Wednesday, April 28, 2010

Ciri-ciri Pentaksiran

Hasil pentaksiran dinyatakan dalam bentuk skor. Skor mestilah mempunyai darjah kesahan dan kebolehpercayaan yang tinggi untuk memastikan keadilan kepada pelajar dan 'stakeholders' serta mengekalkan kewibawaan guru pentaksir.

Kebolehpercayaan pula merujuk kepada ciri skor yang menggambarkan prestasi pelajar dalam perkara yang ditaksir. Ciri-ciri pentaksiran yang lain ialah keobjektifan, kebolehtadbiran, kemudahtafsiran dan kekomprehensifan. Ciri-ciri ini perlu dipertimbangkan bagi memastikan sesuatu instrumen pentaksiran baik dan berkualiti.

Keobjektifan sesuatu ujian atau pentaksiran merujuk kepada ketepatan seseorang pemeriksa memeriksa skrip jawapan atau ketepatan seseorang pentaksir memberi skor calon. Ciri keobjektifan pemberian markah/skor ini boleh dipertimbangkan dengan menyediakan skema penskoran yang objektif dan markah atau skor diselaraskan. Mekanisme ini bertujuan untuk memastikan pemeriksaan mempunyai kefahaman dan kemahiran yang terselaras antara satu sama lain. Cara ini mengurangkan perselisihan pemberian markah/skor di kalangan pemeriksa atau pentaksir.

Kebolehtadbiran sesuatu ujian dan pentaksiran, ialah ciri praktik dengan merujuk kepada sejauhmana kelicinan dan kerja-kerja susulan dapat dijalankan dengan mudah dalam proses pengujian dan pentaksiran, yang dilaksanakan sama ada secara berpusat atau pentaksiran berdasarkan sekolah.

Kemudahtafsiran sesuatu ujian dan pentaksiran, merujuk kepada sejauhmana ianya dapat memberi maklumat tentang calon berdasarakan skor yang diperolehi, sejauhmana ianya boleh mendiskriminasikan calon dan dapat menepati tujuan sesuatu ujian itu ditadbirkan.

Kekomprehensifan sesuatu ujian dan pentaksiran merujuk kepada sejauhmana sesuatu ujian itu mengandungi soalan-soalan yang mewakili semua objektif yang penting. Oleh kerana itu semakin banyak bilangan item, semakin lebih baik taburan perwakilan adalah lebih menyeluruh.

No comments:

Post a Comment