Sunday, August 22, 2010

Silau jejas penglihatan


DALAM kehidupan kita seharian, kesilauan matahari petang ketika memandu atau kilauan daripada pantulan permukaan bercahaya, boleh mengganggu bahkan membahayakan. Kesilauan tajam boleh menyebabkan kita hilang penglihatan buat sementara waktu dan sukar untuk melihat persekitaran dengan jelas. Perbezaan tinggi rendah permukaan mungkin tidak jelas atau hilang terus daripada penglihatan kita akibat kesilauan. Masalah kesilauan juga boleh membuatkan kita seolah-olah sedang melihat sebuah dinding cahaya yang putih. Ini boleh menimbulkan situasi yang berbahaya ketika memandu, khususnya jika pemandu tidak dapat melihat pejalan kaki, warna lampu isyarat, malah mungkin tidak dapat melihat kenderaan lain.

Kepekaan terhadap kesilauan

Terdapat banyak punca kesilauan yang boleh menyebabkan kerja biasa menjadi susah untuk dilakukan. Sebab-sebab biasa kesilauan adalah:
  • Cahaya matahari yang menimpa secara langsung.
  • Pantulan cahaya matahari dari permukaan licin dan bercahaya, termasuk dari kenderaan lain.
  • Cahaya dari atas kepala, terutama sekali lampu kalimantang di pejabat.
  • Lampu depan kenderaan yang datang dari arah bertentangan
  • Cahaya skrin komputer
Kepekaan kepada kesilauan boleh berpunca daripada pelbagai keadaan. Faktor biasa yang dikaitkan dengan kepekaan kesilauan termasuklah:
  • Pendedahan berlebihan kepada sinar ultra lembayung (UV).
  • Mereka yang mempunyai biji mata berwarna cerah serta anak mata yang besar.
Jadi bagaimanakah kita hendak mengurangkan kesilauan secara semulajadi?

Pigmen makular - Lutein dan Zeaxanthin

Pigmen makular pada manusia - lutein dan zeaxanthin - yang paling biasa dikaitkan dengan perlindungan terhadap kemerosotan makular berkaitan penuaan (AMD), didapati boleh mengurangkan kesan kesilauan yang merosakkan daripada mereka yang menjalani uji kaji yang mempunyai penglihatan normal. Ini dilaporkan oleh penyelidik dalam jurnal yang dikenali sebagai Optometry and Vision Science.

Lutein dan zeaxanthin merupakan sejenis anti oksida semulajadi yang melindungi mata dengan menyerap cahaya biru perosak itu di samping mengurangkan kesilauan. Cahaya biru boleh menyebabkan tekanan oksidatif berbahaya dalam mata. Lutein dan zeaxanthin melindungi sel dan membran dengan membataskan kegiatan radikal bebas berbahaya.

Lutein Dan Zeaxanthin Dalam Alam Semulajadi

Lutein dan zeaxanthin merupakan nutrien semulajadi berpigmen kuning dan termasuk dalam keluarga karotenoid. Karotenoid adalah pigmen berwarna merah, kuning dan jingga yang dijumpai dalam buahan berwarna kuning dan jingga serta sayuran berdaun hijau dan jagung.

Taburan Lutein dan Zeaxanthin di dalam Mata

Daripada lebih 600 pigmen tumbuhan yang dikenali sebagai karotenoid yang lazim dijumpai dalam alam semulajadi, hanya dua jenis karotenoid, iaitu lutein dan zeaxanthin, secara terpilih terkumpul dalam retina, makula dan kanta. Zeaxanthin merupakan komponen paling banyak berkumpul di tengah makula, manakala lutein pula mengumpul paling banyak di pinggir luaran mata. Mata kita bersifat memilih dan ia memilih untuk meletakkan zeaxanthin tepat di tengah makula, suatu kawasan paling kritikal untuk penglihatan pusat dan merupakan kawasan yang paling memerlukan perlindungan.

Sumber: http://www.utusan.com.my/

No comments:

Post a Comment