Monday, January 3, 2011

Kemurungan-Derita Dalam Diam

Sepanjang tahun 2010, kita menyaksikan banyak kes kemurungan dan tekanan hingga menyebabkan mangsa membunuh diri.

Ada antara pesakit dan ahli keluarga tidak mengambil berat penyakit ini walaupun ada rawatan seperti ubat-ubatan dan kaunseling.

Mungkin masyarakat tidak sedar bahawa masalah mental merupakan penyakit sepanjang hayat dan ia boleh berulang-ulang tanpa mereka sedari.

Justeru itu, pesakit tidak boleh berhenti mengambil ubat sewenang-wenangnya tanpa nasihat pakar psikiatri.
Kes bunuh diri yang terbaru dipaparkan di media ialah Mark Madoff, anak lelaki sulung kepada penyeleweng pelaburan Bernard Madoff dijumpai mati dalam keadaan tergantung di pangsapuri miliknya.

Puncanya apabila Mark, 46 yang bekerja di firma bapanya dan dia mula tertekan sejak dua tahun lalu apabila dituduh bersubahat terlibat dalam sindiket penipuan pelaburan.

Bapanya, Bernard Madoff yang berusia 72 tahun dikenakan hukuman penjara selama 150 tahun kerana terlibat dalam sindiket pelaburan haram terbesar dalam sejarah penipuan kewangan.

Ini antara cebisan kisah tekanan mental yang berkesudahan dengan peristiwa menghayat hati.
Cuba bayangkan sekiranya Mark berjaya diselamatkan dengan pendedahan rawatan kesihatan mental, mungkin dia berjaya mengawal keadaan dan dirinya.

Seperkara yang perlu masyarakat faham ialah tekanan dan kemurungan tersebut mungkin boleh berulang jika pesakit berhenti memakan ubat.

Kadang-kadang pesakit dan ahli keluarga tidak menyedari kehadiran simptom-simptom awal penyakit mental ini seperti sakit atau pening kepala, sakit belakang (pinggang), sakit otot dan sendi, sakit dada, masalah pencernaan, cepat berasa penat dan tidak bertenaga, sukar tidur malam dan perubahan selera makan.
Takut dan malu

Menurut Pakar Psikiatri dan Terapi Kognitif, Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Dr. Maniam Thambu, terdapat beberapa sebab kenapa individu yang mengalami masalah mental takut dan malu mendapatkan rawatan berkesan.

Masalah ini sepatutnya dapat dielak kerana mereka boleh mendapatkan rawatan pada bila-bila masa di kebanyakan hospital dan klinik.

Namun, disebabkan prejudis masyarakat, pesakit dan ahli keluarga tidak mahu mendapatkan rawatan.
Fenomena ini tidak hanya melanda masyarakat kita kerana penduduk negara maju seperti Amerika Syarikat masih mengalami masalah sama. Kajian selama 10 tahun (1996 hingga 2006) dijalankan Universiti Indiana dan Columbia mendapati, pelbagai kempen kesedaran mengenai penyakit mental masih tidak mampu mengubah tanggapan negatif masyarakat di sana.

"Perkara ini juga membuatkan golongan berpendidikan tinggi, termasuk pelajar perubatan, tidak mahu mendapatkan rawatan kerana bimbang mereka dianggap kurang keupayaan mengendalikan masalah dan berdepan tekanan.

Hasil kajian penyelidik Universiti Michigan itu juga mendapati, alasan mereka tidak mahu mendapatkan rawatan ialah takut ia menjejaskan masa depan," jelasnya pada sidang media Kemurungan di Malaysia — Menderita Dalam Diam dalam bengkel media anjuran Pfzer Malaysia di The Gardens, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Dalam konteks ini, orang ramai sering terlepas pandang kepentingan penjagaan kesihatan mental yang boleh menganggu keseluruhan kesihatan badan. Ia boleh menyebabkan tekanan berlebihan, kemurungan dan skizofrenia.

Secara purata, satu daripada 10 orang di Malaysia mempunyai masalah kesihatan mental dan di seluruh dunia dianggarkan 450 juta orang mengalami gangguan mental. Daripada jumlah ini 120 juta dilanda kemurungan manakala 24 juta mengalami skizofrenia, tetapi kebanyakannya tidak mendapat rawatan sewajarnya.

Kemurungan tidak berlaku pada orang dewasa saja, malah kanak-kanak juga boleh mengalaminya. Kajian Morbiditi dan Mortaliti Kebangsaan 2006 mendapati daripada 14,000 responden yang mengalami masalah kesihatan mental, 20 peratus adalah kanak-kanak, manakala 11 peratus pesakit dewasa.

Kemurungan yang tidak diberi rawatan sewajarnya boleh menyebabkan seseorang bertindak agresif seperti keinginan membunuh diri.

Menurut Dr. Maniam, kemurungan boleh dirawat dengan pengambilan ubat anti kemurungan, psikoterapi atau gabungan kedua-duanya yang boleh membantu pesakit mengembalikan kesihatan mental sebanyak 80 peratus.

Dalam pada itu, Pensyarah Psikiatri dan Farmakologi, Universiti Toronto, Prof Madya Dr Roger Mclntyre berkata, Laporan Kesihatan Dunia 2001 mengenai kesihatan mental menganggarkan menjelang 2020, penyakit kemurungan kronik akan menduduki tempat kedua selepas penyakit jantung yang menyebabkan punca utama ketidakupayaan di seluruh dunia dalam hayat kehidupan seseorang.

Sementara itu, ubat tahan sakit, ujian darah, ujian sinar-X atau imbasan CT tidak dapat mengatasi kemurungan 100 peratus.

"Kajian menunjukkan 48 peratus pesakit yang mengalami masalah kemurungan teruk tidak mendapatkan rawatan manakala 58 peratus pesakit yang dirawat menerima rawatan tidak teratur. Ia penyakit yang sering berulang dan 85 peratus daripada mereka yang mempunyai pengalaman kemurungan itu kembali murung selepas 15 tahun pulih," jelasnya.

Perkara ini terjadi disebabkan pesakit berhenti mengambil ubat tanpa berbincang dengan doktor.

Oleh RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH
adawiyah.koh@utusan.com.my
Sumber: http://www.utusan.com.my/

No comments:

Post a Comment