Monday, August 23, 2010

Nabi Isa hapuskan kekolotan Yahudi


MENURUT ayat ini, ketika Allah SWT berfirman kepada nabi-Nya, bahawa Aku akan menyelamatkanmu dan mengangkatmu ke sisi-Ku adalah sebagai tindakan memperdaya musuh Nabi Isa. a.s.

Ayat ini merupakan khabar gembira tentang selamatnya Nabi Isa a.s daripada tipu daya mereka, sehingga mereka tidak berhasil melaksanakan niat jahat dan tipu muslihat kepada Nabi Isa.

Iktibar dan fiqh ayat

Para ulama berbeza pendapat terhadap ayat ini.

Ibn Kathir berkata dalam tafsirnya: "Dalam susunan kalimah ayat ini, sepatutnya kalimah yang berada di hadapan diletakkan di belakang. Dari itu terbentuklah, "Sesungguhnya Aku mengangkatmu ke sisi-Ku dan menyelamatkanmu". Maksudnya, sekarang Aku mengangkat kamu dan nanti kamu akan Aku matikan sesudah kamu turun dari langit, jika saat kematianmu telah tiba. Menurut pendapat ini, Nabi Isa a.s diangkat ke langit dengan jasad dan rohnya dalam keadaan hidup, dan akan turun ke dunia pada akhir zaman, lalu Baginda akan memerintah manusia dengan syariat kita, kemudian Baginda akan wafat.

Al-Qurtubi berkata: "Pada akhir ayat ini di mana Allah SWT menjadikan golongan yang mengikut Rasulullah SAW mengatasi orang-orang kafir dengan hujah dan mendatangkan bukti".

Ada pendapat dengan kemuliaan dan kemenangan. Al-Dhahaq dan Muhammad Ibn Abban berkata: "Dengan pembantu atau hawariyyin". Ayat ini secara harfiyyahnya, bermaksud kewafatan (penyelamatan) adalah kematian biasa. Sedangkan diangkat sesudah wafat bermaksud diangkat rohnya.

Tidak hairan jika dalam perbincangan disebut perkataan 'orang' tetapi maksud di sini hanya 'roh' sahaja kerana roh yang sebenarnya menjadi hakikat orang. Sedangkan tubuh adalah sebagai ibarat baju pinjaman, boleh bertambah, berkurangan dan berubah.

Manusia itu tetap manusia selagi rohnya itu tetap ada. Jadi menurut pendapat kedua ini, ayat di atas bermaksud, "Sesungguhnya Aku mematikanmu, dan sesudah kematian itu Aku tempatkan engkau di tempat yang tinggi di sisi-Ku," sebagaimana firman Allah SWT kepada Nabi Idris a.s bermaksud: Dan Kami telah mengangkatnya ke tempat yang tinggi darjatnya.

Ibn Ishaq berkata: "Kristian menyangka bahawa Allah SWT mematikan Nabi Isa a.s selama tujuh jam kemudian menghidupkannya".

Matar al-Warraq berkata: "Sesungguhnya aku mematikan kamu daripada dunia dan bukan dengan mati sebagai kematian".

Ibn Juraij berkata: "Maksud mati ialah mengangkatnya".

Kebanyakan ulama berpendapat dikehendaki dengan wafat di sini dengan maksud tidur berdasarkan kepada beberapa ayat al-Quran antaranya:

Ayat 60 surah al-An'am firman Allah SWT yang bermaksud: Dan Dialah yang menidurkan kamu pada waktu malam, dan mengetahui apa yang kamu kerjakan pada siang hari, kemudian ia bangunkan kamu (dari tidur) padanya, untuk disempurnakan ajal (masa umur kamu) yang telah ditetapkan. Kemudian kepada-Nyalah tempat kamu kembali, kemudian ia menyatakan kepada kamu apa yang kamu lakukan.

Ayat 42 surah al-Zumar firman Allah SWT yang bermaksud: Allah (yang Menguasai segala-galanya), ia mengambil dan memisahkan satu-satu jiwa dari badannya, jiwa orang yang sampai ajalnya semasa matinya, dan jiwa orang yang tidak mati dalam masa tidurnya, kemudian ia menahan jiwa orang yang ia tetapkan matinya dan melepaskan balik jiwa yang lain (ke badannya) sehingga sampai ajalnya yang ditentukan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan Allah bagi kaum yang berfikir (untuk memahaminya).

Ayat 156-159 surah al-Nisa' firman Allah SWT yang bermaksud: Demikian juga (Kami laknatkan mereka) dengan sebab kekufuran mereka dan tuduhan mereka terhadap Maryam (dengan tuduhan yang amat dustanya. Dan juga (disebabkan) dakwaan mereka dengan mengatakan: "Sesungguhnya kami telah membunuh al-Masih Isa Ibni Maryam, Rasul Allah".

Padahal mereka tidak membunuhnya dan tidak memalangnya (di kayu palang - salib), tetapi diserupakan bagi mereka (orang yang mereka bunuh itu seperti Nabi Isa). Dan sesungguhnya orang-orang yang telah berselisih faham, mengenai Nabi Isa, sebenarnya mereka berada dalam keadaan syak (ragu-ragu) tentang menentukan (pembunuhannya)

Tiada sesuatu pengetahuan pun bagi mereka mengenainya selain daripada mengikut sangkaan semata-mata, dan mereka tidak membunuhnya dengan yakin.

Bahkan Allah telah mengangkat Nabi Isa kepadanya, dan adalah Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. Dan tidak ada seorang pun dari kalangan ahli Kitab melainkan ia akan beriman kepada Nabi Isa sebelum matinya dan pada hari kiamat kelak Nabi Isa akan menjadi saksi terhadap mereka. bangsa Yahudi

Al-Maraghi berkata: "Ayat ini mengkhabarkan adanya unsur-unsur kehinaan dan kerendahan darjat bangsa Yahudi yang berlanjutan sehingga hari akhirat. Perkara ini memang terbukti sehingga tidak didapati orang Yahudi yang menjadi raja atau memiliki sebuah negeri sendiri.

"Perkara ini berbeza dengan kaum Nasrani tetapi para pengikut al-Masih belum lagi membuktikan kenyataan ini pada zaman hidup Baginda. Ini disebabkan mereka dikuasai oleh orang Yahudi.

"Oleh itu, pengertian kemenangan yang pertama (kemenangan rohaniah keagamaan) yang lebih sesuai dijadikan cermin".

Sesungguhnya kedatangan Nabi Isa kepada bangsa Yahudi dengan tidak membawa syariat baru. Bahkan kedatangan baginda adalah untuk menghapuskan sikap kolot dalam memahami syariat Nabi Musa a.s yang dilakukan secara formal.

Tujuan kedatangan baginda juga adalah untuk memberi kefahaman yang benar kepada mereka. Dari itu, ia bermaksud penganut agama Ahli Kitab terhadap beku kepada kata-kata formal ayat suci.

Justeru, mahu tidak mahu mereka memerlukan seorang pembaharu seperti Nabi Isa yang menjelaskan kepada mereka rahsia syariat dan jiwa agama. Dan semuanya itu ada dalam al-Quran, tetapi mereka telah tertutup lantaran taklid.

Masa kehidupan Nabi Isa a.s merupakan zaman yang mana manusia telah berpegang teguh pada roh agama dan syariat Islam untuk memperbaiki jiwa dan bukan hanya berpegang kepada tulisan dan kata-kata formal ayat suci.

Sebaliknya, golongan dajjal adalah simbol terhadap kaum pembuat khurafat iaitu kebohongan dan kebusukan. Di mana perbuatan ini akan hilang apabila syariat hidup dengan sewajarnya termasuk jiwa dan hikmahnya. Sedangkan kitab al-Quran merupakan penyuluh terbesar kepada hikmah dan jiwa agama. Begitu pula sunnah Rasul yang penuh dengan penjelasan seperti ini.

Muhammad Quraish Shihab berkata: "Kata mutawaffika diambil dari kata yang bermakna sempurna. Al-Quran menggunakannya antara lain untuk makna mati dan tidur. Dia bermakna mati kerana siapa yang wafat maka umurnya di dunia telah sempurna dan kerana tidur mirip dengan mati dari sisi hilangnya kesedaran maka tidur pun dinamai mati oleh al-Quran dan sunnah".

Hamka berkata: "Adalah satu kenyataan bahawa kita terdiri dari berbagai golongan. Kadang-kadang kita bertukar pandangan dan fikiran, kadang-kadang berebut pasaran dan pengaruh.

"Lantaran bertengkar kita lupa kewajipan kita mengabdikan diri kepada Allah SWT. Lupa bahawa hidup di dunia fana yang pendek ini hendaklah diisi dengan amal yang baik, jasa yang berguna dan ilmu yang berfaedah.

"Janganlah kamu terlalu banyak berselisih faham. Hanya membazirkan waktu yang terluang dengan bertengkar dan bermusuhan sesama sendiri".

Akhirnya penulis ingin mengemukakan sekali lagi pendapat Ibn Kathir berkenaan hal ini. Katanya: "Sesungguhnya Isa al-Masih tatkala Allah SWT mengangkatnya ke langit, rakan-rakan dan pengikutnya berpecah ketika itu:
  1. Ada yang beriman dengan apa yang Allah bangkitkannya bahawa Nabi Isa adalah hamba Allah, Rasul-Nya dan anak kepada Maryam.
  2. Ada di kalangan mereka yang melampaui sehingga menjadikan Isa sebagai anak Allah.
  3. Lebih teruk lagi ada di kalangan mereka menganggap Nabi Isa adalah Allah SWT.
  4. Seterusnya di kalangan mereka mendakwa Nabi Isa adalah salah satu daripada tiga Tuhan.
Semuanya itu dihikayatkan Allah dalam al-Quran serta membangkang dan membidas puak mereka. Mereka berkeadaan begini hampir 300 tahun, kemudian mereka telah dipimpin oleh Raja Yunan digelar dengan nama Qustantin yang bertujuan untuk merosakkan agama Kristian kerana ia asalnya seorang ahli falsafah.

Dikatakan beliau amat jahil tentang agama dan mengubah ajaran al-Masih, menambah dan meminda, menggubah undang-undang serta khianat yang amat berat. Antara tindakannya, beliau menghalalkan daging khinzir dan solat ke arah timur, meletakkan gambar-gambar dalam gereja, menambah puasa 10 hari kerana dosa yang dilakukannya sehingga jadilah agama al-Masih bertukar kepada agama Qustantin.

Beliau telah membina banyak gereja dan tempat ibadat melebihi 12,000 gereja, di samping menisbahkan nama kota kepadanya. Untuk keterangan lanjut boleh rujuk kitab tafsir Ibn Kathir dan al-Firaq Wa Adyan.

Semoga Allah menjadikan kita di kalangan orang Islam yang beriman kepada Nabi-nabi dan Rasul-rasul termasuk Nabi Isa a.s.

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI
Sumber: http://www.ipislam.edu.my/

No comments:

Post a Comment