Wednesday, July 21, 2010

Penilaian dalam Pendidikan

SETIAP guru terutamanya guru permulaan harus mengambil sikap bahawa proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) bukan hanya untuk memenuhi kriteria peperiksaan awam sahaja. Bermula dengan tahun 1 di sekolah rendah hinggalah berakhir ke tingkatan 6 di sekolah menengah, proses pembelajaran perlulah mengikut tahap dan pemeringkatan yang berlandaskan aspek-aspek dalam teori pendidikan.

Dalam rancangan mengajar, hasilan pembelajaran ditetapkan, diikuti pula dengan perancangan aktiviti pengajaran yang distrukturkan mengikut adegan-adegan pengajaran (instructional events) – Gagne, R.M (1985) iaitu bermula dengan aktiviti set induksi yang bertujuan menarik perhatian serta aktiviti bimbingan dan juga aktiviti-aktiviti yang melibatkan maklum balas dan penilaian.

Malah dalam komponen sesuatu Model Reka Bentuk Pengajaran, aspek penilaian amat dititik beratkan sebagai salah satu komponen yang bertujuan menguji sejauh mana perancangan yang dibuat mampu menepati objektif pengajaran, kesesuaian bahan yang digunakan serta kemampuan penerimaan murid.

Dalam hal ini setiap guru harus bertindak memenuhi kehendak proses pembelajaran. Aspek penilaian sama ada berbentuk formatif atau sumatif adalah penting dan harus dilaksanakan dengan sempurna bagi setiap tahap dan peringkat murid.

Isu sama ada peperiksaan awam dimansuhkan atau tidak bukanlah menjadi persoalan kepada proses pembelajaran pada golongan pendidik. Para guru harus mengambil sikap bahawa setiap tahap dan peringkat harus diuji dan dinilai untuk tujuan yang dinyatakan di atas tanpa mengambil kira sama ada terdapat peperiksaan awam pada tahap tersebut.

Oleh itu usaha untuk menggunakan pelbagai strategi pengajaran harus digandakan dari peringkat awal lagi tanpa memfokuskan pada aspek peperiksaan sahaja. Elemen-elemen yang mampu menjana pemikiran kritis dan kreatif, pemantapan kemahiran insaniah yang merangkumi kemahiran berkomunikasi serta kerohanian harus diintegrasikan secara bijak dengan aktiviti pengajaran dan pembelajaran serta aktiviti kokurikulum.

Guru juga harus menggunakan kreativiti dan membuat inovasi agar murid mampu menyusun strategi kognitif dalam usaha menerima pengajaran dan pembelajaran yang tidak hanya menumpukan pada aktiviti hafalan semata-mata dalam usaha melahirkan murid yang lebih global dari segi kemahiran dan pemikiran.

Justeru, jika aspek pendidikan ini dihayati dan dilaksanakan dengan baik, tidak ada "tekanan" atau "menarik nafas lega" jika sesuatu keputusan dibuat oleh pihak atasan mengenai isu yang berkaitan dengan peperiksaan.

Oleh Dr ISMAIL ZAIN

Sumber: http://www.tutor.com.my/

No comments:

Post a Comment