Dunia Islam zaman dahulu telah melahirkan tokoh falsafah terkemuka dalam bidang perubatan iaitu Ibnu Sina. Intelektual agung ini telah dilahirkan pada tahun 980 M di Afshana di wilayah Bokhara. Namanya yang sebenar ialah Ali Husain b. Husain b. Ali b. Sina. Keturunannya menjadi rebutan berbagai bangsa.
Bangsa Farsi mendakwa Ibnu Sina dari keturunan Farsi, bangsa Turki pula mengakuinya dari darah Turki, sedangkan bangsa Arab pula menganggapnya dari baka Arab. Tetapi yang pasti ialah Ibnu Sina berdarah Farsi dan berkebudayaan Arab. Lebih jauh dari itu beliau seorang tokoh Antarabangsa yang telah memberi sumbangan yang bukan sedikit kepada tamadun hidup umat manusia.
Ibnu Sina mendapat pendidikan pertamanya di Kota Bokhara. Semenjak dari kecil lagi, beliau telah memperlihatkan kecerdikan dan kecerdasan yang luar biasa. Ketika umurnya 10 tahun Ibnu Sina telah menghafal kitab suci Al-Quran serta ilmu-ilmu kesusasteraan yang lain. Beliau mempunyai daya ingatan yang tajam di sepanjang hayat hidupnya. Beliau pernah bercerita bagaimana beliau menghafal kitab metafizik karangan Aristotle tanpa mengerti tujuannya, tetapi setelah beliau setelah beliau habis membaca kitab falsafah Al Farabi yang mengulas tentang kitab fizikal itu maka barulah beliau perolehi fahaman yang luas.
Ibnu Sina belajar ilmu peundangan Islam dari Ismail Al Zahid, seorang ulamak yang terkemuka di zaman itu dan belajar ilmu hisab (matematik) dan geometri dari Mahmud Al Masah, seorang pekedai di situ. Kemudian Ibnu Sina belajar falsafah dari seorang pendita bernama Abu Abdullah Alnatali. Tidak lama kemudian kepintarannya telah mengatasi guru-gurunya sendiri dan semenjak itulah beliau memajukan dirinya dengan meluaskan melalui pembacaan sendiri dalam berbagai cabang ilmu ketika itu, seperti ilmu logik, geometri dan perubatan. Berkat kecerdasan akal yang dikurniakan Allah s.w.t., Ibnu Sina telah berjaya menguasai ilmu perubatan sewaktu umurnya berumur 16 tahun lagi melalui cara belajar sendiri sahaja. Semenjak dari itu Ibnu Sina beliau telah mula mengubati ramai orang pesakit dan telah memperolehi banyak kejayaan yang mengkagumkan. Akhirnya nama Ibnu Sina menjadi perbualan orang ramai dan terus menjadi termahsyur.
Ibnu Sina juga telah berjaya mengubati Raja Bokhara, iaitu Nuh b. Mansur yang mengidapi sejenis penyakit yang tidak dapat diubati oleh para tabib yang lain. Sebagai mengenangkan jasa Ibnu Sina, Raja Bokhara telah melantik beliau sebagai doktor peribadi Baginda, dan Ibnu Sina diberi keizinan istimewa untuk menggunakan kutubjhanah Al Samani yang mengandungi ribuan buah kitab dalam bidang ilmiah.
Ibnu Sina adalah seorang yang gigih membaca, menyelidik dan belajar. Ketika umurnya meningkat 18 tahun beliau telah berjaya menguasai seluruh ilmu yang ada dizamannya. Ibnu Sina mulai mengarang buku-buku dalam usia yang muda setelah mendalami pengajian dan pengalamannya. Beliau terus gigih mengarang hingga karya-karyanya berjumlah lebih dari seratus karya dalam bidang ilmu pengetahuan. Karya-karya beliau yang penting dalam ilmu falsafah ialah Al-Syifa sementara karyanya yang teragung dalam ilmu perubatan pula ialah Kitab Al-Qanun yang hingga kini dianggap sebuah ensaiklopedia perubatan yang lengkap sebagai hasil dari percubaan-percubaan dan pengajian-pengajian yang luas. Keistimewaan kitab Al-Qanun itu terletak pada susunannya yang kemas, kajian yang luas dan isi-isinya yang lengkap yang dapat memberi segala penerangan yang diperlukan oleh seorang doktor. Setelah buku itu diterjemahkan dalam bahasa Latin dan menjadi bahasa-bahasa Eropah lain, buku ini telah menjadi buku teks perubatan yang penting di universiti-universiti Eropah, England dan Scotland.
Universiti yang pertama sekali mengiktirafkan buku Al-Qanun Ibnu Sina juga telah menulis berbagai-bagai risalah tentang perubatan seperti risalah tentang ubat-ubat penyakit jantung dan tentang saluran darah. Ibnu Sina ialah seorang yang sangat gemar melakukan percubaan-percubaan ini dan dapat mengemukan teori-teori perubatannya, malah beliau telah mencipta kaedah-kaedah percubaan dan di sinilah letaknya keistimewaan serta rahsia kemahsyuran beliau sebagai pakar perubatan. Walaupun ilmu pembedahan di zaman itu belum lagi begitu meluas, namun Ibnu Sina sangat mahir melakukan beberapa pembedahan kecil, terutamanya pembedahan penyakit kanser di bahagian luar tubuh.
Ibnu Sina merupakan ahli perubatan yang mula-mula sekali meperkatakan tentang penyakit-penyakit bengkak dalam otak, dan beliau juga telah menyiasat dengan mendalam penyakit-penyakit barah dalam perut. Di dalam kitab Al-Qanunnya, Ibnu Sina telah mengupas tentang penyakit TB (batuk kering), sebagai penyakit yang boleh berjangkit dari seorang pesakit kepada orang yang sihat. Ibnu Sina menegaskan penyakit ini menggunakan perantaraan tanah dan air. Ini menggambarkan Ibnu Sina lebih dahulu mengetahui tentang adanya kuman dan wabak yang ditimbulkan oleh penyakit berbanding dengan ahli perubatan barat. Ibnu Sina juga telah menerangkan sistem peredaran darah dalam tubuh manusia enam ratus tahun lebih awal daripada penyiasatan William Harvey (1578-1657) iaitu ahli perubatan Inggeris yang dianggap sebagai pelopor dalam penyiasatan mengenai peredaran darah. Salah satu kaedah perubatan yang sampai sekarang digunakan ialah penggunaan suntikan bius, dimana Ibnu Sina dianggap ahli perubatan yang mula-mula sekali melakukan suntikan di bawah Kulit dengan menggunakan jarum dan melakukan pembedahan dengan menggunakan bius.
Disamping kehebatan Ibnu Sina dalam bidang perubatan dan falsafah, Ibnu Sina juga merupakan penyajak dan ahli politik yang handal. Beliau pernah menyandang jawatan Menteri selama enam tahun di Hamadan di zaman Raja Shamsul Daulat. Dalam bukunya ‘Assyifa’ Ibnu Sina telah mengemukakan pandangan-pandangan ringkas tentang politik alirannya. Menurut beliau, ketua negara mestilah seorang Khalifah yang sah dengan ketetapan nas.
Bentuk negara yang menjadi cita-cita beliau ialah sebuah negara sosialis dimana pemerintah berkewajipan menghapuskan pengangguran. Katanya “Jangan ada dalam negara seorang penganggur pun yang tidak ada tempat yang tetap, malah setiap orang harus dapat menikmati faedah negara.” Seterusnya beliau menganjurkan bahawa negara haruslah menghapuskan segala gejala-gejala keruntuhan akhlak seperti judi, riba dan zina.
Tokoh intelek Islam ini telah meninggal dunia pada tahun 1037 M di Hamadan akibat terlalu keras bekerja dan mengarang dan akibat pengidapan kudis dalam perut.
No comments:
Post a Comment