TREND golongan siswazah menyertai bidang keusahawanan menjadi ikutan generasi muda umpama kehebatan gajet dan fesyen semasa.
Pada masa yang sama, senario itu menepati hasrat kerajaan untuk mengurangkan kadar pengangguran di samping membuka lebih banyak peluang perniagaan.
Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) tampil memperkenalkan inisiatifnya iaitu Skim Prosper Siswazah dan Program Siswazah Perantis.
Bagaimanapun timbul dakwaan bahawa kedua-dua program itu seolah-olah menjadi jalan akhir kepada masalah pengangguran.
KETUA Pegawai Eksekutif PUNB, Datuk Mohd Nasir Ahmad menolak dakwaan itu kerana Skim Prosper Siswazah dan Program Siswazah Perantis seharusnya dilihat sebagai peluang kepada siswazah muda menjadi usahawan.
Beliau berkata, jika penyertaan dalam dua program itu disebabkan masalah pengangguran, maka itulah puncanya sukar melahirkan usahawan berkualiti.
“Sebenarnya, membantu menyelesaikan masalah pengangguran siswazah hanya kesan sampingan menerusi Program Siswazah Perantis dan Skim Prosper Siswazah,” katanya.
Selain itu, segelintir usahawan muda hanya menjadikan perniagaan sebagai aktiviti sampingan kerana pada masa yang sama mereka mempunyai pekerjaan tetap.
Segelintirnya masih belum bersedia untuk berhenti kerja bagi menjalankan perniagaan sepenuh masa kerana tidak mahu berhadapan dengan risiko.
Mohd Nasir berkata, siswazah perlu minat sepenuhnya dan melihat perniagaan itu sebagai peluang.
Tanam minat
Menurut Mohd Nasir, siswazah juga perlu berkeyakinan setelah membuat persediaan dari segi pengetahuan dan pengalaman.
“Oleh itu, saya nasihatkan supaya generasi muda tidak mencuba perniagaan hanya disebabkan tidak mempunyai pekerjaan lain.
“Namun jika ini sebab utamanya, buatlah persediaan dan tanamkan minat dahulu. Fahami apa itu risiko dan bagaimana mengatasinya.
“Anda boleh belajar daripada usahawan yang sudah berjaya dan yang gagal,” katanya.
Skim Prosper Siswazah memberi peluang kepada siswazah muda untuk menceburi bidang perniagaan dan menjadikan keusahawanan sebagai kerjaya pilihan.
Program Siswazah Perantis pula membantu golongan siswazah mendalami selok-belok dunia perniagaan menerusi latihan sangkut di syarikat-syarikat naungan PUNB atau lebih dikenali sebagai mentor.
Seramai 584 usahawan yang menyertai Skim Prosper Siswazah sejak ia diperkenalkan pada Julai 2005 sehingga 30 November 2010.
Bidang makanan mendapat penyertaan usahawan paling tinggi iaitu 18.7 peratus merangkumi perniagaan restoran, makanan sejuk beku dan bakeri.
Bidang pakaian, kain dan aksesori menjadi kedua tertinggi iaitu 15 peratus, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) 13.7 peratus dan perdagangan (7.5 peratus).
Berdasarkan tinjauan dan penyertaan generasi muda untuk menjadi usahawan lebih cenderung kepada perniagaan yang dianggap mudah seperti bidang makanan.
Tidakkah perniagaan sedemikian turut berisiko kerana menjadi perhatian ramai untuk menceburinya sekali gus mewujudkan persaingan sengit?
“Ini yang kita cuba tonjolkan. Orang lain berjaya dalam sesuatu bidang tidak bermakna kita juga akan berjaya jika mencubanya?,” soal beliau.
Fahami risiko
Mohd Nasir berkata, usahawan perlu memahami tentang risiko, persaingan, jualan dan pemasaran serta pengiraan kos dan pengurusan wang.
Ini katanya, termasuk pengurusan bekalan, kualiti, pengurusan modal insan, pulangan atas pelaburan, mengurus marjin keuntungan.
“Kita juga faham dengan apa diperlukan untuk berjaya. Pendekatan ini terpakai untuk apa jua perniagaan,” katanya.
Secara keseluruhan, perkembangan usahawan Prosper Siswazah menunjukkan prestasi yang baik antara 35 peratus dan 40 peratus.
Usahawan yang mempunyai masalah pula adalah kira-kira 25 peratus manakala selebihnya menunjukkan prestasi sederhana.
Mohd Nasir berkata, antara masalah utama ialah minat mereka untuk berniaga tidak begitu kuat.
“Justeru, usahawan dinasihatkan agar perlu lebih berdikari dan sentiasa bersedia mempelajari selok-belok perniagaan yang berubah dari masa ke semasa,” katanya.
Bagi program Siswazah Perantis pula, PUNB telah mendaftarkan seramai 5,819 calon dari Mei 2009 sehingga 30 November 2010.
Seramai 2,618 calon diluluskan, 2,473 peserta sedang menerima dan menjalani latihan amali serta 1,283 calon telah tamat tempoh perantisan dan daripada jumlah itu, 56 orang mendapat pembiayaan memulakan perniagaan.
Sasaran asal PUNB adalah menjadikan 20 peratus daripada peserta Program Siswazah Perantis akan menjadi usahawan.
Perkemas pemilihan
PUNB sudah memperkemaskan kaedah pemilihan dan penilaian calon Program Siswazah Perantis dan Skim Prosper Siswazah bagi tahun 2011.
Begitu juga kaedah dan penilaian mentor turut diperkemas supaya perantis diletakkan pada mentor yang boleh membantu.
Mohd Nasir berkata, PUNB mensasarkan bilangan lebih rendah pada tahun ini iaitu 500 perantis manakala bilangan usahawan pula 200 orang.
“Pendekatan ini diharapkan dapat membuat pemilihan ke atas mereka yang benar-benar ingin menceburi bidang keusahawanan,” katanya.
PUNB telah memperuntukkan sejumlah RM29.1 juta bagi pembiayaan kepada usahawan PROSPER Siswazah sehingga 30 November 2010.
“Peruntukan yang dicadangkan bagi skim tersebut bagi tahun ini sebanyak RM9 juta,” katanya.
Oleh IWAN SHU-ASWAD SHUAIB
Sumber: http://mstar.com.my/
No comments:
Post a Comment