Saturday, April 24, 2010

Ubat Pelali Sakaratulmaut


Sungguhpun kesakitan hampir mati (sakaratulmaut) amat dahsyat tetapi orang yang dikehendaki Allah mati dalam keadaan baik (husnul khatimah), maka proses sakaratulmaut boleh berjalan dengan senang dan ringkas. Hamba Allah yang menghadapinya itu, dihadapi dengan sabar dan mengharap rahmat dan kasih saying Allah. Kalau di dalam bidang perubatan mungkin boleh diibaratkan sebagai pembedahan yang menggunakan ubat pelali. Ubat pelali bagi sakaratulmaut ialah doa;

    "Ya Allah, ringankanlah bagiku akan sakaratulmaut." (Imam Bukhari dan Muslim)

Oleh itu untuk meringan azab ketika sakaratulmaut, maka semasa masih hidup, kita perlu memperbanyakkan memakan ubat pelali atau "pain killer" yang dianjurkan oleh Rasulullah s.a.w. itu. Iaitu sentiasa berdoa dengan doa tersebut di atas.

Mudah-mudahan dengan kasih sayang dan rahmat Allah dan berkat mentaati anjuran Rasulullah s.a.w. (berdoa dengan doa di atas) itu, kita semua akan dapat menghadapi sakaratulmaut dengan rasa mudah dan ringan.

Janganlah kita menghadapi mati seperti mana mati orang-orang derhaka kepada Allah, seperti mana yang dicerita di dalam Al-Quran sural Al-Anfaal ayat 50, firman Allah bermaksud:

    "Kalau kamu melihat ketika para malaikat mencabut nyawa orang-orang yang kafir sambil memukul muka dan belakang mereka dan berkata: 'Rasakanlah olehmu seksa neraka yang membakar' tentulah kamu akan merasa amat gerun dan ngeri sekali."

Itulah kenyataannya, sungguhpun kita tidak dapat melihat apa yang tersirat di dalam proses kematian orang-orang yang kafir. Tetapi semua yang berupa keseksaan ketika menghadapi sakaratulmaut, yang Allah gambarkan itu dapat dirasa dan dihadapi mereka. Moga-moga Allah jauhi atau ringankan daripada kita.

Tanda Mati Derita dan Bahagia

Antara tanda seseorang itu mati dalam keadaan terseksa, dinyatakan dalam riwayat oleh Syaidina Uthman r.a.

    "Perhatikanlah orang yang hampir mati. Apabila dia berdengkur seperti orang yang tercekik, pucat dan mulut bertambah lebar, bererti dia mendapat seksa dari Allah."

Sementara orang yang hampir mati mendapat rahmat Allah, menurat Syaidina Uthman r.a.

    "Perhatikanlah orang yang hampir mati. Apabila kedua-dua matanya terbeliak, dahinya berpeluh dan lubang hidungnya membesar bererti rahmat Allah telah turun kepadanya."

No comments:

Post a Comment