Tuesday, August 24, 2010

Modul Pembelajaran Kendiri


Modul kendiri digunakan dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Modul didefinisikan sebagai satu unit pengajaran dan pembelajaran kendiri yang lengkap dan terancang bagi menyampaikan dan mengukuhkan pengetahuan dan kemahiran.

 
Ciri-ciri asas modul pembelajaran kendiri

 
Modul yang ditulis dengan jelas dan dapat menghasilkan pembelajaran yang berkesan. Ini boleh dicapai kerana modul mempunyai ciri-ciri reka bentuk yang wujud melalui aplikasi teori-teori pembelajaran. Di antara ciri-ciri tersebut adalah seperti berikut;

  1. Kandungan lengkap – Setiap unit modul seharusnya mengandungi semua bahan yang diperlukan untuk mencapai objektif modul tersebut. Ia merupakan satu pakej yang lengkap dengan bahan-bahan pembelajaran arahan kendiri.
  2. Arahan kendiri – Penggunaan modul memberi peluang kepada pelajar menguruskan pembelajaran mengikut kemampuan masing-masing. Mereka juga boleh mengulangi mana-mana bahagian dengan segera apabila didapati perlu. Susunan modul boleh dipelbagaikan supaya dapat menampung pembelajaran pelajar yang mempunyai minat dan keperluan yang berbeza.
  3. Perbezaan di antara individu – Pelajar mempunyai tahap kebolehan yang berbeza di dalam proses pembelajaran. Tidak mungkin seorang guru dapat memenuhi keperluan setiap pelajar. Modul membolehkan pelajar menentukan tahap kemajuan pembelajaran masing-masing.
  4. Pernyataan objektif yang jelasm – Pelajar belajar dengan lebih berkesan jika mereka jelas tentang hala tuju pembelajaran berkenaan. Objektif yang jelas amat penting kepada penulis modul, kepada guru yang menggunakan modul dan kepada pelajar yang belajar menggunakan midul tersebut.
  5. Perkaitan, urutan dan struktur pengetahuan yang optima.- Modul menggabungkan pengalaman praktikal, bahan teorikal, maklumat dari pelbagai media dan bahan subjek utama yang dikaitkan dengan konsep bahan berkenaan.
  6. Penggunaan media dan kaedah yang pelbagai.- Tindakbalas pelajar terhadap pelbagai media pembelajaran adalah berbeza. Terdapat pelajar yang lebihberminat kepada kaedah pembelajaran visual, audio atau pembacaan. Melalui modul, kesemua kaedah ini dapat digabungkan. Kaedah pembelajaran bermodular tidak membosankan dan ia dapat mengekalkan minat pelajar dan memberi motivasi kepada mereka.
  7. Maklum balas disediakan mengikut kemajuan.- Salah satu daripada ciri-ciri modular ialah ia menyediakan maklum balas yang berterusan mengenai kemajuan pelajar, terutamanya dalam pencapaian objektif modul. Ini dilakukan dengan membina soalan-soalan dalam bentuk teks, senarai semak dan kuiz pada sela tertentu, dan ikuti dengan jawapan-jawapannya. Dengan cara ini pelajar dapat menyemak tahap pengetahuan, pemahaman dan kemahiran masing-masing.
  8. Pengukuhan segera.- Pengukuhan di dalam konteks modul bermaksud ganjaran terhadap pembelajaran. Modul menggunakan maklum balas yang tepat untuk membentuk tingkah laku pelajar. Kelewatan dalam menyediakan maklum balas untuk pelajar akan menurunkan tahap pembelajaran pelajar tersebut.
  9. Penyertaan aktif pelajar – modul direka bentuk untuk menggalakkan penyertaan aktif di kalangan pelajar. Oleh kerana pelajar mengawal pembelajaran masing-masing, maka mereka sendiri yang menentukan sama ada hendak meneruskan pembelajaran atau mengulangi bahagian pembelajaran tertentu, masa untuk belajar dan bila hendak menjawan soalan.
  10. Strategi penilaian dan penguasaan – Modul mempunyai sistem penilaian untuk mengukur penguasaan pelajar terhadap objektif modul. Seseorang pelajar dikehendaki menguasai sesuatu modul sebelum ia meneruskan pembelajar kepada modul yang seterusnya.

No comments:

Post a Comment