Penting kepada perkembangan intelektual si manja anda.
Apakah itu Kecerdasan?
Kecerdasan adalah keupayaan untuk belajar atau memahami atau menangani situasi baru atau mencabar – Merriam Webster. Sejak kecil, anak perempuan anda meminati muzik dan berkebolehan bermain beberapa alat muzik. Namun, bila diminta menjawab soalan matematik yang mudah, dia mengelak. Sebaliknya, anak lelaki jiran anda yang sebaya dengannya tidak mempunyai sebarang kemahiran yang boleh menyerlahkannya. Tetapi dia sentiasa mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan dan mendapat gelaran pelajar "pintar".
Buat masa ini, terdapat kontroversi dalam cara menentu dan mengukur kecerdasan atau kepintaran. Tidak ada satu definisi yang tepat dan tidak ada satu ujian yang dapat mengukur skop kecerdasan. Sebagai contoh, berdasarkan cerita di atas, kedua-dua kanak-kanak adalah sama cerdas dengan cara masing-masing.
Amat penting bagi orang dewasa mengenali dan menghargai ciri-ciri "kebijaksanaan" anak mereka, kerana jenis kecerdasan yang asing membolehkan orang yang berlainan mengarah filem, menulis buku tersohor, atau mencipta sejarah dunia.
Teori Kecerdasan
Umumnya, terdapat dua pendapat mengenai kecerdasan –am dan berbilang. Pakar penyelidik kecerdasan yang pertama percaya bahawa terdapat satu sahaja kecerdasan am. Namun baru-baru ini, pakar psikologi mengenal pasti selanjutnya kerumitan kecerdasan, yang menjurus kepercayaan bahawa terdapat lebih daripada satu parameter "kecerdasan".
Kecerdasan Am oleh Charles Spearman (Sejak 1900-an)
Dalam erti kata yang lebih mudah, kecerdasan am ditakrifkan sebagai fungsi mental yang membabitkan keupayaan untuk berfikir, memberi sebab, menilai situasi, dan menyelesaikan masalah. Ia diukur menerusi pelbagai ujian kecerdasan.
Kecerdasan Pelbagai oleh Howard Gardner (Sejak 1980-an)
Menurut teori Gardner, seorang kanak-kanak yang mudah menguasai sesuatu kemahiran tidak semestinya lebih cerdas atau pintar secara keseluruhan daripada kanakkanak yang bekerja keras untuk menguasainya. Kanakkanak yang terpaksa bekerja keras ini mungkin lebih menyerlah dalam satu lagi jenis kecerdasan. Atas sebab ini, Gardner menyarankan lapan jenis parameter kecerdasan yang merangkumi kecerdasan manusia secara lebih luas, khususnya jasmani-kinestetik, antara perorangan (interaksi), lisan-linguistik, logik-matematik, naturalistik, diri (peribadi), visual-ruangan, dan muzik. Parameter ini secara tidak langsung akan mempengaruhi cara kanak-kanak belajar.
Keturunan Atau Asuhan?
Dalam isu perkembangan intelektual, persoalan ini telah mencetuskan kontroversi yang berpanjangan. Pakar Perunding Psikologi Klinikal, Profesor Madya Dr Teoh Hsien-Jin dan Pakar Perunding Pediatrik, Datuk Dr Zulkifli Ismail menghubungkan titik-titik ini untuk mendapatkan kewajaran bagi isu ini, yang telah dibahaskan secara meluas.
Kecerdasan bukan semata-mata bergantung pada gen atau persekitaran, tetapi kombinasi keduaduanya. Ia adalah bakat semula jadi yang diwarisi daripada keturunan dan asuhan, bukan bakat semula jadi yang diwarisi daripada keturunan atau asuhan. Malah, Profesor Madya Dr Teoh Hsien-Jin berkata bahawa bakat semula jadi yang diwarisi daripada keturunan dan asuhan saling menyokong, masingmasing mempengaruhi satu sama lain pada masa yang berlainan.
Namun, menerusi banyak kajian, ramai telah menyedari peranan penting yang dimainkan oleh persekitaran dalam mempengaruhi kepintaran. Sebagai contoh, 'kesan Flynn' menyarankan peningkatan markah ujian darjah kecerdasan atau intelligence quotient (IQ) sejak zaman-berzaman. Kesan ini adalah hasil daripada perubahan turun-temurun antara lain dalam status sosioekonomi, pemakanan dan pendidikan yang lebih baik – yang memainkan peranan penting dalam memastikan persekitaran optimum untuk membolehkan kanak-kanak membina keupayaan dan memperlihatkan keupayaan mereka.
"Kesan Flynn telah menonjolkan hubungan yang jelas antara pengaruh persekitaran dan kecerdasan. Menerusi pengamatan, kita juga dapat melihat ramai ibu bapa semakin bimbang memikirkan perkembangan intelektual anak-anak mereka dan berusaha melakukan sesuatu untuk menggalakkan perkembangan intelektual berbanding ibu bapa pada zaman dahulu. Namun demikian, ibu bapa perlu berhati-hati supaya tidak keterlaluan dalam segala yang dilakukan," kata Dr Teoh.
Menurut anggaran terkini, terdapat kira-kira 30,000 hingga 40,000 gen dalamnbadan manusia. "Setiap satu daripada gen ini mempunyai hubung kait dengan aspek tertentu seperti ketinggian, berat badan, warna rambut, kecerdasan, dan sebagainya," kata Datuk Dr Zulkifli Ismail. "Kecerdasan itu sendiri dianggarkan bergantung pada sekurang-kurangnya 150 gen yang berlainan," tambahnya.
Satu kajian antara sepasang kembar seiras dan sepasang kembar tidak seiras telah dijalankan untuk menyiasat hubung kait antara keturunan dan ciri-ciri psikologi (kecerdasan dan ukuran ektsraversi). Hasilnya menunjukkan bahawa apabila kembar seiras dibesarkan secara berasingan, mereka lebih menyerupai satu sama lain berbanding kembar tidak seiras yang dibesarkan bersama di bawah satu bumbung. (Sumber: Twin Studies, dipetik daripada Pederson et al., 1992 and Rowe, 1993)
"Daripada kajian ini, kita boleh membuat kesimpulan bahawa ciri-ciri psikologi dipengaruhi oleh keturunan. Kembar seiras mempunyai gen yang sama kerana mereka berasal dari satu persenyawaan zigot. Hasil kajian ini menunjukkan bahawa keturunan mempengaruhi kecerdasan," jelas Datuk Dr Zulkifli. Beliau membuat kesimpulan selanjutnya bahawa gen adalah antara banyak faktor, bukan satu-satunya faktor, yang mempengaruhi kepintaran. Perkembangan adalah bergantung kepada kombinasi antara faktor-faktor genetik, pengalaman dan pemakanan.
Apabila Bakat Bergabung Asuhan
Bakat semula jadi dan asuhan sering berhubung kait. Pertama sekali, kita perlu faham bagaimana kedua-duanya "bekerjasama" – gen tertentu boleh mempengaruhi orang sekeliling melayan individu dengan cara tertentu. Ini seringkali bergantung kepada keperibadian kanak-kanak.
Sebagai contoh, apabila bayi aktif menerima lebih perhatian daripada bayi pasif, bayi aktif lebih berminat terhadap interaksi sosial berbanding bayi pasif. Justeru, sifat semula jadinya diperkukuh oleh respons yang diperoleh daripada orang lain. Inilah yang berlaku apabila bakat semula jadi bergandingan dengan asuhan
Cereka dan Fakta
Cereka: Semua intervensi atau campur tangan awal (seperti penggunaan mainan berunsur pendidikan) membantu perkembangan intelektual
Fakta: Ini adalah tanggapan yang salah. Pertama sekali, bukan semua intervensi sedemikian terbukti dapat membantu dan kelebihan IQ sedemikian boleh hilang apabila kanak-kanak mencapai usia tertentu. Bagaimanapun, masih terdapat beberapa intervensi lain yang boleh memberi kelebihan intelektual yang kekal. Begitu pun, adalah penting bagi ibu bapa berwaspada dengan apa jua bentuk intervensi yang digunakan.
Cereka: "Oleh sebab kecerdasan diwarisi, kita tidak boleh buat apa-apa untuk membantu anak kita."
Fakta: Walaupun ini tidak benar, ramai yang beranggapan demikian. Ibu bapa tidak boleh mengubah gen anak mereka untuk membantunya cemerlang di sekolah, tetapi mereka boleh mempengaruhi persekitaran anak mereka. Teruskan membaca untuk mengetahui lebih lanjut tentang peranan yang boleh dimainkan oleh ibu bapa.
Bolehkah Anda Tambah Kecerdasan Si Manja Anda?
Ibu bapa boleh memainkan banyak peranan untuk meningkatkan pengalaman anak-anak yang boleh membantu menggalakkan perkembangan intelektual mereka. Oleh itu, amat penting bagi ibu bapa menyedari banyak peluang yang ada supaya mereka boleh mencungkil bakat terbaik anak-anak kecil mereka.a
Minda anak-anak yang sedang membesar amat menakjubkan, kata pakar psikologi klinikal, Cik Cheong Sau Kuan. "Ibu bapa dan keluarga perlu menyedari dan menghargai keunikan anak mereka. Keunikan inilah yang dapat memberi pengalaman yang diperlukan mereka untuk perkembangan intelektual," katanya. Cheong juga menonjolkan beberapa pengaruh penting persekitaran yang boleh membantu menambah kepintaran:
- Ibu bapa patut belajar memahami cara terbaik anak mereka boleh belajar dan menggunakan kaedah atau cara tersebut untuk menyemai dan memupuk minat untuk belajar dalam diri anak mereka.
- Galakkan membaca dan hadkan masa menonton televisyen. Rangsangan berterusan, interaksi dan mengeratkan hubungan kekeluargaan penting dalam setiap peringkat perkembangan untuk mencapai kebolehan kanak-kanak.
- Interaksi dengan rakan sebaya juga akan memberi manfaat kepada si manja, terutama sekali dalam perkembangan kemahiran sosial dan keupayaan untuk menyelesaikan masalah.
Walaubagaimanapun, sekolah tidak patut dianggap sebagai suatu organisasi yang tersendiri. Tetapi, ia merupakan suatu kerjasama antara ibu bapa, guru-guru dan juga persekitaran pembelajaran yang merupakan kunci untuk memastikan suatu pengalaman pembelajaran yang positif untuk kanak-kanak.
Kajian menunjukkan bahawa guruguru boleh menyelesaikan konflik bilik darjah yang berkaitan dengan keperibadian kanak-kanak, cara pengajaran dan mengurangkan tekanan semasa mengajar dengan lebih mudah jika terdapat kerjasama kukuh antara guru dengan ibu bapa. Ia juga akan menjamin agar setiap pihak akan bersepakat untuk mengelakkan sebarang kekalutan.
Pastikan agar terdapat komunikasi yang jelas antara ibu bapa dan guru-guru. Setiap pihak juga perlu faham akan niat satu sama lain. Ini akan memastikan agar terdapat suatu persekitaran pembelajaran yang konsisten dan berkesinambungan dari rumah ke sekolah, yang akan memanfaatkan kanak-kanak.
Terimalah idea-idea yang baru. Walaupun anda tidak semestinya bersetuju dengan polisi atau cara pengajaran guru anak anda, ingatlah bahawa mereka merupakan ahli professional yang pernah menerima latihan. Guru-guru tidak akan mencapai matlamat pengajaran mereka tanpa sokongan ibu bapa.
Apa yang dimakan oleh kanak-kanak boleh mempengaruhi perkembangan intelektual mereka dan sudah pasti ibu bapa boleh membantu dengan memberikan pemakanan yang baik, menurut pakar pemakanan, Profesor Madya Dr Norimah A Karim.
Hasil kajian menunjukkan bahawa kanak-kanak yang menyusu ibu mendapat markah lebih tinggi dalam ujian IQ. "Ini adalah satu permulaan yang baik bagi seseorang kanak-kanak," kata Dr Norimah. Beliau juga menekankan pentingnya zat besi kerana kajian yang dijalankan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menunjukkan bahawa kanak-kanak yang mengalami anemia (kekurangan zat besi) semasa bayi mendapat markah lebih rendah dalam ujian IQ dan parameter prestasi kognitif lain berbanding mereka yang tidak mengalami anemia semasa bayi.
Nutrien lain seperti asid lemak, terutama sekali lemak omega-3 dan omega- 6, adalah amat penting. Terdapat empat jenis lemak (dikenali sebagai arachidonic acid (AA), docosahexaenoic acid (DHA), eicosapentaenoic acid (EPA) dan dihomo-gamma-linolenic acid (DGLA)) yang membentuk sebahagian besar otak, kata Dr Norimah. Jadi, kekurangan mana-mana satu daripadanya boleh memberi kesan ke atas kecerdasan dan kelakuan si manja.
"Unit keluarga sangat penting untuk membangunkan generasi kanak-kanak cerdas," kata Dr Anjli Doshi-Gandhi, Timbalan Ketua Pengarah (Dasar), Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara Malaysia. Keluarga yang dinamik menyediakan persekitaran yang sihat dan membuka banyak peluang untuk perkembangan intelektual kanakkanak. "Persekitaran yang sihat memupuk hubungan keluarga yang kukuh," jelas Dr Anjli. Beliau seterusnya menekankan pentingnya hubungan antara ibu bapa dan anak-anak kerana ini boleh membantu menyemai atau menghindarkan minat anak-anak untuk menimba ilmu pengetahuan dan pengalaman.
Adalah juga penting bagi ibu bapa memastikan keselamatan anakanak di bawah jagaan mereka, kata Dr Anjli, supaya si manja yang kecil merasa selamat untuk meneroka dunia sekeliling mereka tanpa atau dengan sedikit sahaja sekatan. "Dengan cara ini, kanak-kanak dapat membina asas yang kukuh untuk perkembangan intelektual," katanya.
Kekarutan dan Realiti Biasa
Otak kanak-kanak membuka banyak peluang perniagaan yang besar! Banyak syarikat pemasaran produk untuk kanak-kanak telah sekian lama mengambil kesempatan daripada kebimbangan ibu bapa terhadap kecerdasan anak-anak mereka dengan pelbagai dakwaan mengenai produk mereka. Keadaan ini menimbulkan banyak salah faham dan salah tanggapan ke kalangan orang dewasa. Pakar Psikologi Klinikal, Cik Cheong Sau Kuan, menerangkan apa yang benar, dan apa yang palsu.
Mitos: Makanan tambahan boleh menambah kecerdasan kanak-kanak.
Realiti: Tiada bukti saintifik yang kukuh untuk menunjukkan bagaimana nutrien dalam makanan tambahan boleh menambah kecerdasan atau meningkatkan kesihatan kanak-kanak.
Mitos: Bermain dengan mainan berunsur pembelajaran dan menonton video pembelajaran boleh menjadikan kanak-kanak lebih pintar.
Realiti: Sungguhpun mainan dan video pembelajaran boleh memberi rangsangan, bukti daripada hasil penyelidikan menunjukkan bahawa dakwaan ini tidak berasas kerana tiada bukti yang menunjukkan ia membaiki 'pendawaian' semula jadi dalam perkembangan otak. Alat-alat permainan dan video hanya memberikan stimulasi satu arah yang tidak dapat memberi maklum balas kepada anak anda. Stimulasi terbaik untuk anak anda adalah interaksi dua arah dengan anda yang penuh kasih sayang dan memberi kanak-kanak peluang bermain untuk meneroka.
Mitos: Mendengar muzik Mozart atau muzik klasik lain semasa kecil boleh menambah kecerdasan kanak-kanak.
Realiti: Pertama sekali, dakwaan ini belum dibuktikan secara saintifik. Kedua, tiada bukti kukuh yang menunjukkan bahawa mendengar muzik klasik boleh dan akan menambah kecerdasan kanakkanak. Hasil penyelidikan asas telah dibesarkan oleh media.
Mitos: Darjah kecerdasan atau intelligence quotient (IQ) adalah tetap dan tidak boleh berubah.
Realiti: Ini tidak benar kerana setiap individu mempunyai suatu julat IQ yang mungkin berbeza bergantung kepada stimulasi yang diperolehi daripada persekitaran mereka dan proses pembelajaran. Kanak-kanak berpeluang untuk memaksimakan julat IQ mereka jika diberikan persekitaran yang merangsangkan dan peluang untuk belajar.
Jangan Bimbang, Hidup Mesti Riang!
Semua ibu bapa bimbang bila memikirkan perkembangan intelektual anak-anak mereka. Bagaimanapun, kebimbangan sedemikian ada kalanya tidak memberi kebaikan kepada si manja. Malah, ada kalanya ia boleh membawa padah, yang menyekat potensi pertumbuhan dan perkembangan si manja.
"Ibu bapa tidak sepatutnya merasa bimbang. Sebaliknya, mereka patut belajar melepaskan kekangan dan menghargai setiap langkah dan kemajuan dalam perkembangan intelektual anak mereka," nasihat Datuk Dr Zulkifli. Beliau selanjutnya menjelaskan, "Ibu bapa perlu menyedari banyak peluang yang ada untuk membantu memupuk kepintaran anak mereka."
Penglibatan orang dewasa secara aktif juga penting. "Ini akan membantu menyemai dan memupuk minat dan potensi kanak-kanak, yang berguna kepada perkembangan intelektual mereka," kata Datuk Dr Zulkifli.
Kita juga tidak seharusnya lupa bahawa perkembangan sesetengah kanak-kanak lebih perlahan. Jika ini berlaku, ibu bapa patut memberi lebih perhatian. "Kemarahan atau penggunaan kata-kata kesat bukan sahaja tidak dapat membantu, bahkan boleh membantutkan perkembangan menyeluruh intelektual, fizikal, emosi dan sosial kanak-kanak," jelas Datuk Dr Zulkifli.
Akhir sekali tetapi tidak kurang pentingnya, satu daripada perkara paling penting yang perlu dilakukan oleh keluarga ialah menyediakan persekitaran yang sesuai untuk kanak-kanak belajar dan menimba pengalaman hidup. Semua ini, disertakan kasih sayang dan penjagaan yang sempurna, dapat membantu perkembangan intelektual, fizikal, dan sosial si manja. PP
Sumber: http://www.mypositiveparenting.org/
No comments:
Post a Comment