Saturday, August 7, 2010
Ramadan masa terbaik tingkat ketakwaan ummah
WALAUPUN pengalaman berpuasa ada yang sudah mencapai puluhan tahun, kedatangan Ramadan tetap dinanti dengan penuh debaran untuk memenuhi tekad serta keazaman meningkatkan ketakwaan kepada Allah.
Penceramah bebas, Ahmad Muhamad, berkata pencapaian takwa sepanjang Ramadan perlu diteruskan dan tumpuan ialah memastikan puasa dilaksanakan benar-benar bebas daripada perkara yang boleh merosakkan ibadat itu.
Katanya, kesungguhan menanti kedatangan bulan mulia penuh keberkatan itu hanya berjaya apabila prinsip puasa Ramadan dapat diterjemahkan dalam bentuk pelaksanaan kerana sepanjang bulan itu umat Islam berlumba-lumba menunaikan rukun Islam ketiga.
"Ibadat puasa sudah dilaksanakan sejak zaman Nabi Adam lagi, maknanya bukan kita saja yang berpuasa kerana mereka yang terdahulu juga berpuasa. Ramadan ialah bulan khusus untuk melatih dan mendidik melakukan amalan wajib serta digalakkan.
"Oleh itu, pencapaian takwa perlu diteruskan termasuk pada Ramadan kali ini mengikut kemampuan diri masing-masing," katanya ketika menyampaikan tazkirah pada majlis Program Ambang Ramadan 1431 Hijrah di Maahad Tahfiz Nurul Huda Hulu Langat.
Program Ambang Ramadan 1431 Hijrah anjuran bersama Persatuan Warga Emas Hulu Langat, Jam'iyah Seruan Islam Selangor dan Wilayah Persekutuan serta Maahad Tahfiz Nurul Huda Hulu Langat.
Hadir pada majlis itu, Presiden Persatuan Warga Emas Hulu Langat, Muzir Aseral dan Pengasas Maahad Tahfiz Nurul Huda, Sahibon Mohd Yusuf.
Majlis dimulakan dengan bacaan al-Quran oleh pelajar Maahad Tahfiz Nurul Huda yang mengupas ayat mengenai suruhan berpuasa diikuti persembahan nasyid sebelum disambung bacaan Yasin beramai-ramai.
Pada majlis itu juga, Persatuan Warga Emas Hulu Langat menyampaikan sumbangan kepada ahlinya bagi membantu mereka membuat persediaan menghadapi Ramadan.
Ahmad berkata, umat Islam sudah diberi penjelasan atau panduan untuk melaksanakan ibadat puasa melalui pelbagai program dianjurkan pihak tertentu seperti surau dan masjid serta daripada pembacaan sendiri.
Justeru, katanya, Ramadan yang dijangka bermula 11 Ogos bakal menjadi medan membuktikan kemampuan diri menahan diri daripada makan dan minum selain mengelak melakukan perbuatan membatalkan puasa.
Pada masa sama katanya, banyak natijah baik yang sering kali berlaku sepanjang Ramadan tidak sepatutnya dipersiakan kerana mahu tidak mahu masyarakat perlu mengakui keistimewaan bulan puasa kepada kehidupan mereka.
"Ibu bapa yang sibuk bekerja sedaya upaya pulang untuk berbuka puasa bersama anak. Waktu sahur pun dapat makan bersama kerana jika tidak susah untuk ahli keluarga berkumpul. Ramadan juga merapatkan jurang antara yang miskin dan kaya.
"Pada masa inilah kita dapat lihat mereka yang berpangkat tidak kekok makan bersama golongan kurang berkemampuan. Banyak perkara indah berlaku semasa Ramadan dan alangkah baiknya jika dapat diteruskan pada bulan lain," katanya.
Oleh:Hasliza Hassan - hasliza@bharian.com.my
Sumber: http://www.bharian.com.my/
Labels:
Ibadah
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment