Tuesday, November 9, 2010

Jenis Ujian Bilik Darjah

Penilaian dalam bidang pendidikan merupakan suatu proses yang menentukan kualiti dan kuantiti pembelajaran pelajar dan keberkesanan pengajaran seseorang guru. Terdapat beberapa alat pengukuran yang biasa digunakan oleh seseorang guru iaitu ujian, soal selidik, senarai semak, inventori atau sesuatu skala. Penilaian mempunyai fungsi penting iaitu mengesan hasil pembelajaran yang diperolehi, mengesan jenis-jenis kemahiran yang diperolehi, mengesan tahap kemajuan yang dicapai dalam aspek-aspek pembelajaran yang lain, mengesan jenis-jenis masalah pembelajaran yang dihadapi oleh pelajar (Lee, 1993). Bagi mendapat fungsi penilaian tersebut seseorang guru berhadapan dengan penilaian diagnostik pada permulaan pembelajaran dan penilaian sumatif serta penilaian formatif selepas pembelajaran bermula.

Menurut Ng (1991), penilaian sumatif pula merupakan suatu aktiviti penilaian yang dilakukan pada akhir tiap-tiap aktiviti pendidikan umpamanya di sekolah, pada akhir tahun, akhir semester, akhir program, akhir eksperimen ataupun di akhir penggal. Sementara itu, bagi pihak Kementerian Pelajaran Malaysia, ujian sumatif merupakan satu sesi peperiksaan besar yang tarafnya sama dengan penilaian peringkat kebangsaan seperti yang diadakan pada akhir sembilan tahun pembelajaran iaitu Sijil Pelajaran Malaysia. Manakala penilaian formatif pula merupakan suatu cara penilaian yang dilakukan secara kerap.

Melalui penilaian formatif, maklumat pencapaian pelajar dapat diambil dari semasa ke semasa. Ujian yang dilakukan adalah sepanjang tempoh persekolahan atau sepanjang tempoh sesuatu kursus. Manakala penilaian sumatif pula suatu penilaian yang memberi tumpuan pada akhir tempoh sesuatu kursus. Dengan kata lain, penilaian sumatif memperlihatkan ruang skop penilaian yang agak luas, longgar dan jauh jaraknya.
 
Sumber: Bahagian Kurikulum Teknik & Vokasional, Jabatan Pendidikan Teknikal
Rajah 2.1: Hubungkait penilaian diagnostik, formatif dan sumatif.

No comments:

Post a Comment

Google+ Followers