Monday, August 23, 2010

Sia-sia berpuasa jika tak jaga solat fardhu


PUASA tetapi tidak solat bukan isu baru namun perlu dibangkitkan untuk perbincangan supaya amalan sepanjang Ramadan tidak menjadi sia-sia kerana sesetengah umat Islam begitu menjaga ibadat puasa namun solat diabaikan.

Imam 1 Masjid al-Husna Bandar Sunway, Abdul Hadi Bakri Abdullah, yang menjawab persoalan berkaitan solat tetapi tidak puasa yang dikemukakan penonton program Tanyalah Ustaz di TV9, berkata itulah kesilapan umat Islam kerana tidak memahami agama.

Katanya, ibadat puasa menjadi sia-sia jika seseorang itu tidak menunaikan solat wajib lima waktu kerana matlamat puasa untuk meningkatkan ketakwaan kepada Allah dan jika tidak solat, maka tiada apa yang hendak ditingkatkan.

Solat adalah amalan pertama yang dihisab di akhirat nanti, bukan puasa, haji, zakat atau infak yang kita buat.

Oleh itu, jika puasa tetapi tidak solat, sia-sia saja. Solat tidak ada fidyah atau tebusan tetapi puasa boleh ditebus dengan fidyah, katanya.

Beliau yang menjadi tetamu jemputan program Tanyalah Ustaz membicarakan tajuk Kesilapan Semasa Puasa, menyentuh perkara dilakukan umat Islam sama ada secara sedar atau tidak.
Katanya, banyak kesilapan dilakukan umat Islam kerana salah meletakkan keutamaan pada tempat sepatutnya seperti menunaikan solat sunat Tarawih secara berjemaah di masjid tetapi solat wajib tidak diusahakan untuk berjemaah sedangkan sudah jelas ganjaran 27 pahala.

Abdul Hadi berkata, dalam amalan sunat juga ramai tidak faham keutamaan mensia-siakan peluang depan mata dengan meninggalkan solat sunat selepas Isyak kerana lebih menumpukan solat sunat terawih.

Solat sunat selepas Isyak lebih utama tetapi kita tinggalkan sebab fikir nak buat sunat Tarawih. Imam memang tunggu jemaah solat sunat selepas Isyak sebelum Tarawih tetapi peluang yang ada itu kebanyakan kita sia-siakan, katanya.

Beliau turut menyentuh pemandangan di bazar Ramadan, anak muda lelaki dan perempuan bukan muhrim membeli juadah sambil berpegangan tangan malah ada yang tidak menutup aurat, sebagai perkara penting sepatutnya diberi perhatian tetapi dipandang mudah oleh segelintir umat Islam.

Begitu juga peniaga di bazar Ramadan, diingatkan supaya tidak bertekad dalam hati mengambil kesempatan Ramadan untuk mengaut keuntungan berlipat kali ganda sementara pembeli jangan pula menjadikan bulan puasa sebagai pesta makanan hingga berlaku pembaziran.

Beliau tidak menafikan keperluan atau kepentingan bazar Ramadan sebagai kemudahan serta tarikan pelancong ke negara ini tetapi biar usaha itu bertujuan menampakkan keindahan Islam dari segi amalan ibadat.

Apa yang patut diserlahkan ialah Ramadan sebagai pesta ibadat bukan pesta makanan. Ini peluang Allah beri dan mesti dijaga elok-elok dengan mendidik orang Malaysia serta pelancong dengan pemandangan apabila Ramadan, kita semua penuhkan masjid, katanya.

Perkara dibangkitkan Abdul Hadi adalah kerisauan diluahkan penonton yang mengikuti program Tanyalah Ustaz mengenai amalan puasa dalam kalangan masyarakat negara ini yang mendahulukan adat bukannya ibadat.

Oleh Hasliza Hassan
Sumber: http://www.bharian.com.my/

No comments:

Post a Comment