Banyak pandangan dan kajian mendapati pendidikan dan latihan berasaskan kompetensi berjaya memberikan kemahiran asas yang diperlukan oleh kebanyakan industri. Kemahiran generik yang disatukan dalam kemahiran-kemahiran khusus dan spesifik yang diperlukan
di tempat kerja dijelmakan dalam pendidikan berasaskan kompetensi berupaya menjadikan individu/pelajar itu lebih 'marketable' di peringkat tempatan dan antarabangsa. Standad kompetensi yang ditetapkan dan perlu dicapai oleh individu/pelajar ini adalah standad yang ditetapkan oleh industri berkenaan untuk memenuhi keperluan kemahiran industri tertentu.
Pada umumnya, sistem pendidikan selama ini yang menggunakan pendekatan konvensional secara 'time-based' telah menunjukkan kejayaan, terutama dalam menguji pencapaian kognitif (cognitive) dan pengetahuan (knowledge) namun pendekatan pendidikan berasaskan kompetensi adalah sangat berkesan digunakan bagi pendidikan yang bermatlamatkan melahir dan melatih individu/pelajar dalam aspek kemahiran berkaitan pekerjaan (job related skills) dan menguji aspek nilai dan sikap. Dari itu bagi melaksanakan pendidikan dan latihan berasaskan kompetensi, komitmen yang tinggi dari organisasi terlibat dan ciri-ciri utama program latihan berasaskan kompetensi perlu difikirkan.
Ciri-ciri Pendidikan dan Latihan Berasaskan Kompetensi
Dalam usaha untuk memeprkenalkan program pendidikan dan latihan berasaskan kompetensi, beberapa ciri utama pendidikan dan latihan berasaskan kompetensi seperti yang disarankan oleh Foyster (1990), Delker (1990) dan Norton (1987) perlu dipertimbangkan iaitu:
- Kompetensi dikenal pasti dan dipilih dengan teliti mengikut keperluan industri
- Teori diintegrasikan dengan kemahiran. Pembelajaran pengetahuan disampaikan untuk menyokong pelaksanaan dan pencapaian kemahiran
- Bahan pembelajaran disediakan dengan teliti untuk mencapai kompetensi yang ditetapkan dan direkabentuk untuk memperoleh pengetahuan yang menyokong kepada penghasilan kemahiran
- Kaedah pembelajaran (instructional methodology) melibatkan pembelajaran masteri (pengetahuan) dan kontekstual (kemahiran) dan dijalankan sehingga seseorang individu/pelajar berkenaan menguasai pengetahuan dan kemahiran yang mencukupi dan sewajarnya
- Pentaksiran terhadap pencapaian pengetahuan dan kemahiran individu dijalankan pada awal pembelajaran dan penguasaan pembelajaran dan kemahiran terdahulu diambil kira bagi menyokong pembelajaran yang sedang berjalan
- Pembelajaran mengikut kadar kebolehan individu/pelajar
(self-paced) - Pembelajaran dan latihan dijalankan dengan fleksibel melalui aktiviti pembelajaran dalam kumpulan yang besar, kecil atau secara individu
- Bahan dan sumber pembelajaran sokongan mencukupi dan disediakan untuk mencapai kompetensi
- Prestasi individu/pelajar ditentukan melalui pencapaian kompetensi yang diperoleh dibandingkan dengan penyataan criteria yang ditetapkan
- Pencapaian kompetensi dilaporkan berdasarkan kepada standad kompetensi yang ditetapkan sama ada 'telah kompeten' atau
'belum kompeten' - Penamatan pembelajaran dan latihan yang memuaskan adalah berdasarkan pencapaian semua kompetensi yang ditentukan melalui eviden pentaksiran kompetensi yang dikumpul sepanjang proses pendidikan dan latihan dijalankan.
Integrasi Kompetensi dalam Kurikulum Pendidikan dan Latihan Teknik Vokasional Berasaskan Kompetensi
Pendekatan pembelajaran kontekstual amat sesuai digunakan dalam proses pengajaran dan pembelajaran teknik vokasional yang menggunakan pendekatan kontekstual. Wajaran tertentu diberikan dalam pentaksiran berasaskan sekolah yang menjadi sebahagian dari sistem peperiksaan.Pengetahuan yang dikaitkan dengan kemahiran di tempat kerja membolehkan individu/pelajar memahami dan melihat bagaimana pengetahuan berkenaan diaplikasikan. Ini bermakna kurikulum yang mengintegrasikan kompetensi perlu menyediakan objektif pembelajaran yang dihasratkan (expected learning objective) dalam situasi sebenar. Objektif pembelajaran ini kemudiannya dijelmakan menjadi hasil pembelajaran (learning outcomes) melalui kompetensi-kompetensi yang dicapai. Oleh itu, organisasi/pihak sekolah perlu menyediakan individu/pelajar dengan peluang-peluang untuk mengaplikasikan ilmu dalam persekitaran sebenar (real-life situation) menggunakan model atau simulasi secara meluas. Proses pengajaran dan pembelajaran dilaksanakan dalam konteks yang sebenar yang memerlukan individu/pelajar aktif dalam pembelajarannya.
No comments:
Post a Comment