Sunday, August 29, 2010

Tidak salah suami sibuk di dapur


Sebagai ibu, memang rasa bersalah kerana tidak dapat menyediakan hidangan lengkap berbuka untuk keluarga kerana faktor masa, antara luahan rasa suri rumah bekerja kepada Kongsi Rasa.

Menurut mereka, kesibukan tugas di pejabat dan kesesakan jalan raya menjadi faktor mereka tidak dapat menyediakan hidangan selengkap mungkin untuk berbuka. Sebagai pilihan, mereka lebih gemar membeli lauk-pauk di bazar Ramadan. Walaupun tidak memasak untuk juadah berbuka, mereka berusaha mengatasi kekurangan itu dengan menyediakan makanan dimasak sendiri untuk bersahur. Walaupun tidak cukup tidur, ia tidak menghalang ibu bekerja bangun awal pagi untuk menyediakan hidangan buat keluarga.

Dilema ibu bekerja menguruskan rumah tangga bukan masalah asing. Kak Ani juga melalui situasi yang sama. Alangkah baik, jika semua suami memahami dan berusaha mengurangkan bebanan yang ditanggung isteri bekerja.

Memang susah untuk menemui suami yang sanggup menyingsing lengang membantu isteri memasak di dapur atau kerja rumah lain. Penat bekerja tidak sepatutnya dijadikan alasan untuk tidak membantu isteri yang juga bekerja dan pada masa sama menguruskan rumah tangga.

Tiada isteri yang suka melihat suami menikmati juadah dibeli di kedai. Ibu mana mahu melihat anak disuapkan pembantu rumah ketika mereka sibuk kerja di pejabat.
Semua sedar air tangan isteri pengikat kasih sayang suami. Begitu juga menikmati masakan ibu memang dirindui anak.

Kalau suri rumah sepenuh merasa terhina kerana tidak mempunyai pekerjaan dan wang sendiri, suri rumah bekerja pula rasa terkilan kerana tidak berupaya menguruskan rumah tangga dengan sempurna berikutan kekangan masa.

Antara suri rumah sepenuh masa dan isteri yang bekerja, semuanya mempunyai tanggungjawab yang sama iaitu memastikan rumah tangga mereka bahagia.

Sumber: http://www.bharian.com.my/

No comments:

Post a Comment