Wednesday, November 24, 2010

Usamah Menentang Musuh Islam

SEBELUM Nabi uhammad meninggal dunia, beliau membentuk satu angkatan tentera yang diketuai oleh Usamah bin Zaid. Angkatan tentera itu dibentuk bagi menentang penduduk Ghassan. Ghassan adalah sebuah daerah jajahan Rom Timur. Permusuhan Rom disebabkan oleh tindakan mereka membunuh utusan Nabi Muhammad.

Permusuhan itu membawa kepada Perang Mu'tah. Dalam peperangan itu, beberapa panglima Islam terkorban termasuk Zaida bin Harisah. Penduduk Rom juga mempergunakan orang Arab yang tinggal di sempadan Syiria dan Palestin bagi menentang orang Islam.

Atas alasan itu, Nabi Muhammad mengarahkan satu angkatan perang yang diketuai oleh Usamah binZaid dibentuk. Nabi Muhammad mempersiapkan 700 tentera. Namun, takdir penentu segalanya. Sebelum angkatan tentera itu bergerak ke medan perang di Ghassan, Nabi Muhammad wafat.

Selepas Nabi Muhammad wafat, Khalifah Abu Bakar as-Siddiq diberi tanggungjawab meneruskan cita-cita Nabi Muhammad itu.

Pada masa itu, Usamah bin Zaid baru berusia 18 tahun. Usianya yang masih muda tidak menghalang dirinya bagi memikul amanah itu. Usamah taat dan patuh kepada perintah Allah dan Nabi Muhammad . Beliau juga adalah pahlawan yang gagah perkasa. Sebelum peperangan bermula, timbul satu masalah.

"Saya rasa gerakan tentera Usamah ini patut dihentikan serta-merta," kata salah seorang sahabat Nabi Muhammad yang berada di situ.

"Lagi pula, kita lihat pelbagai ancaman yang berlaku di kota Mekah dan Madinah pada masa sekarang," kata sahabat yang lain pula.

Sebahagian sahabat Nabi Muhammad berpendapat, gerakan tentera Usamah itu patut dibatalkan. Hal ini kerana ancaman dan pemberontakan berlaku di kota Mekah dan Madinah. Kaum Zubiyan dan kaum yang lain mengancam mahu menyerang kota Madinah.

Abu Bakar as-Siddiq tetap dengan pendiriannya meneruskan cita-cita Nabi Muhammad.

Katanya dengan tegas, "Demi Allah, saya akan meneruskan perjalanan tentera Usamah. Saya bertekad melaksanakan cita-cita Nabi Muhammad."

Sebahagian daripada sahabat yang lain tidak dapat menghalang keputusan yang dibuat oleh Abu Bakar as-Siddiq. Mereka terpaksa akur dengan arahannya untuk berangkat ke Rom.

Sebelum tentera Usamah bin Zaid berangkat ke medan perang, Abu Bakar sempat mengucapkan selamat jalan kepada Usamah.

"Selamat jalan. Semoga kamu membawa berita kemenangan kepada orang Islam yang lain," kata Abu Bakar kepada Usamah.

Pada masa itu, Abu Bakar mengiringi Usamah sehingga keluar kota Madinah. Pada ketika itu, Abu Bakar hanya berjalan kaki sementara Usamah menunggang kuda.

Melihat keadaan itu, Usamah berasa kurang selesa. Usamah berkata kepada Abu Bakar as-Siddiq, "Wahai Khalifah Abu Bakar, sepatutnya saya berjalan kaki dan tuan menunggang kuda ini sehingga ke pintu keluar kota".

Abu Bakar as-Siddiq membisu seribu bahasa dan hanya tersenyum mendengar pelawaan Usamah itu.
Bagi Usamah, beliau sepatutnya menghormati Khalifah Abu Bakar as-Siddiq. Beliau berasa tidak selesa dalam situasi itu.

"Marilah tuan, naik kuda ini. Tidak elok rasanya saya menunggang kuda seorang diri, sedangkan tuan berjalan kaki. Biarlah saya yang berjalan kaki," kata Usamah lagi.

Abu Bakar tersenyum dan berkata, "Tidak mengapa. Kamu sahaja yang menunggang kuda itu. Sekarang kamu berjihad ke jalan Allah demi menegakkan Islam. Saya berharap saya juga mendapat ganjaran pahala seperti mana kamu berada di medan perang."

"Sekiranya Khalifah berkata begitu, tidak mengapa. Tidak saya berasa malu pada khalifah," jawab Usamah pula.

"Berjuanglah habis-habisan. Bawa berita kemenangan kepada saya nanti," pesan Khalifah Abu Bakar as-Siddiq kepada Usamah.

"Baiklah, saya pasti berusaha sedaya upaya demi menegakkan agama Islam ini," balas Usamah pula.

Usamah meneruskan perjalanannya ke Ghassan bersama angkatan tenteranya. Selepas tentera Usamah bin Zaid berperang selama 40 hari, mereka berjaya mencapai kemenangan yang cemerlang. Usamah membawa berita gembira kepada umat Islam.

Kemenangan itu memberi kesedaran kepada kaum-kaum lain yang mahu menyerang Madinah. Kemenangan itu mengukuhkan lagi kedudukan politik dan keselamatan masyarakat Islam do kota Madinah dan kota Mekah. Akhirnya, tentera Usamah ditugaskan menjaga keselamatan kota Madinah.

lPetikan daripada buku Sayap dari Syurga terbitan PTS Islamika Sdn. Bhd.
Sumber: http://www.utusan.com.my/

No comments:

Post a Comment