahir dan separa mahir (Ramlee 1999).

Pada umumnya, imej pendidikan vokasional dan graduan lepasan institusi vokasional tidak begitu positif (Chung 1995; Collins 1979; Feinberg & Horowitz 1990). Sehingga sekarang, masih ada pihak yang melabel pendidikan vokasional hanya sesuai untuk golongan atau pelajar yang tidak mempunyai kebolehan akademik. Di samping itu, pendidikan vokasional juga sering dianggap sebagai pendidikan kelas kedua yang hanya akan membawa kepada pekerjaan yang bertaraf rendah.

Persepsi negatif ini mungkin akan berkurangan imej pendidikan vokasional mampu menyaing ini imej pendidikan dari segi penghasilan produknya (kualiti pelajar apabila tamat sesi pembelajaran mereka). Di samping itu, sistem penilaian dan pentaksiran juga perlu diubah supaya selaras dengan kaedah pengajaran dan pembelajaran yang baru.

Di Luar Bilik Darjah

Hasil kajian menunjukkan bahawa pembelajaran akan lebih berkesan jika pelajar didedahkan kepada suasana yang sebenar di mana pengetahuan dan kemahiran yang dipelajari dapat diaplikasikan secara praktikal (Billett 1993). Pendekatan ini memerlukan guru-guru vokasional menghubungkan sekolah dengan alam pekerjaan secara kreatif dan produktif. Untuk memenuhi tuntutan ini, partnership atau usahasama antara sekolah dan industri hendaklah dijalinkan di mana peluang untuk pelajar melihat aplikasi pembelajaran di sekolah kepada proses yang berlaku di industri akan meningkatkan minat pelajar terhadap sesuatu karier. Latihan di industri untuk pelajar-pelajar mempunyai beberapa kelebihan seperti: belajar dalam suasana alam pekerjaan yang sebenar; mendapat bimbingan dari pekerja lain yang berpengalaman; belajar cara menyelesaikan masalah teknikal yang sebenar dan bukannya hypothetical seperti yang biasanya berlaku di dalam bilik darjah. Justeru itu, perancangan yang rapi dan sistematik diperlukan untuk menarik minat pihak industri untuk sama-sama terlibat dalam usahasama dengan sekolah-sekolah Vokasional

Di negara-negara maju seperti Amerika Syarikat, Jerman dan Jepun, kolabrasi antara sekolah dan industri memang telah lama terjalin (Ahmad 1994). Di samping penglibatan pelajar dalam latihan industri, guru-guru akademik dan vokasional juga perlu menjalani latihan industri terutama guru-guru yang tidak mempunyai pengalaman bekerja dalam sesuatu industri. Kajian di Amerika Syarikat menunjukkan bahawa guru-guru yang menamatkan latihan industri adalah lebih berkesan dalam menghubungkan pengajaran di sekolah dengan alam perkerjaan (Finch 1999; Phelps, Hernandez-Gantes, Sargent, Ettinger, Pribbenow, Castelan & Copa 1998)

Penyertaan Aktif Pelajar Dalam Pembelajaran


Salah satu cabaran pendidikan di alaf baru ini ialah melaksanakan anjakan paradigma dari pendekatan berpusatkan guru kepada pendekatan berpusatkan pelajar. Salah satu teori pembelajaran yang berfokuskan pelajar ialah konstruktivisme. Konstruktivisme ialah satu teori sosial-saintifik yang menyatakan bahawa manusia secara aktif membina maklumat berasaskan pengalaman yang sedia ada. Dalam konteks pendidikan, konstruktivisme mengganggap bahawa pelajar adalah sentiasa aktif dalam membina pengetahuan baru melalui interaksi dengan orang lain dan melalui pengolahan pengetahuan dan pengalaman yang telah mereka kuasai sebelum ini (Billett 1996; Kerka 1997). Menggunakan pendekatan ini, pelajar digalakkan berfikir secara kritis, mengemukakan soalan yang berbentuk inkuiri, dan belajar melalui pengalaman melakukan sesuatu aktiviti. Konstruktivisme juga mengalakkan pembelajaran dalam konteks dan suasana yang sesuai. Oleh itu, pendedahan kepada bentuk pekerjaan yang sebenar di industri melalui latihan industri adalah bersesuaian dengan teori ini.

Pembelajaran Secara Kontekstual

Billett (1994) membuat kesimpulan bahawa pembelajaran yang berkesan adalah hasil dari aktiviti yang berkaitan dan bermakna kepada pelajar; dilakukan dalam konteks dan suasana yang sesuai; dibimbing oleh pengajar yang terlatih; dan pelajar mempunyai peluang untuk berinteraksi dengan pelajar yang lain. Hasil penyelidikan menyokong peranan pembelajaran secara kontekstual (contextual learning) dalam pendidikan akademik dan vokasional. Pembelajaran akan lebih berkesan jika pelajar didedahkan kepada suasana yang sebenar di mana pengetahuan dan kemahiran yang dipelajari dapat diaplikasikan secara praktikal (Billett 1993).

Fokus dalam pendekatan ini adalah pelajar, maka pendidikan hendaklah dilihat sebagai proses pembelajaran lebih daripada proses pengajaran (Stevenson 1994). Maka, peranan guru bukanlah sekadar menyediakan "resepi" untuk pelajar ikuti tetapi ialah untuk mengatur aktiviti-aktiviti yang membolehkan pelajar-pelajar membina pengetahuan, pemahaman dan kemahiran yang dikehendaki. Contohnya, apabila pelajar menghadapi masalah memahami konsep litar dalam kursus elektronik, guru yang menggunakan pendekatan konstruktivisme mungkin akan mengajak pelajar bermain satu permainan logik yang mempunyai analogi dengan litar elektronik (Rahn 1996).

Untuk menyediakan pembelajaran secara kontekstual, pihak sekolah perlu mengadakan usahasama dengan pihak industri. Mengambil contoh program elektronik tadi, pihak sekolah mungkin perlu mengadakan usahasama dengansyarikat elektronik tempatan di mana pelajar akan menjalankan suatu projek elektronik untuk syarikat berkenaan dengan syarat syarikat tersebut sanggup menyediakan tempat dan peralatan dan sanggup membimbing pelajar menyiap projek tersebut. Dengan cara ini pelajar akan dapat memahami prinsip-prinsip elektronik yang dipelajari di dalam kelas dan aplikasinya di industri.

Menggabungkan Kepakaran Guru Melalui Pengajaran Berpasukan

Ada beberapa cara untuk membina kerja berkumpulan di kalangan guru. Satu cara adalah dengan membentuk jawatankuasa coaching and mentoring di kalangan guru. Jawatankuasa ini bolehlah dianggotai oleh wakil-wakil guru dari baru dan senior yang mempunyai visi dan motivasi yang tinggi untuk menjayakan proses ini. Tugas jawatankuasa ini adalah untuk mengemukakan ide dan cadangan bagaimana hendak membawa kursus akademik dan vokasional lebih relevan kepada alam perkerjaan. Mereka juga perlu memikirkan bagaimana hendak mengembangkan ide integrasi ini kepada pentadbir dan guru-guru yang lain.

Cara yang berpotensi untuk membangunkan kepakaran guru adalah melalui guru melatih guru yang lain. Dalam pendekatan ini, guru-guru berkongsi maklumat tentang aktiviti-aktiviti integrasi yang boleh menjadi contoh. Guru-guru yang berpengalaman bolehlah membimbing guru-guru baru dalam mengendalikan bengkel dan seminar untuk melatih guru-guru pelapis. Ini juga perlu untuk menunjukkan bahawa kerja kumpulan antara guru baru dan senior (pakar) adalah sesuatu yang amat perlu bagi memertabatkan pendidikan vokasional.

Pembangunan Profesionalisme

Berlainan dengan menghadiri kursus dalam perkhidmatan yang difahami secara tradisi, pembangunan profesionalisme alaf baru perlu membuka peluang kepada guru-guru vokasional supaya lebih aktif dalam menstruktur arahtuju profesionalisme mereka dan dalam menyumbangkan ide dan saranan. Ini juga bermakna guru-guru akademik dan vokasional perlu diberi peluang untuk melaksanakan saranan dan ide mereka sekurang-kurangnya di peringkat sekolah.

Semua inovasi dan pembaharuan dalam pendidikan melibatkan perubahan, maka semua pihak yang terlibat dalam proses ini mestilah sanggup berubah dan sanggup mengubah status quo yang ada sekarang. Finch (1999) menyarankan tiga cadangan untuk guru menyumbang ke arah pembangunan profesionalisme alaf baru:
  1. Guru hendaklah terlibat dalam semua tahap reformasi pendidikan termasuk perancangan, perlaksanaan, dan penilaian.
  2. Guru perlu mendapat sokongan pihak pentadbir diperingkat permulaan proses tersebut.
  3. Guru juga perlu mendapat sokongan yang berterusan dalam proses melaksanakan perubahan tersebut.
Peranan pembangunan profesionalisme alaf baru sepatutnya dapat membantu guru-guru mengubahsuai peranan tradisi mereka kepada perubahan baru. Pembangunan profesionalisme bertujuan untuk membantu guru-guru akademik dan vokasional menyelesaikan masalah, khususnya dalam menghadapi arus perubahan pendidikan dan untuk mengendalikan pengajaran dan pembelajaran secara yang lebih berkesan.

Penutup

Dalam usaha memartabatkan Pendidikan Vokasional, guru-guru vokasional perlulah kreatif, kritis dan inovatif. Kejayaan dan keberkesanan dalam sesuatu program bergantung kepada perancangan, pelaksanaan, pemantauan dan penilaian secara berterusan. Dalam hal ini sekolah perlu juga berusaha memperoleh idea dan contoh daripada sumber-sumber lain sebagai rujukan dalam penyediaan program, yang boleh membantu memertabatkan Pendidiikan Vokasional.

No comments:

Post a Comment