Friday, July 9, 2010

Tok Janggut

Nama sebenar Tuk Janggut ialah Haji Mat Hassan bin Panglima Munas. Beliau mendapat pendidikan di Mekah dan mahir bersilat. Selepas Perjanjian Bangkok 1909, British mengambil alih pemerintahan Kelantan daripada Siam dan mula membawa pelbagai perubahan khususnya dari segi pentadbiran. Perubahan yang diperkenalkan telah menyentuh kedudukan dan keistimewaan tradisional di negeri Kelantan. Antara yang paling sensitif ialah mengenai pengenaan cukai kepala sebanyak RM1.00 seorang setahun, pokok buah-buahan sebanyak 3 sen setahun, kelapa 3 sen setandan dan sireh 5 sen sejunjung.


Pada 29 April 1915, pentadbiran Jeram, Pasir Puteh, Kelantan telah diambil alih oleh Encik Latiff iaitu seorang pegawai takbir British yang berasal daripada luar Kelantan, menggantikan Engku Besar. Pertelingkahan mengenai cukai dan pengurusan pengutipan cukai yang terlalu lambat membuatkan Haji Mat Hassan (Tuk Janggut) enggan membayar cukai. Encik Latiff mengarahkan satu pasukan polis yang diketuai oleh Sarjan Sulaiman (Che Wan) bertolak ke Kampung Tok Akib menemui Tuk Janggut pada 29 April 1915. Dalam satu pergelutan yang berlaku, Sarjan Sulaiman telah terbunuh, Tuk Janggut telah menghimpunkan orang-orangnya menuju ke Pasir Puteh. Encik Latiff pula telah melarikan diri ke Kota Bharu. Bantuan daripada Singapura dan Negeri Melayu Bersekutu dikejarkan ke Pasir Puteh pada 6 Mei 1915. Satu pertempuran berlaku pada 25 Mei 1915 di Kampung Merbuk dan Kampung Pupuh.

Kebangkitan Tuk Janggut menyebabkan Sultan Kelantan yang memerintah pada masa itu berasa terancam dan mengganggap Tuk Janggut sebagai penderhaka dan dalam pertempuran di Kampung Pupuh, Tuk Janggut telah dibunuh. Mayat Tuk Janggut dibawa ke Kota Bharu dalam kereta lembu yang memakan masa dalam satu hari. Mayat beliau digantung beberapa hari di depan istana, di Padang Bank (Padang Merdeka) sebelum dikebumikan di Pasir Pekan.

Petikan dari http://sejarahmalaysia.pnm.my

No comments:

Post a Comment