Friday, August 27, 2010

Nabi Ibrahim melawan Raja Namrud


APAKAH kamu tidak memerhatikan orang yang mendebat Ibrahim tentang Tuhannya (Allah) kerana Allah memberikan kepada orang itu pemerintahan (kekuasaan). Ketika Ibrahim mengatakan: "Tuhanku ialah Yang Menghidupkan dan Yang Mematikan." Orang itu berkata: "Saya dapat menghidupkan dan mematikan." Ibrahim berkata, "Sesungguhnya Allah menerbitkan matahari dari timur, maka terbitkanlah dia dari barat." Lalu terdiamlah orang kafir itu dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang zalim. (al-Baqarah: 258)

Peristiwa ini berlaku selepas sahaja baginda keluar dari api yang membakar dirinya. Nabi Ibrahim semakin bersemangat untuk meneruskan dakwah kerana bertambah yakin dengan petunjuk dan perlindungan daripada Allah SWT. Baginda menjalankan dakwah tidak berhenti-henti kepada kaumnya.

Suatu hari, kegiatan dakwahnya itu telah diketahui oleh Raja Namrud. Raja Namrud berasa sangat risau dan susah hati. Dia bimbang kekuasaannya akan tergugat kerana dakwah yang dijalankan oleh Nabi Ibrahim. Dia juga bimbang sekiranya kerajaannya akan musnah disebabkan oleh pengaruh dan dakwah yang dijalankan oleh Nabi Ibrahim.

Raja Namrud telah memanggil Nabi Ibrahim supaya datang mengadapnya. Apabila Nabi Ibrahim tiba, Raja Namrud pun bertanya kepada Nabi Ibrahim:

"Apakah fitnah dan api permusuhan yang engkau sebar dan engkau khabarkan di tengah-tengah rakyatku? Siapa Tuhan yang engkau minta rakyatku menyembahnya? Ada lagikah Tuhan yang engkau kenal dan patut disembah selain aku? Siapa yang mempunyai kedudukan setinggi kedudukanku dan siapa yang memiliki kekuasaan seluas kekuasaanku? Tidakkah engkau nampak, aku berkuasa mengatur dan mentadbir kerajaanku yang luas ini, menetapkan dan membatalkan sesuatu menurut kehendakku tanpa ada sesiapa dapat menghalangnya ? Segala keputusanku ditaati dan tidak ada sesiapa pun dapat menundanya. Semua orang bergantung kepadaku untuk meminta pertolongan dan mereka tidak berani melawannya. Mengapa engkau berani menentang aku? Kamu bukan menghina malah merosakkan sembahan-sembahan rakyatku."

Nabi Ibrahim pun menjawab kata-kata Raja Namrud itu dengan tenang sekali, "Aku tidak menyebarkan fitnah atau menimbulkan kekacauan. Aku hanya membawa kebenaran dan mahu menghapuskan kesesatan. Aku mengajak orang ramai supaya menyekbah Allah, Tuhan yang menghidupkan dan mematikan, memberi kehidupan kepada makhluk-Nya atau mencabut nyawa.

Itulah Tuhan yang aku sembah dan aku mengajak orang menyembah-Nya. Bukan patung-patung yang dibuat oleh mereka sendiri."

Namrud berasa amat tidak berpuas hati. "Jika Tuhan yang engkau sembah dapat menghidupkan dan mematikan, aku pun mampu melakukannya. Seseorang yang mesti menjalani hukuman mati apabila diampunkan olehku maka dia akan hidup dan apabila orang itu dijatuhi hukuman mati, maka ertinya aku telah mematikan dia. Sekarang tidak ada bezanya Tuhanmu dengan diriku. Mengapa engkau tidak menyembahku?"

Nabi Ibrahim masih tidak berputus asa. "Baiklah, Tuhanku telah menciptakan matahari dengan kedudukan terbit setiap hari di sebelah timur dan terbenam di sebelah barat. Jika engkau benar-benar berkuasa, cubalah engkau ubah kedudukannya itu. Dapatkah engkau melakukannya?"

Namrud akhirnya terdiam seketika. Dia tidak dapat melawan kata-kata dan hujah daripada Nabi Ibrahim. Mulai dari saat itulah, Namrud menganggap Nabi Ibrahim sebagai musuh yang perlu dilayan dengan berhati-hati. Dia tidak mahu menampakkan kebencian yang nyata kepada Nabi Ibrahim. Sebagai langkah berjaga-jaga Namrud telah menghantar beberapa pasukan pengawal untuk menyiasat segala kegiatan Nabi Ibrahim.

Sumber: http://www.ipislam.edu.my

No comments:

Post a Comment