Boleh dikatakan proses transformasi ini agak kompleks kerana ia melibatkan dua bahagian yang paling penting dalam Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM), iaitu Bahagian Pembangunan Kurikulum (BPK) dan Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM). Bagi memastikan kejayaannya, mahu tidak mahu, kedua-dua bahagian ini perlu berkerja sama secara erat dan efektif. Keduanya juga perlu jujur dengan dapatan masing-masing bagi memastikan rumusan yang terbaik dapat dibuat bagi menjamin masa depan anak-anak kita di sekolah.
Dari segi konsep, difahamkan bahawa transformasi kurikulum melibatkan aspek pengkajian semula kurikulum agar seimbang, bersifat holistik dan tidak terlalu akademik atau membebankan. Konsepnya masih berlandaskan prinsip-prinsip Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) yang selari dengan kehendak Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK). Bentuk kurikulum ini dibahagikan kepada Enam Tunjang Pembelajaran, iaitu aspek komunikasi, kerohanian, sikap dan nilai, kemanusiaan, literasi sains dan teknologi, fizikal dan estetika serta ketrampilan diri.
Difahamkan juga akan terdapat sedikit perbezaan dari segi susunan kandungan kurikulum pada setiap tahap pembelajaran. Bagaimanapun perbezaan yang paling ketara adalah dari aspek organisasi kurikulum. Dalam KBSR, misalnya, aktiviti pengajaran dan pembelajaran (P&P) diasaskan kepada hasil pembelajaran yang dihasratkan dalam Sukatan Pelajaran (SP) dan Huraian SP manakala dalam transformasi, ia akan dilaksanakan berasaskan standard kandungan (perkara yang murid patut ketahui) dan standard pembelajaran (satu penetapan kriteria yang perlu dicapai oleh murid).
Kurikulum di sekolah akan disusun dalam bentuk yang modular dan mungkin melibatkan penyusunan semula jadual waktu di sekolah. Begitupun transformasi kurikulum ini tidak akan berjaya jika ia berjalan secara sendirian. Oleh kerana ia akan dilaksanakan berdasarkan standard kandungan (standard based), bukan lagi secara berdasarkan hasil (outcome based), maka elemen yang amat penting untuk dilaksanakan serentak adalah pentaksiran.
Hanya melalui kaedah pentaksiran yang baik, guru dapat menentukan tahap penguasaan murid terhadap modul-modul yang telah dilaksanakan. Kemahiran guru diperlukan untuk mengenal pasti murid yang bermasalah dan kesabaran guru diperlukan untuk memastikan murid ini tidak ketinggalan berbanding murid-murid yang lebih maju di dalam kelas dan berjaya menguasai pengetahuan dan kemahiran yang disampaikan. Bagi memastikan ini dapat dilaksanakan dengan baik, KPM perlu memberikan tumpuan terhadap usaha melatih semula guru-guru dan mempersiapkan mereka dengan kemahiran-kemahiran baru yang diperlukan.
Bahan sokongan seperti bahan multimedia, buku panduan guru dan buku aktiviti yang sesuai perlu disediakan. Ia melibatkan implikasi perjawatan bagi memastikan pembangunan dan pelaksanaan transformasi ini dapat terlaksana mengikut tempoh dirancang selain implikasi kewangan untuk mengadakan penanda arasan, pembinaan bahan, uji rintis, kajian semula geran per kapita PCG) dan latihan guru.
Akhir sekali, pengalaman dan kelemahan pelaksanaan dasar-dasar yang besar sebelum ini seperti KBSR, Kurikulum Baru Sekolah Menengah (KBSM) serta program Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) perlu dimanfaatkan sepenuhnya agar transformasi ini beroleh kejayaan di masa hadapan.
No comments:
Post a Comment