Monday, January 24, 2011

Sudahkah Kita Berfikir?


TIDAK pernah dalam sejarah, sesebuah masyarakat atau kaum itu mencapai ketinggian tamadun melainkan dengan pemikiran yang tinggi.

Sejarah umat Islam menunjukkan betapa ramai lahirnya tokoh-tokoh ilmuwan Islam yang hebat seperti Imam Asy-Syafie, Ibnu Sina, Ibnu Khaldun dan ramai lagi yang mana mereka ini merupakan tokoh pemikir ulung Islam.

Kewujudan ini kesan daripada kesedaran yang mendalam tentang betapa pentingnya falsafah atau pemikiran sesebuah umat itu dibentuk. Rasulullah SAW, seorang insan pilihan yang sangat menitikberatkan soal pemikiran pernah bersabda: "Yang terlebih hampir dengan aku pada hari kiamat, adalah orang yang terlebih lapar dan berfikir".

Ini jelas betapa penting dan mulianya seseorang yang menggunakan sepenuhnya nikmat fikiran yang hanya Allah anugerahkan kepada kita. Sering kita mendengar pesanan-pesanan daripada ilmuwan Islam yang menyuruh kita memikirkan tentang apa yang diciptakan oleh Allah, kerana itu akan mendatangkan manfaat buat diri.

Firman Allah SWT dalam surah Ali-Imran ayat 190 bermaksud: Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda kekuasaan, kebijaksanaan dan keluasan hemah Allah bagi orang-orang yang berakal (berfikir).

Kita tertanya-tanya, berfikir bagaimana yang akan membuatkan kita beruntung di sisi Allah. Adakah memikir tentang bagaimana mengejar kekayaan seperti seorang ahli perniagaan memikir cara mengembangkan perniagaannya?

Memikir bagaimana mengurus kehidupan harian seperti si ayah memikir apa yang terbaik perlu dilaksanakan untuk keluarganya? Banyak sekali cabang fikirnya, dan semua pemikiran yang disebut tadi ada manfaatnya untuk diri kita. Cumanya kolum kali ini kita akan mencari makna fikir yang dikehendaki oleh baginda Nabi SAW.

Ibrahim ibnu Adham, seorang ulama sufi mengenengahkan tiga bentuk pemikiran:
  1. Memikirkan segala kejadian Allah dan menjadikan itu sebagai dalil kewujudan dan kekuasaan Allah, ini kelakuan golongan ulama.
  2. Memikirkan setiap kejadian Allah dengan lebih mendalam dan kelebihan setiap nikmatnya, lalu timbul perasaan syukur kepada Allah.
  3. Memikirkan tentang amalan hariannya (post moterm) supaya tidak tercemar dengan perasaan riak dan takbur yang membinasakan amalan dan dirinya, ini kelakuan ahli ibadah.

Sememangnya dengan berfikir akan membuatkan kita mengetahui di mana kedudukan diri kita, sama ada mengikut acuan yang dikehendaki oleh Islam atau sebaliknya.

Melihat kepada sejarah kegemilangan Islam di era pemerintahan Khulafa Ur-Rasyidin, kerajaan Islam ketika itu berjaya memerintah sebahagian besar daripada dunia, apa rahsianya? Selain dari tahap iman dan takwa yang tinggi kepada Allah, rupa-rupanya pemikiran muda-mudi ketika itu sentiasa dibendung dengan '1 fikrah', iaitu cintakan ilmu terutama ilmu yang mengukuhkan keimanan kepada Allah.

Kesan didikan Rasulullah SAW masih tegar dalam hati mereka, Rasulullah mendidik supaya memerangi penyakit wahan dalam hati dan fikiran, sahabat bertanya: "Apakah itu penyakit wahan?" Maka jawab baginda, "Cintakan dunia, takutkan mati".

Sesebuah masyarakat yang terlalu mencintai kehidupan dunia akan membuatkan mereka alpa dan berpaling daripada perintah Allah, ini pernah berlaku kepada kaum Tsamud yang mana mereka akhirnya dihancurkan oleh Allah. Begitu juga dengan kaum nabi-nabi Allah yang lain.

Sememangnya kita tidak sanggup ia berlaku kepada masyarakat di negara kita. Maknanya, pemikiran seperti inilah perlu diterapkan kepada remaja kita. Ini akan membawa remaja kita kenal kepada matlamat dan peranan utama di ketika usianya.

Faedah berfikir

Diriwayatkan daripada Abi Sulaiman, Nabi SAW bersabda: "Berfikir tentang akhirat itu akan memperolehi hikmah dan menghidupkan hati. Dan berfikir pada (kesibukan) dunia semata-mata maka akan menjadi dinding (yang mengkaburkannya) tentang akhirat".

Tentu sekali orang yang berfikir perihal akhirat akan membuat dirinya sentiasa berhati-hati dalam setiap tingkah lakunya agar tidak mengundang kemurkaan Allah, kerana kesedaran bahawa setiap amalan yang baik dan buruk akan dihitung Allah walaupun sebesar biji sawi sekalipun.

Ini pula kajian kesan daripada berfikir, orang yang jarang-jarang berfikir atau memerah otaknya untuk berfikir mempunyai paling minimum 10 bilion sel. Setiap sel berhubung antara satu sama lain. Orang yang rajin dan kuat berfikir mempunyai hingga 1 trilion sel dalam kapasiti saiz otak yang sama. Semakin kerap atau semakin kuat kita berfikir, semakin banyak sel yang terbentuk.

Jadi, inilah masanya untuk kita mengunakan sepenuhnya nikmat akal fikiran yang sangat hebat ini untuk merealisasikan impian diri dan agama. Dengan memikirkan tahap keimanan, kualiti kehidupan dan ibadah kita, serta persediaan menghadap pencipta kita nanti.

Kata seorang ulama, Fudhail r.a, "Fikir itu cermin hati, dan dengannya kita melihat segala kebaikan, kesilapan, manfaat dan mudarat dalam perihal kehidupan kita." Mudah-mudahan dengan fikrah pemikiran yang dikongsi kali ini menjadi satu inspirasi hebat buat pembaca untuk memulakan hari-hari mendatang dengan penuh pengharapan kepada reda Allah. Salam perubahan.

Sumber: http://www.utusan.com.my/

No comments:

Post a Comment