Monday, January 24, 2011

Kisah: Syaitan Pun Baca Al-Quran?


Imam Bukhari meriwayatkan sebuah hadis daripada Abi Hurairah yang menceritakan kisah yang berlaku ke atas dirinya....

"Rasulullah s.a.w telah menugaskan saya untuk menjaga zakat Ramadhan. Tiba-tiba datang seseorang lalu mengambil sebahagian daripada makanan tersebut, lalu saya menangkapnya dan mengancam untuk membawanya mengadap Rasulullah s.a.w. Ia merayu "Tolonglah, saya sangat memerlukan makanan ini, anak-anak dan isteri sedang menunggu..."
Lalu saya pun membiarkannya pergi...

Apabila bertemu Rasulullah s.aw keesokan harinya, baginda bertanya " Wahai Abu Hurairah , apa yang kamu lakukan terhadap orang yang kamu tangkap malam tadi ?" Saya menjawab "Dia mengadu bahawa ia sangat memerlukan makanan , saya pun bebaskan kerana terlalu kesiankan dia"

Baginda bersabda "Dia berbohong, dia pasti akan datang lagi!".

Saya yakin memang lelaki itu akan datang lagi kerana Rasulullah s.a.w yang menyatakan demikian,lalu saya pun mengintip pada malam berikutnya. Lelaki itu datang lagi dan mengambil makanan. Saya menangkapnya lalu berkata "Aku akan membawamu berjumpa Rasulullah s.a.w!" Lelaki itu merayu lagi, sebagaimana kali pertama dan berjanji tidak akan datang lagi.Lalu saya bebaskannya .

Apabila bertemu Rasulullah s.aw keesokan harinya, baginda bertanya " Wahai Abu Hurairah , apa yang kamu lakukan terhadap orang yang kamu tangkap malam tadi ?" Saya menjawab "Dia mengadu bahawa ia sangat memerlukan makanan , saya pun bebaskan kerana terlalu kesiankan dia" Baginda bersabda "Dia berbohong, dia pasti akan datang lagi!".

Saya pun mengintip pada malam berikutnya. Lelaki itu datang lagi dan mengambil makanan. Saya menangkapnya lalu berkata "Aku akan membawamu berjumpa Rasulullah s.a.w!Ini kali ketiga, aku tidak akan lepaskan kamu lagi kerana kamu berjanji tidak datang , tetapi masih datang !" Lelaki itu berkata " Aku akan ajar kepada kamu sesuatu !" Saya bertanya " Apa dia??"
Lelaki itu berkata " Apabila kamu hendak tidur, bacalah Ayat Kursi , الله لا اله الا هو الحي القيوم hingga akhir ayat , nescaya Allah sentiasa menjaga kamu dan syaitan tidak akan sekali-kali mendekati kamu sehingga pagi " Saya pun melepaskan lelaki itu....

Apabila bertemu Rasulullah s.aw keesokan harinya, baginda bertanya " Wahai Abu Hurairah , apa yang kamu lakukan terhadap orang yang kamu tangkap malam tadi ?" Saya menjawab "Dia telah mengajar kepada saya sesuatu yang menyebabkan Allah menjaga saya, lalu saya bebaskan dia." Sabda baginda "Apa dia?"

Saya menjawab " Lelaki itu berkata , apabila hendak tidur , bacalah Ayat Kursi , الله لا اله الا هو الحي القيوم hingga akhir ayat , nescaya Allah sentiasa menjaga kamu dan syaitan tidak akan sekali-kali mendekati kamu sehingga pagi"

Baginda bersabda "Dalam perkara ini , dia telah berkata benar walaupun sebenarnya dia adalah seorang yang sangat suka bohong. Adakah kamu tahu siapa lelaki itu ?" Saya menjawab " Tidak" Sabda baginda "Itu adalah syaitan ! "

Sumber: http://mindaislamipages.blogspot.com/

No comments:

Post a Comment