Monday, August 16, 2010
Meningkatkan minat membaca si manja
Ibu bapa hari ini begitu menekankan tentang perkembangan intelektual anak mereka. Mereka sedar bahawa pendidikan adalah kunci kejayaan masa depan anak mereka dan tahu proses penyerapan dan pemperosesan ilmu bermula pada 6 tahun pertama kanak-kanak.
Membaca adalah komponen utama dalam proses pembelajaran. Anak yang rajin membaca akan mendapat ilmu yang dipelajarinya. Membaca juga akan membuka pintu ke dunia baru kepada mereka.
Namun, di zaman yang penuh dengan siaran kartun 24 jam sehari dan mainan komputer, hanya segelintir kanak-kanak yang memupuk minat untuk membaca.
Berikut adalah tip-tip berguna untuk membantu ibu bapa menanam minat membaca di kalangan anak-anak mereka.
1. Mulakan membaca kepada si manja pada awal usia
Sejak lahir, si manja sudah boleh memproses bahasa bunyi dan teruja dengan gambar-gambar berwarna-warni.
Ibu bapa sudah boleh membacakan buku kepada si manja semasa mereka bayi lagi. Kajian mendapati bahawa pada usia 6 bulan, si manja mula mengenal dan memproses bahasa bunyi dan pada usia 8 bulan mula memahami makna sesuatu perkataan.
Membaca akan mendedahkan si manja kepada banyak informasi baru. Saya nasihatkan anda untuk membaca sekurang-kurangnya 4-5 buah buku sehari kepada si manja yang berusia 1 tahun, dan 7-8 buah buku kepada si manja yang berusia 2 hingga 4 tahun dan 10 buah buku sehari bagi si manja 5 tahun ke atas.
Adalah penting untuk memilih buku yang bergambar bagi si manja anda. Bacalah pelbagai jenis buku, dari buku cerita kepada buku geografi, sehinggalah buku sains. Perlu diingatkan bahawa membaca merupakan satu bentuk pengembaraan di mana anda membawa si manja mengembara ke suatu alam yang jauh untuk meneroka pemandangan dan pengalaman baru.
2. Anda contoh yang terbaik
Amat sukar untuk menggalakkan si manja membaca melainkan kita menunjukkan contoh yang baik. Memandangkan kesibukan yang kita hadapi setiap hari, ia memang sukar, namun, dengan disiplin dan pengurusan masa yang betul kita boleh menjadi model terbaik untuk si manja kita.
Sebagai ibu bapa, kita perlu memastikan supaya membaca sekurang-kurangnya satu buku setiap bulan. Mulakan dengan memilih buku yang anda benar-benar minat; sama ada novel, buku tentang politik, sejarah, pelancongan, atau sesuatu yang praktikal seperti berkebun atau memasak. Tujuan utamanya ialah untuk menanam sikap membaca pada diri kita sendiri.
Kita tidak perlu membeli buku baru setiap kali kita ingin membaca kerana terdapat banyak perpustakaan dan gedung-gedung buku terpakai hampir di kebanyakan bandar di Malaysia.
Kita juga perlu membiasakan diri untuk bercakap mengenai buku yang kita baca. Ini boleh dilakukan semasa makan atau di dalam kereta ketika bersiar-siar. Inilah masa yang sesuai untuk membuatkan anak-anak kita teruja membaca. Minat tidak akan timbul jika di suruh, ia akan lahir dari persekitaran.
3. Jadikan amalan membaca aktiviti sekeluarga
Bawalah anak-anak ke perpustakaan atau ke kedai-kedai buku sekali dalam sebulan. Tujuannya agar setiap ahli keluarga boleh memilih buku baru untuk dibaca.
Terdapat banyak kedai buku yang terkenal di Malaysia termasuklah kedai-kedai buku untuk kanak-kanak. Kedai-kedai ini lengkap dengan hiasan dalaman yang menarik dan bahan bacaan yang baik dengan sudut bacaannya sekali. Bila melihat kanak-kanak lain membaca dan menghayati buku-buku yang dibaca, ia akan menambahkan lagi minat si manja kita untuk membaca.
Jadikan satu amalan bagi setiap ahli keluarga berkongsi cerita yang telah dibaca dengan ahli keluarga yang lain. Dengan menggalakkan anak anda berkongsi cerita, ia akan membantu mereka memproses ilmu yang telah diserap, sambil meningkatkan keupayaan komunikasi mereka.
Kesimpulan
Membaca adalah kunci utama dalam proses pembelajaran dan pendidikan. Jika kita inginkan si manja kita menjadi seorang yang terpelajar, kita hendaklah membentuk suatu budaya membaca bermula dari rumah.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment