Monday, July 26, 2010
Konsep dakwah mampu pulihkan penyakit sosial
APABILA masyarakat dikejutkan dengan penyakit sosial yang kian parah ditandai dengan kes pembuangan bayi, banyak pihak menyoal mengapa ia berlaku. Ramai yang mengatakan ia adalah hasil pergaulan bebas yang tidak dihadkan sempadan agama.
Malah, masalah seperti adegan berbahaya penunggang motosikal di jalan raya, pengambilan pil khayal, melepak tanpa faedah dan sebagainya melambangkan daifnya pegangan moral sesetengah golongan masyarakat di negara ini.
Pelbagai jalan penyelesaian boleh diambil bagi menangani penyakit berkenaan. Apa yang ingin disebutkan di sini ialah konsep al-amr bi al-maruf dan al-nahy an al-munkar. Mungkin istilah ini janggal dan sesetengah orang saja yang memahaminya.
Ia bermaksud mengajak melakukan kebaikan dan mencegah daripada melakukan kemungkaran atau dengan bahasa yang mudah difahami ialah dakwah. Perkara kebaikan yang dimaksudkan adalah setiap perkara yang boleh membawa keredaan Allah SWT dan mendekatkan diri seseorang hamba kepada-Nya.
Ini merangkumi ibadat kepada Allah SWT dan hubungan baik sesama manusia. Kemungkaran adalah perkara yang membawa kemurkaan Allah SWT, sama ada dalam bentuk perkataan atau perbuatan. Ini bermakna, seseorang Muslim wajib melakukan segala suruhan Allah dan meninggalkan semua yang ditegah Islam.
Dakwah mempunyai kepentingan yang tidak dapat dipertikaikan kerana ia adalah tugas para Nabi dan Rasul yang diutuskan Allah SWT. Selepas kewafatan mereka, episod dakwah ini disambung oleh umat Islam mengikut peranan masing-masing dalam masyarakat. Dengan melaksanakan dakwah ini, ia boleh menatijahkan sebuah masyarakat hatta negara yang diredai Allah SWT.
Namun, sebagai ujian daripadaNya, gejala mungkar tetap berlaku pada setiap zaman dan ketika yang menuntut usaha dakwah secara konsisten dan ikhlas. Untuk itu, setiap individu dalam masyarakat Islam seharusnya berperanan ke arah itu.
Bagaimanapun, jika diamati peranan anggota masyarakat dalam menangani gejala mungkar, tidaklah sehebat usaha yang dilakukan bagi mengajak manusia kepada kebaikan. Sebagai contoh, ustaz dan imam yang mengajar di masjid dan surau menerangkan kepada jemaah mengenai ilmu agama. Mereka mengajak jemaah melaksanakan segala perintah Allah yang berbentuk suruhan seperti ibadat sembahyang dan sebagainya.
Namun, mereka tidak berperanan dalam mencegah kemungkaran secara berdepan dengan situasi sebenar kemungkaran itu berlaku. Akibatnya, mereka yang melakukan kemungkaran merasa selesa lantaran tiada pihak yang mengambil peduli.
Sedangkan, hukum melaksanakan al-amr bi al-maruf dan al-nahy an al-munkar adalah fardu kifayah dan ia menjadi fardu ain apabila tiada pihak yang mengambil inisiatif melaksanakan perintah berkenaan. Oleh itu, seseorang muslim seharusnya menjalankan tugas ini dalam lingkungan dirinya, keluarga dan masyarakat.
Jika tanggungjawab itu diabaikan, sistem kehidupan bermasyarakat di kalangan umat Islam menjadi pincang dan pembentukan khayr al-ummah akan terbantut. Justeru itu, sesiapa yang berikrar dan mengaku beriman kepada Allah SWT hendaklah memainkan peranan mengikut kemampuan dan posisi mereka dalam masyarakat.
Ini bertepatan dengan sabda Rasulullah SAW, bermaksud, Sesiapa daripada kalangan kamu yang melihat kemungkaran, hendaklah dia mencegah dengan tangannya. Sekiranya dia tidak mampu, maka dengan lidahnya (teguran). Sekiranya dia tidak mampu, maka hendaklah dia mencegah dengan hatinya dan ia adalah selemah-lemah iman. (Riwayat Muslim)
Oleh Wan Hishamudin Wan Jusoh
Sumber: http://www.bharian.com.my
Labels:
Akidah
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment