Sunday, January 16, 2011

Salur Kencing Sempit

MINGGU ini saya ingin berkongsi aduan seorang lelaki berusia 20-an, sudah berkahwin dan mempunyai dua anak. Masalahnya berkisar kepada alat sulitnya, terutama selepas membuang air kecil.

Menurut pengadu, ada lelehan kencing setiap kali selesai membuang air kecil dan memaksanya menggunakan tuala untuk mengelap kemaluan. Dia mendakwa masalah itu berlanjutan hampir enam tahun.

Berdasarkan permasalahannya, ingin saya nyatakan bahawa keciciran air kencing yang dialami seperti itu sebenarnya kerap berlaku kepada lelaki.

Ini kerana air kencing mudah tersangkut dalam salur selepas selesai membuang air kecil dan terkeluar ketika lelaki itu mengemaskan anggota kelamin ke dalam pakaian dalam atau ketika mula mahu berjalan dan menegakkan badan.

Perkara ini berlaku apabila salur kencing sempit di paras pundi prostat akibat keradangan pundi prostat atau kesempitan di bahagian penghujung salur kencing akibat cerutan atau ‘stricture’.

Adakalanya kesempitan salur kencing berlaku akibat ‘vulve’ atau injap yang kebetulan ada dalam salur kencing. Jika semua perkara dinyatakan itu berlaku, air kencing boleh menitis keluar selepas selesai buang air kecil dan titisan kencing boleh berlaku sedikit atau untuk jangka masa lebih panjang.

Pada pandangan saya, sebilangan besar lelaki mengalami masalah keciciran air kencing kerana ketika ‘mengemas’ kembali kedudukan alat sulit pada seluar dalam selepas selesai kencing, kedudukan salur kencing yang mungkin tersepit menjadi sedikit lega ketika dalam seluar dan ia akan terkeluar.

Jika mereka buang air kecil dengan menanggalkan seluar dan alat kelamin tidak tersangkut ketika mengemaskannya kembali dalam pakaian dalam, perkara itu tidak akan berulang.

Seperti aduan pengadu yang sudah lama mengalami masalah sebegitu. Sudah tentu perkara itu membimbangkan, sebab itu dia mendapatkan khidmat nasihat dengan mengajukan aduan kepada saya.

Kini sesiapa juga yang mengalami masalah sebegitu tahu mengenai sebab kencing tercicir boleh berlaku.

Jika masalah itu berlarutan dan meruncing, mustahak untuk sesiapa yang mengalaminya berjumpa doktor untuk diperiksa. Sebaik-baiknya jangan dibiarkan perkara itu berpanjangan tanpa diperiksa.

Oleh: Dr. Ismail Thamby Sumber: http://www.hmetro.com.my/

No comments:

Post a Comment