Monday, August 2, 2010

Keperihatinan dalam pengajaran


BAGAI seorang guru sifat keperihatinan dalam proses pengajaran amatlah diperlukan. Ia membawa pengertian bahawa guru harus sentiasa mengetahui perkembangan murid sama ada dalam aspek akademik mahupun aspek keperibadian mereka.

Hampir separuh hari atau kadangkala sehari suntuk murid-murid berada di sekolah bersama dengan guru-guru. Dalam hal ini guru merupakan orang yang banyak menggunakan masa berdamping dengan mereka. Bagi murid-murid di tahap satu umpamanya, boleh dikatakan hampir keseluruhan urusan peribadi murid di bawah tanggungjawab guru seperti memberi panduan penjagaan kesihatan, fardu ain, pengurusan masa, pengurusan belajar dan sebagainya dilakukan saban hari.

Mungkin agak sukar bagi sesetengah guru permulaan untuk menerima hakikat ini di mana terdapat pelbagai kerenah harus dihadapi dengan penuh kesabaran. Oleh itu berikut diberi panduan bagaimanakah seorang guru boleh menerima tanggungjawab ini secara profesional.
  •  Murid sebagai anggota keluarga.
Oleh kerana seseorang guru itu sentiasa berada bersama murid-muridnya maka ia harus menganggapkan mereka adalah sebahagian daripada anggota keluarga sendiri. Sebagai anggota keluarga sudah tentu perasaan kasih sayang serta saling menghormati di antara satu sama lain perlu dipupuk. Kita tidak sanggup melihat anggota keluarga kita terumbang ambing dalam mengharungi liku-liku kehidupan. Kita semestinya memberi bimbingan dan tunjuk ajar agar mereka boleh berjaya dalam kehidupan dunia dan akhirat.
  • Murid sebagai warisan generasi.
Anak-anak masa kini, pemimpin pada masa hadapan. Begitulah ungkapan yang pernah kita dengar yang membawa maksud anak-anak inilah yang akan mewarisi generasi dan mewarnai kehidupan masa hadapan. Jika kita tersalah bimbing maka kesilapan ini akan membawa padah di masa yang akan datang di mana kemusnahan dan kehancuran akan sama-sama kita rasai. Dengan lain perkataan, sebahagian daripada corak kehidupan murid-murid bergantung kepada keperihatinan seorang guru.
  • Murid sebagai pembela bangsa.
Keperihatinan guru terhadap muridnya akan meninggalkan kesan yang mendalam ke atas diri murid-murid. Kadang kala murid lebih mempercayai guru daripada ibu bapanya. Tidak hairanlah jika murid merujuk pada kata-kata atau nasihat guru apabila berhadapan dengan sesuatu perkara yang hendak diselesaikan. Ilmu serta sifat keperibadian yang dipelajari oleh guru akan mematapkan pelajar serta mampu menjadi pemimpin atau pembela bangsa dan negara.

Menyedari betapa kuatnya pengaruh guru terhadap diri pelajar, guru-guru harus berusaha mendekati murid agar nilai-nilai murni yang ingin diterapkan mampu dicapai. Ingat! guru kencing berdiri, murid kencing berlari, berguru kepalang ajar ibarat bunga kembang tak jadi, guru berjiwa mulia, murid berasa bahagia, dunia aman sejahtera.

Oleh DR. ISMAIL ZAIN
Sumber: http://www.tutor.com.my

No comments:

Post a Comment