Thursday, August 5, 2010

Teknologi pendidikan penentu kejayaan


Dalam aliran perkembangan pendidikan, istilah teknologi pendidikan mungkin membawa kita memikirkan tentang jenis perkakasan dan perisian yang terdapat pada klasifikasi media untuk digunakan dalam proses pengajaran dan pembelajaran (P&P). Walaupun ia menepati kehendak sistem pembelajaran yang meletakkan teknologi sebagai media yang membantu kejelasan proses pengajaran tetapi pengunaannya tidak terbatas kepada aspek peralatan sahaja.

Domain teknologi pendidikan haruslah dilihat secara lebih meluas agar peranan guru bukan hanya tertumpu pada penggunaan perkakasan dan perisian sahaja tetapi menjangkau aspek-aspek mereka bentuk pengajaran (instructional design) dalam usaha menyediakan persekitaran pembelajaran yang kondusif dan menyeronokkan ke arah kecemerlangan pelajar-pelajar.

Educational technology is a process of using our knowledge, which includes the body of knowledge in the entire field of education and any pertinent scientific and technical knowledge in all other disciplines, for designing the most appropriate learning environment for student success.

Petikan di atas jelas menunjukkan aspek perancangan yang melibatkan aplikasi ilmu pengetahuan dalam pelbagai bidang amat penting menyumbang kepada persediaan persekitaran pembelajaran yang sesuai untuk pelajar-pelajar.

Dalam hal ini guru-guru harus bersedia untuk membuat perancangan yang mampu menarik minat pelajar dengan mengambil kira semua aspek sumber manusia dan bukan sumber manusia untuk diintegrasikan dalam proses pengajaran dan pembelajaran.

• Sumber manusia

Ia meliputi aspek kreativiti guru dalam merancang pengajaran yang jelas, mudah difahami serta menarik perhatian pelajar. Selain daripada itu perhubungan mesra guru melalui teknik penyoalan yang bersifat interaktif mampu mengundang pelajar untuk memberi pendapat tanpa merasa malu atau takut melakukan kesilapan. Begitu juga dengan aktiviti-aktiviti yang lebih bersifat berpusatkan pelajar (student-centered) mampu menggalakkan perhubungan yang lebih akrab di antara mereka, menjana fikiran yang lebih kritis dan kreatif dalam menyelesaikan sesuatu masalah serta mampu memupuk sifat berdikari dalam proses mencari maklumat tanpa terlalu banyak bergantung kepada guru.

• Sumber bukan manusia

Pengaplikasian media pengajaran serta kaedah penyampaian yang sesuai juga memainkan peranan yang penting dalam proses penyediaan perancangan. Peralatan tidak semestinya canggih tetapi mampu memberi kejelasan terhadap isi atau konsep sesuatu topik pembelajaran. Peralatan boleh digunakan mengikut kategori sama ada menggunakan elektronik atau bukan elektronik. Guru juga harus jangan lupa bahawa bahan-bahan maujud juga merupakan salah satu bahan yang amat realistik digunakan asalkan ilmu dalam mereka bentuk pengajaran difahami dan dilaksanakan oleh guru dalam proses perancangan mereka.

Berdasarkan perbincangan di atas, proses penyediaan persekitaran pembelajaran yang menarik harus diberi perhatian di mana peranan teknologi bukan hanya tertumpu pada peralatan yang canggih sahaja tetapi aspek reka bentuk pengajaran harus diberi keutamaan.

Oleh: DR. ISMAIL ZAIN (drismailzain@yahoo.com)
Sumber: http://www.tutor.com.my

No comments:

Post a Comment