Sebelum kedatangan Inggeris ke Malaya, sistem pendidikan vernakular Melayu menitikberatkan pengajaran agama dan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran. Murid belajar di bawah bimbingan guru agama di pondok, surau dan masjid. Sekolah vernakular Melayu hanya dibentuk pada pertengahan abad ke-19. Pada mulanya, pembentukan sekolah-sekolah ini dibantah oleh masyarakat tempatan dan guru agama. Dengan adanya pembelajaran yang normal pada sesi pagi dan kelas Al-Quran pada sebelah petang, ramai lagi murid Melayu mula berdaftar untuk masuk sekolah vernakular. Apabila bilangan murid bertambah, masalah kekurangan guru yang berkelayakan mulai dirasai.
Keadaan ini menimbulkan keperluan bagi Inggeris untuk menubuhkan pusat-pusat latihan perguruan. Misalnya, pada tahun 1922, Maktab Perguruan Sultan Idris (SITC) ditubuhkan untuk mengatasi kekurangan guru pada masa itu. Maktab ini dapat melahirkan ramai guru Melayu yang berdedikasi dan pada masa yang sama menerbitkan buku-buku teks yang berkualiti untuk sekolah dan maktab.
Dalam masa yang sama, Kerajaan Inggeris berpegang pada dasar tidak campur tangan dalam hal ehwal sekolah-sekolah Cina dan Tamil. Walau bagaimanapun, bantuan kewangan untuk sekolah Tamil diberi pada tahun 1902. Kerajaan Inggeris juga menguatkuasakan Kod Buruh yang memerlukan majikan menubuhkan sekolah Tamil untuk anak-anak pekerja di ladang. Dasar ini adalah untuk menggalakkan pekerja buruh India datang ke Tanah Melayu.
Walau bagaimanapun, orang-orang Cina perlu mengambil inisiatif sendiri untuk mendirikan sekolah berdasarkan sistem pendidikan di negeri China. Kemudian disedari bahawa kandungan kurikulum di sekolah vernakular Cina menjadi ancaman kepada Tanah Melayu. Ekoran itu Enakmen Pendaftaran Sekolah dikuatkuasakan pada tahun 1920 untuk menyekat perkembangan tersebut.
Secara perbandingan, sekolah Inggeris dapat layanan yang berbeza. Pada tahun 1816, Penang Free School ditubuhkan oleh mubaligh untuk anak-anak kelas masyarakat atasan. Mereka yang belajar di sekolah vernakular Cina dan sekolah Inggeris dapat melanjutkan pelajaran mereka ke sekolah menengah. Walau bagaimanapun, hanya pendidikan peringkat sekolah rendah disediakan bagi sekolah Melayu dan Tamil.
No comments:
Post a Comment