Monday, January 31, 2011

Si Dia Curang?


Tidak setia, cinta beralih arah boleh berlaku kepada siapa saja

SI dia main kayu tiga? Bagai tubuh disambar halilintar dengan deras adrenalin bertubi-tubi sebaik menyedari buah hati yang selama ini dicintai berlaku curang. Umpama menikam dari belakang, begitulah pedihnya hakikat yang terpaksa ditelan.

Tatkala memikirkan ‘lakonan’ si dia sebelum kebenaran terungkai, tentu perasaan dendam, sakit hati serta benci menguasai diri dan membentak-bentak untuk membalas dendam atau menghukum si dia.

Mengapa tidak, insan yang selama ini cukup mengambil berat, menyayangi serta sering melakukan kejutan tiba-tiba berubah hati serta bertindak menduakan pasangan. Patutlah reaksi dan penampilan diri si dia berbeza, rupanya cinta beralih arah.

Adatlah, andai berbicara soal curang, lelaki sering dipersalahkan. Ada yang pantas menyalahkan lelaki yang sering rambang mata selain kononnya didorong faktor ‘kuota’ yang membolehkan lelaki menambah teman hidup.

Disoroti laporan akhbar sejak tahun lalu, ada lelaki menjadi mangsa dan menanggung sengsara kerana teman hidup berlaku curang. Seperti yang berlaku di Kuantan, Pahang, di mana seorang suami bekerjasama dengan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) untuk memerangkap isterinya yang berkelakuan sumbang dengan lelaki lain di dalam bilik sewa.

Apa yang lebih membuatkan hati suami bertambah remuk, beliau melihat sendiri si isteri yang dikahwininya selama lima tahun, bercumbu dengan pasangan dalam serbuan itu. Dalam kejadian lain di Kangar, Perlis, hasrat seorang suami berusia 31 tahun untuk melakukan kejutan hari lahir isterinya dengan membeli kek serta sejambak bunga di rumah, bertukar tragedi hitam apabila mengetahui isterinya berkhalwat dengan lelaki lain di sebuah hotel.

Lebih memilukan hati suaminya, isterinya sanggup berbuat demikian di hari jadinya sendiri termasuk mengabaikan dua anaknya yang berusia dua dan enam tahun.

Contoh dipaparkan ini membuktikan, dalam dunia yang penuh pancaroba ini, bukan lelaki saja yang sanggup berlaku curang sebaliknya wanita juga mampu melakukan perkara sama.

Mengulas isu kecurangan dalam perhubungan, penceramah bebas dan perunding motivasi, Prof Madya Dr Izuddin Ali, berkata ada banyak faktor yang menyebabkan seseorang itu berlaku curang. Ini termasuk faktor persekitaran, hubungan dingin serta jarak jauh perhubungan.

Dr Izuddin berkata, pada zaman yang penuh mencabar ini, bukan saja lelaki yang menduakan pasangan kerana wanita juga sudah berani untuk melakukan perbuatan sama.

“Adakah sebab mereka sendiri bertindak untuk berlaku curang kerana ada juga faktor dan alasan mengapa seseorang itu curang seperti membalas dendam, dicabar orang lain atau tidak mendapat layanan sepatutnya oleh pasangan sendiri.

“Masyarakat hanya memandang lelaki saja yang sering berlaku curang, tetapi boleh saya katakan di sini, wanita juga tidak terlepas untuk melakukan perkara sama terutama dengan adanya teknologi seperti laman sembang,” katanya.

Ditanya apakah alternatif yang boleh diambil untuk memulihkan hubungan selepas tragedi curang, Dr Izuddin berkata, pertama sekali, renung kembali apakah masalah dan kekurangan sehingga menjadi punca kepada berlakunya kecurangan itu.

Andai tidak ada masalah dalam perhubungan, akurlah pada kelemahan diri dan cuba untuk memperbaiki masalah dengan mengubah sikap, penampilan dan tarikan peribadi.

“Jangan ketepikan untuk memohon kepada Allah SWT dan bersama-sama dengan pasangan untuk melakukan solat hajat dan taubat bagi memulihkan kembali hubungan.

“Pesan saya, dalam pada kita asyik ingin mencari pasangan baru, belum tentu orang baru itu benar-benar membahagikan di kemudian hari. Silap hari bulan, mungkin pasangan baru lebih teruk daripada apa yang kita sangka,” katanya.

Apabila cinta dikhianati


“MEMANG mulanya kita akan berasa marah dan sedih. Tetapi, perlulah berfikir secara realistik dan pastikan apa yang berlaku sebenarnya. Biar ia terjadi di depan mata untuk benar-benar kita saksikan pada mata dan kepala sendiri. Perkara ini saya pernah alami tetapi saya jadikan ia sebagai pengajaran.

“Malah, ia tidak menghalang saya untuk berkenalan dengan orang lain dan tidak ada langsung istilah serik atau melabel semua wanita berperangai sama. Apabila sudah berlaku sedemikian, tidak ada sebab untuk saya menjauhkan diri sebaliknya masih lagi boleh berkawan tetapi tidak mungkin untuk bersatu kembali.
Zain Saidin, Pelakon

“ADALAH lebih baik berbincang dulu untuk mendengar apa yang pasangan ingin katakan. Jika memang sudah ada bukti yang kukuh dan dia pula mengaku salah, terpulang kepada kita sendiri sama ada ingin memberi peluang kedua atau tidak kerana kita ada hak itu.

“Andai sudah tidak boleh menyelesaikan masalah itu, berpisah mungkin jalan terbaik untuk kedua-dua pihak daripada bersama dan asyik mengimbau tindakan serta kecurangan dirinya selama ini. Bukankah itu tidak bahagia kelak? Malah, tidak mustahil kejadian itu akan memburukkan lagi hubungan.”
Dia Fadila, Penyanyi

INFO: 8 reaksi si dia curang

  1. Tidak semesra dulu: Jika sebelum ini, nampak kesungguhan dirinya dalam berhubungan, tetapi semuanya pantas bertukar. Bukan setakat tiada kata-kata manis, si dia juga seolah-olah mahu menjauhkan diri.
  2. Resah melampau: Bukan saja duduk tidak keruan, riak wajahnya juga membayangkan segala-galanya. Lebih-lebih lagi, si dia asyik melihat jam tangan...musykillah!
  3. Mematikan nada dering: Jika dulu, telefon andalah yang diterkam dulu untuk menguji tahap kesetiaan. Kali ini, si dia pula yang menyembunyikan telefon bimbit dan mengubah nada bunyi kepada mod gegar. Tidak cukup itu, telefon bimbit dibawa sampai ke bilik air. Faham-faham sajalah!
  4. Mudah naik angin: Pantang tersilap sikit, ada saja yang tidak kena. Jika si dia mahu selalu bersama, sekarang ada saja yang tidak kena. Pantang nampak kesalahan, bagai halilintar marahnya.
  5. Kurang menelefon dan bertanya khabar: Hakikat ini harus anda fahami semua. Ketika awal bercinta dulu, bukan main lagi gelagatnya menelefon serta menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS). Sekarang, semua tinggal kenangan.
  6. Alasan demi alasan: Jika sudah berumah tangga, ada saja alasan untuk pulang lewat. Bagi yang bercinta pula, si dia kerap memberi alasan sibuk bekerja. Sedangkan, semua itu dusta kerana sebenarnya, si dia sibuk berpacaran dengan orang lain.
  7. Panggilan rahsia: Bukan saja ada kod rahsia pada telefon bimbit, si dia juga sering menyamar seolah-olah sedang bercakap dengan orang penting di tempat kerja, walhal itulah ‘kekasih gelapnya’.
  8. Tersasul: Entah apa mimpi, si dia tiba-tiba memanggil anda dengan panggilan yang cukup manja dan berbeza. Sayang, manja, darling atau sebagainya. Jangan mudah terpedaya dengan nama palsu itu kerana di sebalik ungkapan itu, mungkin si dia tersalah sebut nama buah hati baru.
Oleh: Fairuz Zaidan
fairuzaidan@bharian.com.my
Sumber: http://www.bharian.com.my/

No comments:

Post a Comment