Wednesday, January 19, 2011

Dunia Lelaki: 10 Hobi Ideal Lelaki


Tonjol potensi diri, isi masa lapang dengan kegiatan berfaedah

ASYIK memberi tumpuan pada urusan kerja, tiba masanya jejaka melakukan perubahan dalam hidup. Apa kata teroka aktiviti baru yang mampu mengisi masa selain meningkatkan potensi diri. Seperti aktiviti bersukan, hobi juga sebenarnya mampu membezakan jejaka dengan individu lain.

Jejaka yang mempunyai hobi pasti memiliki karektor tersendiri, lebih sensitif serta dilihat lebih berdisiplin dan tekun berbanding individu lain yang mungkin tidak mempunyai sebarang minat.

Dengan adanya hobi, lelaki pasti bersemangat dalam meniti hari kerana menemui cinta baru. Bertolak dari sini, lelaki juga mampu melihat kehidupan dengan perspektif berbeza malah mendorong mereka menjadi insan lebih baik dan produktif kerana merasakan kehidupan lebih sempurna. Antara pilihan hobi terbaik yang dicadangkan untuk Lelaki ialah

1. Mentor

Ini mungkin hobi terbaik! Tidak salahnya lelaki bertindak sebagai mentor dengan memberi khidmat bimbingan kepada golongan muda. Tidak perlu mengeluarkan sumber kewangan yang banyak, sumbangan boleh dibuat secara individu atau pertubuhan sukarela di tempat anda. Inilah masanya untuk anda menyumbang sesuatu yang bernilai kepada masyarakat.

2. Tubuhkan kelab hobi

Banyak cara boleh dilakukan untuk membentuk kenalan baru melalui hobi. Mahu berbeza daripada penubuhan kelab kereta atau motosikal yang sudah terlalu umum, apa kata anda tubuhkan kelab hobi jenama pakaian, koleksi kasut atau jam tangan klasik sebagai permulaan. Mana tahu, anda beroleh laba kerana dapat menjual koleksi barangan anda kepada peminat lain.

3. Kumpul lukisan

Walaupun terpaksa berbelanja sebagai modal membeli lukisan, siapa tahu hobi ini mampu membuka peluang perniagaan kepada jejaka kreatif. Mana tidaknya, selain menjadikan lukisan sebagai pelengkap hiasan rumah, hobi ini boleh menjadi satu perniagaan tambahan - lebih-lebih lagi jika anda mengumpul lukisan pelukis tersohor. Semakin meningkat usia koleksi lukisan anda, lebih bertambah nilainya!

4. Jadi jurulatih

Anda berbakat dalam sukan? Mungkin sukan renang atau futsal, inilah masanya untuk mengembangkan hobi ini sebagai sumber pendapatan baru sebagai jurulatih. Selain dapat berkongsi pengalaman dalam sesuatu acara sukan, siapa sangka bakat terpendam anda mampu melahirkan jagoan baru?

5. Memancing

Biarpun hobi ini dianggap normal, anda masih boleh mempelbagaikan aktiviti termasuk mengadakan rombongan memancing di kawasan yang jarang diteroka sebelum ini sebagai suatu kelainan. Anjurkan pula acara sampingan bagi menambah keseronokan.

6. Beli belah di laman maya

Siapa kata perempuan saja kaki shopping, lelaki boleh melakukannya di laman maya yang menawarkan 1,001 pilihan barangan secara online. Lihat saja beberapa laman web seperti www.mudah.my dan lelong.com.my yang boleh menjadi alternatif membeli belah dalam talian. Siapa sangka anda berpeluang memiliki jam tangan Tag Heuer atau kasut Louis Vuitton pada harga murah!

7. Bikin kereta

Hobi paling digemari jejaka! Mengapa tidak, lelaki sanggup meluangkan lebih banyak masa bersama kereta termasuk menambah aksesori kenderaan hingga sanggup berlapar. Pantang trend terkini, ada saja yang ingin diganti atau ditambah termasuk sport rim, pelekat kereta, lampu dan dan alas karpet kenderaan sekalipun.

8. Muat turun filem

Inilah dikatakan gaya hidup zaman moden. Lelaki urban tidak lagi cenderung menonton filem terkini di pasaran atau membeli DVD. Ini kerana dengan teknologi maya sedia ada, mereka mampu memuat turun filem kegemaran. Lebih murah dan mudah, aktiviti ini menambahkan lagi koleksi peribadi mereka.

9. Sukan Paintball

Biarpun sakit dan mendebarkan, aktiviti sukan paintball terus hangat sebagai sukan ekstrem kegemaran jejaka. Setiap minggu, aktiviti inilah yang dilakukan. Sukan ini juga mampu meredakan tekanan kerja serta membentuk pemikiran strategik anda.

10. Blog

Terlalu banyak idea? Apa kata ilhamkan kreativiti yang anda miliki dengan menubuhkan satu blog khas untuk anda curahkan apa saja perkara yang difikirkan wajar untuk dikongsi bersama orang lain. Tidak kiralah blog berkisar hobi, idea menjana pendapatan, kongsi pengalaman atau apa saja bahan boleh dipaparkan melalui laman blog. Anda pasti mempunyai peminat kelak!

Oleh Fairuz Zaidan
Sumber: http://www.bharian.com.my/

No comments:

Post a Comment

Google+ Followers