- Allah SWT mengakhiri Surah al-Balad dengan menerangkan golongan kaum kanan dan golongan kaum kiri (Ashabul Maymanah dan Ashabil Mash'amah), kedua-dua golongan itu diulang semula dalam ayat kesembilan dan ke-10.
- Allah SWT juga mengakhiri Surah al-Balad dengan menerangkan tingkah laku orang kafir di akhirat. Sedangkan dalam surah ini Dia mengakhiri dengan menerangkan tentang tingkah laku mereka di dunia.
Ibnu Jarir berkata: Yang benar adalah dengan menyatakan "Allah bersumpah dengan matahari dan siangnya," kerana sinaran matahari yang paling jelas adalah pada waktu siang. Ibnu Jauzi pula mengemukakan tiga pendapat berkenaan dengan maksud dhuha.
- Cahayanya. Inilah pendapat Mujahid.
- Siang hari keseluruhannya. Inilah pendapat Qatadah dan Ibn Qutaibah.
- Kepanasannya. Inilah pendapat al-Suddi.
Qatadah berkata: Iaitu jika mengikutinya pada malam bulan purnama, jika matahari tenggelam maka rembulan akan muncul.
Ibn Zaid menyatakan: Bulan purnama berlaku pada pertengahan pertama setiap bulan. Kemudian matahari mengikutnya, di mana bulan mendahuluinya pada pertengahan terakhir setiap bulan.
Firman Allah SWT: Dan siang apabila ia memperlihatkannya dengan jelas nyata.
Al-Maraghi berkata: Allah SWT bersumpah dengan siang yang menampakkan matahari dengan jelas dan bersinar penuh. Manakala siang semakin terang, semakin sempurna sinar matahari, walaupun siang itu sendiri berasal daripada matahari. Tuhan bersumpah dengan benda-benda tersebut sebagai petunjuk betapa pentingnya masalah cahaya dan besarnya kenikmatan yang terdapat di dalamnya. Di samping untuk menarik perhatian kita bahawa benda-benda tersebut termasuk bukti kekuasaan dan kenikmatan Allah yang besar.
Firman Allah SWT Dan malam apabila ia menyelubunginya (dengan gelap-gelita).
Al-Maraghi berkata: Ayat ini mengandungi petunjuk bahawa malam menutup planet yang besar (matahari), lalu memudarkan cahayanya dan mengubah alam yang cerah menjadi gelap walaupun manfaat matahari itu begitu besar tetapi tetap tidak layak dijadikan Tuhan. Ini kerana, Tuhan yang sebenarnya tidak berubah, musnah atau ditimpa oleh sesuatu perubahan.
Firman Allah SWT: Demi langit dan yang membinanya (dalam bentuk yang kuat kukuh yang melambangkan kekuasaan-Nya).
Al-Maraghi berkata: Langit disebutkan dengan perkataan bangunan untuk menyatakan adanya unsur-unsur yang menunjang dan menyempurnakannya menuju sesuatu ketetapan yang tinggi dan kekuasaan Allah SWT yang sempurna, bahawa langit itu pasti ada pencipta-Nya yang bijaksana yang meneguhkan letak bangunan ini dan mengaturnya serba rapi.
Dia telah mengikat bintang-bintang di langit dengan daya kekuatan saling tarik menarik, seperti suatu bangunan sehingga jadilah bangunan yang teguh.
Firman Allah SWT: Serta bumi dan yang menghamparkannya (untuk kemudahan makhluk-makhluk-Nya).
Al-Maraghi berkata: Allah SWT bersumpah dengan bumi yang terhampar untuk dijadikan tempat tinggal dan menjadikan manusia dapat mengambil manfaat daripada permukaannya seperti tumbuhan, serta haiwan-haiwan. Begitu juga dapat mengambil manfaat daripada perut bumi seperti segala jenis galian dan mineral.
Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI
Sumber: http://www.utusan.com.my/
No comments:
Post a Comment