Sunday, August 29, 2010

KOENZIM Q10: bahan bakar utama jantung


JIKA anda selalu berasa letih, kemungkinan besar jantung anda tidak memperolehi 'bahan bakar' yang diperlukan untuk kekal sihat dan kuat. Bahan bakar istimewa ini ialah Koenzim Q10 (Co Q10). Ia adalah penting untuk mengeluarkan tenaga di peringkat selular.

Saintis mendapati jantung mengandungi 10 kali ganda lebih banyak Co Q10 berbanding organ lain dalam badan. Ini kerana jantung adalah organ yang paling kuat bekerja dan ia berdegup kira-kira 100,000 kali setiap hari. Tiada satu pun degupan itu boleh berlaku tanpa tenaga. Oleh kerana jantung merupakan organ yang bekerja tanpa henti, ia memerlukan tenaga yang amat banyak secara berterusan

Di peringkat sel, tenaga dikeluarkan dalam mitokondria (pusat janakuasa) dan kerana jantung merupakan organ yang paling kuat bekerja, ia kaya dengan mitokondria yang menjana tenaga (sehingga 5,000 mitokondria dalam setiap sel), lebih banyak daripada apa yang dijumpai dalam mana-mana tisu yang lain. Lebih banyak mitokondria di dalam sel, maka lebih banyak tenaga mampu ia keluarkan. Oleh kerana Co Q10 itu penting untuk pengeluaran tenaga dalam mitokondria, maka tidak hairanlah jika jantung mengandungi berlipat ganda banyaknya Co Q10 berbanding mana-mana organ lain.

Mendapatkan tenaga tidak menjadi masalah semasa muda. Badan dapat mengeluarkan semua Co Q10 yang diperlukan oleh jantung. Tetapi apabila semakin tua, kita mengeluarkan semakin sedikit Co Q10. Apabila berumur 50-an atau 60-an, jantung akan mengalami 'kebuluran' tenaga. Bila ini berlaku, jantung tidak dapat menjalankan tugasnya dengan cekap serta tidak dapat membekalkan semua oksigen dan nutrien yang diperlukan oleh organ dan tisu di seluruh badan anda. Justeru itu, anda akan berasa letih dan tidak bermaya.

Manfaat Co Q10 kepada jantung kini diterima umum oleh doktor. Beberapa kajian menunjukkan pembaikan yang konsisten dalam fungsi jantung bagi mereka yang mengambil Co Q10. Oleh kerana Co Q10 begitu perlu untuk pengeluaran tenaga, maka sudah tentu ia akan menjejaskan fungsi jantung sekiranya terdapat kekurangan, dan ini belum lagi mengambil kira organ-organ yang lain.

l Co Q10 sebagai antioksidan

Co Q10 wujud di mitokondria, iaitu tempat di mana radikal bebas dijanakan. Sebagai sejenis antioksidan yang berkesan, Co Q10 telah terbukti dapat mencegah kerosakan mitokondria, dengan itu memelihara dan melindungi sistem tenaga kita.

l Mencegah oksidasi kolesterol LDL

Penyelidikan telah memutuskan bahawa bukan semua kolesterol itu tidak berfaedah. Lipoprotein berdensiti rendah (LDL) dikenali sebagai 'kolesterol jahat' manakala lipoprotein berdensiti tinggi (HDL) ialah 'kolesterol baik'. Lebih tinggi HDL adalah lebih baik. Sebenarnya, kolesterol LDL secara bersendirian tidak menjadi masalah; ia menjadi masalah hanya apabila ia dioksidasikan oleh radikal bebas. LDL yang dioksidasikan ini akan berkumpul di dalam arteri kita serta membantu membina plak, seterusnya mengeraskan arteri.

Dalam aliran darah, Co Q10 diangkut oleh LDL. Co Q10 melindungi LDL daripada dioksidasikan oleh radikal bebas. Kajian mendapati lebih banyak Co Q10 yang terkandung dalam kolesterol LDL, maka lebih kurang kecenderungannya terhadap pengoksidaan dan juga semakin kurang kemungkinan untuknya membentuk plak yang menyumbat arteri.

Vitamin E juga ialah sejenis antioksidan yang membantu melindungi daripada pengoksidaan LDL. Sehubungan ini, Co Q10 memainkan peranan penting untuk membantu badan anda menyimpan lebih banyak vitamin E dalam aliran darah dengan mengitar semula vitamin E, supaya badan dapat menggunakannya secara berulang-ulang. Melindungi LDL daripada pengoksidaan juga merupakan suatu langkah yang amat penting untuk mengekalkan kesihatan jantung anda.

n Co Q10 dan Statin

Statin (juga dikenali sebagai HMG-CoA Reductase Inhibitor) merupakan sekumpulan ubat untuk menurunkan kolesterol dan dianggap sebagai sejenis ubat yang berkesan kerana ia bukan sahaja dapat menurunkan kolesterol secara mendadak tetapi juga mengurangkan risiko serangan jantung. Statin menghalang sintesis kolesterol dengan menyekat enzim HMG-CoA Reductase.

Namun demikian, kesan ini juga menghalang pengeluaran Co Q10. Sejak tahun 1990, terdapat banyak kajian yang melibatkan manusia untuk menilai kesan statin dan Co Q10. Kajian-kajian ini mendapati penurunan ketara pada paras Co Q10 dalam jantung, otot rangka dan tisu hati selepas rawatan dengan ubat-ubat statin, terutama sekali apabila ubat-ubat ini diambil dengan dos yang tinggi.

Menurut seorang pakar jantung Dr. Peter Langsjoen, semua statin akan menyusutkan konsentrasi Q10 di kedua-dua paras darah dan paras selular.

"Dos yang lebih tinggi akan menyebabkan kesusutan Co Q10 yang lebih besar. Masalahnya ialah penyusutan ini berlaku secara perlahan sepanjang beberapa tahun, menyebabkan sukar untuk kita menyalahkan sesuatu kesan yang buruk tiga tahun kemudian (misalnya) kepada pengambilan statin," jelasnya.

Penyusutan ini adalah amat bahaya bagi golongan tua, kerana apabila kita semakin tua paras Co Q10 kita menjadi semakin berkurangan. Antara ubat Statin yang terdapat di pasaran Malaysia ialah: Lovastatin, Pravastatin, Simvastatin, Fluvastatin dan Atorvastatin.

Kajian menunjukkan penyusutan Co Q10 akibat daripada penggunaan statin boleh dicegah dengan mengambil suplemen. Lagipun, pengambilan suplemen Co Q10 tidak menjejaskan keupayaan statin untuk menurunkan kolesterol.

Menurut Dr. Langsjoen, menggabungkan Co Q10 dengan statin bukan sahaja dapat mencegah penyusutan Co Q10, tetapi juga mungkin boleh meningkatkan keberkesanan ubat statin dengan mengurangkan pengoksidaan kolesterol LDL (kolesterol jahat). Jika anda sedang mengambil ataupun berhajat untuk mengambil statin, bincangkan dengan doktor anda tentang pengambilannya bersama suplemen Co Q10.

n Co Q10 Larut Air

Suplemen Co Q10 bukan sahaja untuk mereka yang mengambil ubat statin. Dr. Langsjoen telah memberikan suplemen Co Q10 kepada beribu-ribu pesakit, dan beliau berpendapat kita tidak sepatutnya menunggu sehingga kita mengalami masalah jantung barulah hendak mengambil Co Q10. Beliau percaya pengambilan Co Q10 bermula dari pertengahan umur (apabila kemerosotan Co Q10 bermula), akan memberi kesan perlindungan kepada mitokondria jantung dan membantu memelihara fungsi jantung.

Bentuk tradisi suplemen Co Q10 bagaimanapun tidak mudah diserap oleh badan (serbuk Co Q10 yang diampaikan dalam minyak soya dan dimasukkan ke dalam kapsul-kapsul gel lembut, pil-pil yang berasaskan serbuk dan gelatin-gelatin keras yang berisi serbuk). Masalahnya ialah saiz zarah Co Q10 adalah amat besar, tidak larut air, dan tidak begitu larut dalam lipid yang menyebabkannya sukar diserap oleh badan.

Proses "Biosolv" yang dipatenkan dapat mengecilkan saiz zarah Co Q10 daripada 25 hingga 70 mikron kepada hanya 0.3 mikron, iaitu saiz lebih kecil daripada bakteria! Dengan menggunakan proses ini, molekul Co Q10 menjadi begitu kecil sehingga ia menjadi "larut air" (hydrosoluble). Umumnya, lebih kecil saiz zarah itu maka lebih baik lagi penyerapannya. Dengan Co Q10 yang larut air, lebih banyak Co Q10 dapat diserapkan ke dalam aliran darah untuk memberikan lebih banyak manfaat kepada jantung dan badan anda.

Maklumat dalam artikel ini adalah untuk tujuan pendidikan sahaja dan seharusnya tidak digunakan sebagai ganti nasihat kesihatan peribadi. Jika anda sedang mengalami masalah kesihatan, anda dinasihatkan supaya berjumpa dengan pengamal pakar kesihatan.

oleh: Arbain Muhayat
Sumber: http://www.ipislam.edu.my/

No comments:

Post a Comment