Monday, April 19, 2010

Hormat

    Nilai-nilai kemanusiaan dan hormat adalah seiring. Kita menghormati kemanusiaan dan nilai-nilai kemanusiaan orang lain. Kita menghormati hak keperibadian orang lain. Kedua-duanya sama penting. Tidak ada gunanya kita menghormati nilai-nilai kemanusiaan tanpa mempunyai rasa hormat terhadap individu-individu. Tidak ada definisi yang lebih baik bagi tamadun selain menghormati orang lain. Sebarang penekanan bahawa kebebasan dan hak bersuara adalah lebih penting daripada sikap bertimbang rasa terhadap orang lain adalah perbuatan kurang tamadun.

    Satu revolusi yang yang mengabaikan kepentingan orang ramai bukanlah satu revolusi, sebaliknya satu kemunduran. Satu revolusi yang memberi layanan buruk kepada orang ramai semata-mata untuk mencapai matlamat akhirnya adalah satu kontradiksi. Tujuan sebarang revolusi ialah orang ramai memperolehi manfaat. Oleh sebab itu hormat adalah aspek terpenting dalam revolusi positif.

    Cinta memberikan kebahagiaan jika anda pandai menjalin hubungan cinta. Tetapi cinta mempunyai unsur-unsur kesangsian, ketidakyakinan, pertelingkahan, ketidakfahaman dan kebencian. Ini kerana cinta itu satu perasaan istimewa dan bukannya suatu perasaan biasa. Memang sukar untuk mencintai musuh anda, walaupun anda telah mencuba.

    Hormat adalah lebih praktikal daripada cinta atau kasih. Hormat ialah melayan orang lain sebagai manusia yang mempunyai maruah dan harga diri. Hormat ialah melayan orang lain sama seperti mana anda inginkan orang lain melayan anda. Anda boleh berkata kepada seseorang; "Aku tidak sukakan kamu tetapi aku menghormati kamu sebagai seorang manusia".

    Anda tidak boleh mencintai terlalu dalam atau mencintai terlalu sedikit terhadap seseorang kerana perasaan cinta itu sama ada wujud atau tidak wujud, tidak ada tinggi rendahnya.

    Tetapi menghormati orang lain ada ukurannya. Anda boleh menghormati seseorang. Anda juga boleh kurang menghormati orang lain. Ini menunjukkan tahap hormat yang paling sedikit yang harus diterima oleh orang itu sebagai manusia.

    Oleh kerana terdapatnya tahap hormat yang berubah-ubah, kita boleh menggunakan hormat dengan cara yang lebih praktikal. Kita boleh sentiasa menghormati seseorang dengan cara kita melayaninya, meskipun kita mungkin tidak sayang atau cintakan orang itu!

    Tahap hormat yang kita berikan terhadap seseorang dan cara kita melahirkan rasa hormat tersebut mungkin berapa di mana-mana peringkat di sepanjang skala tahap hormat.

    Cara kita melahirkan rasa hormat adalah senjata berkuasa yang boleh digunakan untuk mempengaruhi orang lain. Seseorang individu dengan sikap sombongnya, mungkin kurang dihormati. Seseorang individu yang banyak memberi sunbangan mendapat tahap hormat yang lebih tinggi. Jadi hormat boleh berlaku tiga peringkat;

  1. Hormat adalah perlindungan bagi hak asasi setiap individu.
  2. Menghormati orang lain adalah prinsip utama revolusi positif dan mengingatkan kita bahawa pada akhir-akhirnya manusialah yang paling penting.
  3. Hormat adalah cara kita menunjukkan kepada orang lain, nilai mereka dalam masyarakat. Menghormati atau hormat adalah satu anugerah dan pengiktirafan kita terhadap sumbangan mereka.

No comments:

Post a Comment