Friday, August 6, 2010
Rancangan Kafir Quraisy Gagal
PENDUDUK kafir Quraisy kini benar-benar serius untuk membunuh Nabi Muhammad SAW. Keputusan di Darul Nadwah itu akan diteruskan sebagai cara dan jalan penyelesaian terbaik menyekat kemaraan Islam daripada terus berkembang selepas tanpa disangka memasuki Yathrib.
Mereka tidak boleh menunggu masa dan perlu menyegerakan komplot untuk membunuh Nabi SAW sebelum baginda menurut jejak langkah para pengikutnya yang berhijrah ke Yathrib.
Komplot membunuh baginda itu tentunya begitu segar dalam ingatan umat Islam. Ia antara catatan besar dalam sejarah atau sirah Nabi Muhammad.
Setiap detik penuh dikira begitu mencemaskan apabila para pembesar Quraisy melantik 11 pembunuh yang mewakili pelbagai kabilah dan kaum bagi menjalankan misi itu.
Mereka terdiri daripada kalangan pemuda-pemuda dan beberapa pemimpin Quraisy yang gagah perkasa, cekap bermain senjata dan terkenal dengan sifat jahat dan kejam.
Termasuk beberapa nama yang kita kenali, para pembunuh yang diamanahkan untuk membunuh Nabi Muhammad itu ialah:
1) Abu Jahal bin Hisham
2) Al Hakam bin Abi Al 'As
3) 'Uqbah bin Abi Mu'ayyat
4) Al-Nadr bin Al Harith
5) Ummayyah bin Khalaf
6) Ta'imah bin Adiy
7) Abu Lahab
8) Ubay bin Khalaf
9) Zama'ah bin Al Aswad
10) Nabih bin al Hajjaj
11) Munabbih bin Al Hajjaj
Lalu Jibrail segera membawa wahyu kepada Nabi Muhammad memberitahu mengenai perancangan jahat itu dan memerintahkan baginda dengan izin Allah segera berhijrah sebagaimana umat Islam yang lain.
"Malam ini, kamu jangan tidur di atas tempat tidurmu yang biasa engkau tidur di atasnya," kata Jibrail.
Lalu baginda segera pergi ke rumah sahabat baiknya, Abu Bakar memberitahu perintah Allah untuk mereka segera menyelamatkan diri kerana pada malam itu pasti pakatan hendak membunuh.
Apabila tiba waktu malam, kesemua mereka yang diamanahkan membunuh Nabi Muhammad mula menyusup secara senyap-senyap di sebalik rumah baginda.
Mereka mengepung rumah baginda dan hanya menunggu masa sahaja untuk membunuh baginda.
Kerana terlalu yakin bahawa mereka akan mencapai kemenangan dengan darah merah Rasulullah akan membasahi pedang panjang masing-masing lalu Abu Jahal sempat mengeluarkan kata-kata yang sangat angkuh.
"Muhammad mendakwa kalau kamu ikut dia, maka kamu akan menjadi Raja kepada orang-orang Arab dan Ajam. Kemudian setelah kamu mati kamu akan dibangkitkan.
"Dia janjikan untuk kamu syurga-syurga seperti taman-taman di Urdun (Jordan).
"Kalau kamu tak sanggup mengikutinya, dia berupaya menewaskan kamu. Kemudian selepas mati kamu akan dibangkitkan dan disediakan untuk kamu neraka yang akan membakar kamu," kata Abu Jahal dengan tujuan untuk mempersenda-sendakan Nabi SAW.
Yang lain hanya tersenyum mendengarkan kata-kata Abu Jahal itu. Malah mereka semakin tidak sabar untuk menghunuskan pedang bagi menamatkan riwayat baginda.
Namun sebaik mana pun pakatan untuk membunuh Nabi Muhammad itu dirancang, akhirnya seperti yang kita semua ketahui ia gagal (rujuk surah al-Anfal; 30).
Pihak Quraisy menemui kegagalan yang sangat memalukan. Apabila tiba detik untuk mereka membunuh Nabi Muhammad mereka mendapati menantu baginda, Ali bin Abi Talib pula yang berada di atas katil yang lazimnya menjadi tempat tidur baginda.
Baginda berkata kepada Ali: "Tidurlah di atas tempat tidurku, berselimutlah dengan selimut al Hadramai yang berwarna hijau ini. Mereka tidak akan dapat melakukan apa-apa yang buruk terhadapmu."
Selepas memberi arahan daripada Rasulullah, Ali pun melakukan seperti apa yang diperintahkan tanpa sedikit rasa ragu mahupun takut. Ali segera menutup badannya dengan selimut itu lalu terus baring mengiring mengadap ke dinding, tidak ubahnya seperti nabi Muhammad yang sedang tidur.
Oleh: SITI AINIZA KAMSARI
Sumber: http://www.utusan.com.my
Labels:
Kisah Tauladan
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment