Tuesday, January 25, 2011

Hari Valentine Bertentangan Dengan Syariat Islam

BUDAYA menurut Kamus Dewan bermaksud tamadun, peradaban dan keseluruhan cara hidup yang merangkumi cara berfikir, berkelakuan dan cara bertindak serta segala hasil kegiatan atau amalan kerohanian sesuatu masyarakat.

Islam menggalakkan umatnya berbudaya kerana akal menjadikan manusia makhluk bertamadun dan berperadaban. Dalam hal ini, Islam menggariskan prinsip kebudayaannya tersendiri seperti terkandung dalam al-Quran dan hadis. Dengan itu, akan lahirlah budaya hidup Muslim hakiki berteraskan iman dan takwa.

Hal ini sama sekali berbeza dengan kebudayaan bukan Islam yang prinsipnya dibentuk, dibina dan dikembang oleh pemikiran manusia berdasarkan hawa nafsu dan pengalaman hidup mereka semata-mata.

Sebenarnya golongan yang tidak senang dengan Islam cuba merosakkan budaya dan peradaban umat Islam dengan pelbagai cara. Mereka berusaha melalaikan umat Islam dengan pelbagai bentuk budaya dan peradaban bercanggah dengan syarak.

Apabila umat Islam lalai dan leka, mereka akan meminggirkan ajaran agama Islam. Terpinggirnya ajaran dan amalan keagamaan dalam diri umat Islam akan menjadikan mereka umat yang lemah dan mudah dipengaruhi unsur negatif.

Snouk Hurgronje, seorang orientalis dan penasihat Belanda di Indonesia pernah menjelaskan bahawa semakin kuat rakyat sesebuah negara yang dijajah itu menganut budaya dan peradaban Barat, maka semakin bebas mereka daripada ajaran Islam.

Pada masa kini, umat Islam terpaksa menghadapi pelbagai bentuk ancaman budaya. Antara ancaman itu khususnya yang perlu dihadapi ketika menjelang Februari setiap tahun ialah penularan budaya sambutan Hari Kekasih atau lebih dikenali sebagai 'Valentine's Day'.

Menurut Ken Swiger dalam artikelnya 'Should Biblical Christians Observe It?' menjelaskan, perkataan Valentine berasal daripada bahasa Latin bermaksud 'yang perkasa, kuat dan kuasa'.

Ini ditujukan khas kepada Nimroe dan Lupercus, tuhan masyarakat Rom. Dalam hal ini, sedar atau tidak seseorang yang menyambut Hari 'Valentine' adalah sama seperti menghidupkan kembali budaya pendewaan dan pemujaan patung-patung sembahan masyarakat Rom itu.

Meskipun begitu, sesetengah orang beranggapan sambutan ini kononnya adalah semata-mata untuk mengeratkan hubungan kasih sayang sesama manusia, lalu sebilangan masyarakat Melayu pun tidak terkecuali daripada menyambut Hari Kekasih yang jatuh pada 14 Februari setiap tahun.

Tidak cukup dengan itu, kadangkala sesetengah pasangan yang ingin bertunang dan berkahwin sengaja memilih 14 Februari sebagai tarikh untuk melangsungkan pertunangan dan perkahwinan mereka.

Dengan ini mereka beranggapan kononnya pertunangan dan perkahwinan yang diadakan itu akan dilimpahi dengan rahmat dan keberkatan.
Sebenarnya budaya menyambut Hari Kekasih ini dilihat semakin mendapat tempat dan popular dalam masyarakat Melayu terutama golongan remaja dan muda-mudi yang sedang hangat bercinta.

Bagi mereka tarikh 14 Februari sentiasa diingati dan ditunggu-tunggu. Namun, amat mendukacitakan apabila ingatan mereka terhadap tarikh Hari Kekasih ini mengatasi ingatan mereka terhadap tarikh-tarikh hari kebesaran dalam Islam seperti tarikh kelahiran Rasulullah SAW dan tarikh berlakunya peristiwa hijrah.

Apabila ditanya mengenai tarikh kelahiran Rasulullah SAW, maka mereka akan tercengang dan terpinga-pinga.

Bukan sekadar itu saja, malah ada sebilangan media massa sama ada media elektronik atau bercetak, tidak terlepas daripada membuat promosi secara besar-besaran melalui iklan dan tayangan filem yang ada kaitan dengan Hari Kekasih. Hal ini seolah-olah mendorong dan menggalakkan lagi sambutan itu.

Sebagai umat Islam, kita sepatutnya mengetahui bahawa beramal dan mengikut budaya yang bertentangan dengan ajaran Islam itu boleh menjejaskan akhlak, akidah dan keimanan kita. Dalam hal ini, kita seharusnya sentiasa bersikap waspada dengan sambutan kumpulan agama yang asalnya mempunyai kaitan dengan ibadat atau amalan keagamaan, kemudian ditukar menjadi amalan budaya dan adat.

Amalan ini kemudiannya disambut oleh pelbagai bangsa, termasuk sebilangan umat Islam atas nama budaya dan adat.

Menurut sejarah, ada beberapa kisah berkaitan asal usul sambutan Hari 'Valentine' ini.

l Sebelum abad ke-17 masihi, masyarakat Rom meraikan Hari 'Valentine' pada 14 Februari setiap tahun sebagai hari mencintai tuhan atau patung pujaan mereka. Dalam sambutan itu, mereka mengorbankan anjing dan kambing betina, kemudian darahnya dilumur pada tubuh dua orang pemuda. Tubuh yang berlumuran darah itu dibasuh pula dengan susu sebelum diarak ke tengah-tengah Kota Rom.

Ketika perarakan berlangsung, pemuda itu memegang kulit anjing dan kambing betina yang masih berdarah dan memalit darah berkenaan kepada sesiapa saja yang mereka jumpa. Gadis-gadis Rom amat gembira jika mereka dipalit darah oleh pemuda terbabit, kerana mereka percaya darah itu dapat menghalang mereka daripada menjadi mandul.

l 'Valentine' adalah paderi paling berpengaruh pada zaman pemerintahan Ratu Isabella dari Sepanyol. Kedudukannya dikatakan di tempat kedua selepas Paderi besar Pope. Ada beberapa kisah mengaitkan paderi Valentine ini dengan sambutan Hari 'Valentine'. Antaranya ialah paderi itu orang penting ditugaskan menjatuhkan Kerajaan Islam Cordova, Sepanyol.

Jasanya adalah sesuatu yang tidak boleh dilupakan dan sangat bermakna. Sehubungan itu, tarikh 14 Februari diputuskan sebagai cuti umum untuk merayakan kemenangan pada setiap tahun. Hal ini juga sebagai cara untuk mengenang semua jasa paderi Valentine itu dalam usahanya untuk menjatuhkan Islam .

Kesimpulannya, sebagai umat Islam kita wajib menghindari daripada mengamalkan budaya menyambut Hari Valentine. Ini kerana ia jelas bertentangan dengan syariat Islam selain dikhuatiri boleh menjejaskan akidah dan keimanan kita. Ingatlah, kesucian Islam akan dapat dipertahankan selagi umat Islam berpegang kuat dengan akidah Islam.

Oleh MOHD SHUKRI HANAPI
Sumber: http://interaktif.mstar.com.my/

No comments:

Post a Comment