Saturday, November 27, 2010

Perang Hamra'ul Asad

SELEPAS pulang dari Perang Uhud, Rasulullah SAW tidak tenang dan tenteram kerana selalu terbayang dalam fikiran baginda tentang gerak geri pihak Quraisy.

Dalam diam-diam, baginda selalu memerhatikan segala pergerakan pihak Quraisy yang baru sahaja kembali dari Uhud. Baginda risau sekiranya pihak Quraisy akan berpatah balik menyerang Madinah buat kali yang kedua dalam tempoh yang sama.

Oleh yang demikian, baginda terfikir untuk membuat operasi memburu pihak Quraisy. Pada masa yang sama, baginda dan pengikut-pengikutnya sedang menderita dalam kesakitan disebabkan oleh luka-luka parah akibat daripada Perang Uhud yang baru berlaku.

Dalam pada itu, baginda mendengar khabar bahawa tentera Quraisy dalam perjalanan menuju ke ar-Rauha dan dalam perundingan hendak menuju ke Madinah untuk menghancurkan kaum Muslimin terutamanya baginda sendiri.

Tentera Quraisy pada masa itu di bawah pimpinan Abu Sufyan. Beliau berpendapat bahawa lebih baik mereka kembali menyerbu dan menyerang kota Madinah serta menghancurkan kaum Muslimin.

Jika tidak, Rasulullah dan para pengikutnya yang mempunyai kekuatan yang lebih besar akan membinasakan mereka. Pendapat Abu Sufyan itu pada mulanya cukup mempengaruhi orang-orang kafir Quraisy. Walaupun ada yang tidak bersetuju, mereka tidak berani bersuara.

Pada keesokan harinya iaitu pada hari Ahad 16 Syawal, selepas selesai mengerjakan solat subuh, Rasulullah telah memerintahkan sahabatnya Bilal supaya memanggil kaum-kaumnya yang baru pulang dari Perang Uhud supaya bersiap sedia untuk mengejar tentera Quraisy.

Rasulullah sendiri bersiap sedia dengan pakaian perang seperti biasa, dan bendera Muslimin diserahkan kepada Ali bin Abi Talib untuk dibawa bersama.

Angkatan tentera Muslimin mula berjalan kaki keluar dari Madinah walaupun sebahagian di antara mereka masih menderita akibat luka semasa dalam Perang Uhud.

Akhirnya sampailah tentera Muslimin ke Hamra'ul-Asad yang jauhnya kira-kira 12 kilometer dari kota Madinah.

Tentera Muslimin sangat patuh kepada seruan Rasulullah meskipun pada masa itu mereka masih dalam keadaan sangat lelah dan keletihan, bahkan ada pula yang menderita akibat luka-luka.

Sebelum baginda berangkat menentang tentera Quraisy, terlebih dahulu baginda mengutuskan tiga orang sahabat daripada kabilah Islam ke tempat yang akan dituju oleh baginda untuk menyelidiki keadaan yang sebenar.

Ali bin Abi Talib pun kembali, dengan melaporkan bahawa tentera Musyrikin hanya menaiki unta manakala kuda-kuda perang hanya sebagai pengiring sahaja.

Tahulah Rasulullah bahawa tentera musuh sudah kembali pulang ke Mekah. Walau bagaimanapun, Rasulullah tetap menyuruh para sahabat supaya berjaga-jaga.

Mereka mengawasi musuh dengan membakar unggun-unggun api yang banyak. Mereka menunggu selama tiga hari.

Pada hari ketiga, barulah mereka yakin bahawa tentera musuh telah bergerak pulang ke Mekah. Kemudian Rasulullah dan para sahabat pun pulang ke Madinah dengan rasa lega dan penuh kesyukuran.

Kemudian turunlah ayat 172-173 surah ali-'Imran yang memuji tindakan dan kesabaran tentera Muslimin.

PETIKAN daripada buku 366 Kisah daripada Al-Quran terbitan Edusystem Sdn. Bhd.
Sumber: http://www.utusan.com.my/

No comments:

Post a Comment