Friday, August 13, 2010

Guru pemupuk budaya membaca


WALAU apa sahaja kecanggihan perkakasan dan perisian yang digunakan dalam sistem penyampaian maklumat, membaca merupakan satu proses yang amat diperlukan untuk mengakses, menterjemah dan akhirnya memahami maklumat tersebut.

Proses ini berlaku di sekolah dan guru merupakan sumber utama yang mampu memupuk budaya membaca ini dalam kalangan murid.

Memang tidak dapat dinafikan membaca merupakan proses yang bosan serta tidak digemari oleh sebahagian besar murid-murid. Kita tidak boleh menyalahkan mereka kerana membaca memerlukan daya tumpuan yang tinggi. Sedangkan isi bacaan, gaya penulisan dan olahan serta susunan grafik yang terdapat pada halaman-halaman buku tersebut amat mempengaruhi daya tarikan membaca.

Tidak hairanlah kenapa buku-buku atau majalah-majalah yang mempunyai gambar, saiz huruf yang besar serta susunan grafik yang menarik dan berwarna warni menjadi pilihan murid-murid. Manakala buku yang terlalu tebal, saiz huruf yang kecil dan tidak mempunyai gambar, kurang digemari oleh mereka.

Dalam hal ini guru harus memainkan peranan yang penting dalam usaha memupuk budaya membaca. Mereka tidak seharusnya memberi arahan sahaja kepada pelajar untuk membaca tetapi perlu merangka aktiviti yang sesuai dan menarik agar rasa bosan dapat ditangani. Sebagai contoh aktiviti yang boleh dirancang oleh guru bolehlah mengandungi arahan seperti berikut:
  • Mencari dan meneroka: mencari maklumat dan meneroka kisah yang terdapat di dalamnya.
  • Menyenarai: menyenarai maklumat yang berkaitan dengan topik yang dibaca.
  • Melakar: melakar peta minda atau bentuk grafik yang lain
  • Menilai: membuat jangkaan, mengkaji kebaikan atau kelemahan dan membuat cadangan terhadap bahan bacaan tersebut.
  • Mempersembah: menyampaikan isi bacaan yang dilakar dalam pelbagai bentuk dan gaya persembahan seperti lakonan, bacaan berirama, berhujah dan sebagainya mengikut kesesuaian tahap masing-masing.
Aktiviti-aktiviti yang disebutkan di atas sebenarnya telah menggabungkan pelbagai deria dan gaya belajar serta mengambil kira aspek kepelbagaian kecerdasan yang ada pada seseorang murid. Malah aspek pemikiran kritis dan kreatif serta budaya inovasi sudah digarapkan dalam aktiviti ini.

Guru seharusnya kreatif dalam proses merancang corak pembelajaran dan pemilihan media pengajaran kepada murid-murid. Kekangan masa serta hal-hal lain tidak harus dijadikan alasan kenapa pengajaran yang berasaskan sumber dan aktiviti tidak dapat dijalankan. Perancangan yang rapi, pemilihan yang bijak serta jiwa yang ikhlas mampu mewujud pembelajaran yang menarik dan berkesan ke arah pembentukan modal insan yang bermaklumat dan mulia.

oleh DR. ISMAIL ZAIN
Sumber: http://www.tutor.com.my/

No comments:

Post a Comment