Sunday, August 22, 2010
Galak anak belum baligh puasa
Allah SWT berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 286 bermaksud: "Allah tidak memberkati (mentaklifkan) seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya dan ia menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya."
Kanak-kanak tidak wajib berpuasa kerana ia tidak termasuk dalam golongan ditaklifkan, namun patut dididik walinya berpuasa supaya anak itu dapat membiasakan diri sejak kecil mengerjakannya mengikut kemampuan.
Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim, daripada Rubaiyi binti Muawwidz berkata Rasulullah SAW pada pagi hari 'Asyura mengirim utusan ke kampung kaum Ansar untuk menyampaikan: "Siapa yang berpuasa dari pagi hari hendaklah ia meneruskan puasanya, dan siapa yang dari pagi sudah berbuka, hendaklah ia berpuasa pada baki hari yang tinggal. Maka kami pun berpuasa dan kami menyuruh anak-anak kami yang masih kecil untuk berpuasa, kami bawa mereka ke masjid, kami buatkan mereka semacam alat permainan dari bulu kambing. Maka jika ada di antara mereka yang menangis meminta makan, maka kami berikan ia alat permainan itu. Demikianlah berlangsung sampai waktu berbuka."
Kalangan ulama sudah ijmak bahawa puasa itu wajib atas orang Islam berakal lagi baligh, sihat dan menetap, manakala wanita hendaklah suci dari haid dan nifas.
Maka tidak wajib berpuasa ke atas orang kafir, orang gila, kanak-kanak, orang sakit, orang musafir, perempuan yang dalam haid dan nifas, begitu juga orang tua, perempuan hamil atau wanita yang menyusukan anak.
Ada juga yang tidak wajibkan sama sekali iaitu seperti orang kafir dan orang gila. Puasa adalah ibadat Islam yang tidak diwajibkan kepada orang yang tidak beragama Islam. Orang gila pula tidak termasuk mukallaf kerana akalnya sudah hilang sedangkan akal adalah tempat bergantungnya taklif.
Dalam hadis Ali berkenaan turut merujuk sabda Nabi SAW yang bermaksud: "Diangkatkan pena dari tiga golongan iaitu dari yang gila sehingga akalnya sihat, orang tidur sehinggalah ia bangun dan anak kecil sehingga ia bermimpi (baligh). Wallahua'lam.
Sumber: http://www.bharian.com.my/
Labels:
Akhlak
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment