Tuesday, January 18, 2011

Budaya Membaca Bina Keutuhan Daya Berfikir


ISLAM meletakkan ilmu pada kedudukan tertinggi. Seruan Allah menerusi ayat al-Quran yang pertama diturunkan menyuruh membaca sudah cukup menggambarkan pentingnya umat Islam supaya menuntut ilmu.

Surah al-Alaq yang mana Nabi SAW disuruh membaca memperjelaskan budaya membaca seharusnya mewarnai kehidupan umat Islam yang sentiasa dahagakan ilmu pengetahuan. Malangnya, proses pembelajaran sepatutnya menjadi aktiviti sepanjang hayat tidak dibudayakan.

Kita kini hanya bersemangat belajar dan mengkaji semata-mata untuk lulus peperiksaan sekolah dan pusat pengajian tinggi saja. Itupun hanya berlegar kepada buku berkait rapat dengan pengkhususan diambil.

Budaya menjadikan membaca sebagai rutin hidup gagal dilaksanakan lantaran dihambat unsur lain lebih menarik perhatian.

Imam al-Ghazali pernah mewasiatkan mengenai memperkasakan budaya mencari ilmu pengetahuan: “Mencintai ilmu dan mengamalkan ilmu adalah tanda kecerdasan dan disukai Allah. Barang siapa yang keluar dari rumahnya dengan niat untuk mencari ilmu, nescaya dilindungi Allah sehingga ia kembali.”

Imam asy-Syafie mengatakan bahawa menuntut ilmu itu perbuatan yang lebih baik daripada mengerjakan solat sunat manakala Imam al-Qurthubi menganggap proses menuntut ilmu suatu keutamaan besar dan berada pada tingkatan mulia tidak dapat dibandingkan dengan perbuatan lain.

Begitulah pendapat ulama silam yang peka terhadap budaya ilmu dan dibuktikan bukan hanya melalui ucapan pendapat saja, sebaliknya mereka menunjukkan teladan hebat dalam membudayakan kecintaan terhadap ilmu.

Syeikh al-Janadi al-Saksaki menceritakan riwayat hidup Abu al-Khair bin Manshur al-Syammakhi al-Sa’di dalam kitab al-Suluk fi Tabaqat al-Ulama’ wa al-Muluk, mengatakan: “Sehingga menjelang akhir hayatnya, aku masih belum lagi menemui orang yang sama dengan hebatnya dari segi ilmu dan mencatat maklumat. Apabila melihat bukunya, ia sungguh bagus dan segala catatan sesuatu ilmu sangat kemas.”

Dikatakan Abu al-Khair bukan saja suka membaca dan mencatat ilmu, tetapi aktif serta produktif menghasilkan buku.

Ibnu al-Juham mengatakan, “Apabila aku mengantuk sedangkan belum tiba waktu tidur, maka aku terus mengambil buku dan membacanya. Saat membaca, aku merasakan hatiku bergoncang dan seronok kerana mendapatkan apa yang kucari. Semangat ketika membaca, adalah semangat yang boleh membangunkan tidurku.”

Demikian personaliti hebat insan yang begitu cinta kepada ilmu dan sentiasa membudayakan amalan membaca. Mampukah kita meneladani perwatakan seumpama itu dengan menganggap membaca dan mencari ilmu sebagai suatu amalan menyeronokkan?

Kalaupun ada minat membaca, bahan bacaan itu lebih tertumpu kepada majalah hiburan atau novel cinta yang rata-rata tidak langsung merangsang minda untuk berfikir secara efektif.

Walaupun itu juga budaya membaca, namun gaya seperti itu tidak menjurus kepada cara mempertingkat daya ilmu yang bermanfaat. Ia sekadar hiburan untuk melepaskan tekanan saja.

Kita umat Islam seharusnya membudayakan diri membaca bahan bermutu dalam pelbagai cabang ilmu. Kata al-Hafiz Abu Tahir yang juga seorang pencinta ilmu, “Buku lebih berharga daripada emas, walaupun emas itu seberat buku ini.”

Sesetengah kita mungkin menganggap membaca buku membosankan. Ini bermakna kita sudah jauh daripada budaya ilmu dan tidak akan mampu membina keutuhan daya fikir yang hebat.

Jadi, untuk membina satu tamadun ummah yang tinggi dengan kehidupan sempurna, kita perlu mengubah tabiat lama yang tidak suka membaca kepada mencintainya. Didiklah diri dan ahli keluarga mewarnai kehidupan seharian dengan amalan mulia ini.

Oleh Mohd Rizal Azman Rifin
Sumber: http://www.bharian.com.my/

No comments:

Post a Comment