Monday, January 24, 2011

Profesional Guru


Di negara-negara sedang membangun seperti Malaysia, bilangan guru berkembang dengan pesat,. Ini menunjukkan kepada kita bahawa budaya dan profession pendidikan masih mempunyai daya untuk bergerak dan masih diperlukan oleh masyarakat dan negara. Ini diikuti oleh usaha-usaha pihak Kementerian Pendidikan Malaysia dan ahli politik yang berusaha untuk mempertingkatkan martabat profession perguruan. Namun begitu gurulah individu yang paling perlu menilai kembali peranan mereka, menyediakan diri, berjiwa kental, bersikap positif dan komited terhadap tugas supaya guru-guru berada di tahap profesionalisme yang tinggi demi menghadapi keperluan dan tuntutan sekolah terutamanya berhadapan dengan kepelbagaian pelajar di bilik darjah.

Guru-guru bukan sahaja mesti komited dalam tugas pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah, tetapi mesti juga melengkapkan diri dengan pelbagai ilmu dan kemahiran yang sesuai dengan tuntutan semasa. Salah satu daripada ilmu dan kemahiran yang perlu dikuasai ialah kebolehan menjalankan penyelidikan kerana telah terbukti bahawa penyelidikan berjaya membantu menyelesaikan banyak masalah dan kemusykilan.

Definisi guru yang profesional

Status profesional bukan suatu yang muktamat (Nazaruddin, Abd.Rahman, Sharifah, 1992). Seseorang profesional hendaklah sentiasa cuba mencapai taraf yang lebih tinggi dalam profesionnya dan menjadikan dirinya ‘seorang profesional yang lebih profesional’.

Garret dan Bowles (1997) mendefinisikan guru yang profesional sebagai guru yang sentiasa menambah baik kualiti pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah.

Cyril (1969) menyenaraikan enam keperluan seseorang profesional iaitu:
  1. Seorang profesional perlu mempertingkatkan diri dengan pengetahuan-pengetahuan baru yang berkaitan dengan bidangnya.
  2. Seorang profesional perlu menekankan keperluan untuk menjadi pakar dalam bidangnya.
  3. Seorang profesional perlu melanjutkan pelajaran dalam disiplin-disiplin asas yang sealiran bidangnya.
  4. Seorang profesional perlu wujud sebagai insan dan juga seorang profesional.
  5. Seorang profesional perlu mempunyai pandangan-pandangan baru. Mereka mesti sentiasa mencari idea-idea dan prosedur-prosedur baru tetapi tidak sekali-kali meninggalkan konsep-konsep asas.
  6. Seorang profesional perlu mengekalkan keupayaannya untuk belajar.
Menurut McKernan (1996), ciri-ciri yang paling menonjol bagi profesional ialah keupayaan untuk menilai kendiri dan penambah baikan kendiri melalui penyelidikan yang sistematik dalam amalan. Hoyle (dalam Stenhouse, 1975) telah membincangkan profesional guru dari dua sudut iaitu “restricted” profesionaliti dan “extended” profesionaliti. Antara ciri-ciri “restricted” profesionaliti ialah
  1. Mempunyai kemahiran yang tinggi dalam mengurus bilik darjah
  2. Pengajaran guru adalah berpusatkan pelajar
  3. Mempunyai kemahiran yang tinggi dalam mengendalikan dan memahami kehendak pelajar
  4. Kepuasan kerja diperoleh daripada terjalinnya hubungan yang baik dengan rakan-rakan sejawat dan murid
  5. Menilai pencapaian melalui persepsi sendiri terhadap perubahan tingkah laku dan pencapaian pelajar
  6. Menghadiri kursus-kursus jangka pendek yang berkaitan dengan tugas.
Manakala “extended professional” pula merujuk kepada semua kualiti “restricted professional” dengan tambahan kepada ciri-ciri berikut iaitu
  1. Melihat aktiviti pengajaran (tugas) dalam konteks yang lebih luas merangkumi sekolah, komuniti dan masyarakat
  2. Menilai kerjaya secara sistematik dan sentiasa bekerjasama dengan guru lain.
  3. Guru ini lebih berminat dengan teori dan perkembangan terkini dalam pendidikan.
  4. Oleh itu mereka banyak membaca buku, jurnal dan menceburi aktiviti profesional untuk meningkatkan profesionalisme mereka
  5. Guru jenis ini mengaplikasi kajian dan teori kepada pekerjaan
Jelas bahawa guru yang profesional ini menggunakan kuasa penuh (autoriti) dalam membuat keputusan tentang hal-hal yang berkaitan dengan pekerjaannya dan terdapat kod etika bagi membantu mengatasi masalah (Liebermen, 1956; Corwin, 1965 ; Orstein, 1976).

Stenhouse (1975: 144) menegaskan bahawa ciri-ciri yang menonjol bagi guru yang profesional ialah melalui “the capacity for autonomous professional self-development through systematic self-study, through the study of the work of other teachers and through the testing of ideas by classroom research procedures.”

Guru yang profesional boleh dirumuskan sebagai guru yang berilmu (content knowledge), berkemahiran dan berketrampilan dalam proses pengajaran dan pembelajaran (pedagogical knowledge and pedagogical content knowledge) di bilik darjah. Guru yang profesional mestilah sentiasa berani mencuba idea-idea baru demi mempertingkatkan amalan dan kualiti pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah.

1 comment:

  1. Sangat bagus jika disertakan lampiran rujukan, bahan ini sangat membantu, terima kasih

    ReplyDelete