Saturday, August 14, 2010

Kerap kencing tanda sakit


Ramai rahsiakan derita buang air kecil yang jadi petanda pundi kencing bermasalah

TAHUKAH anda, kekerapan membuang air kecil sebenarnya turut menentukan tahap kesihatan pundi kencing anda? Lebih sukar lagi, keinginan atau gesaan membuang air kecil bukan sekadar masalah kecil tetapi turut menjadi petanda anda berkemungkinan besar mengalami gejala dikenali pundi kencing terlalu aktif atau Overactive Bladder (OAB).

Apa yang dikesali, majoriti mereka yang mengalami masalah kesihatan ini lebih sanggup menderita dalam diam daripada berkongsi dengan rakan-rakan rapat, keluarga mahupun pakar kesihatan. Alasan mereka - malu atau menganggap ia sebahagian daripada kesan atau proses peningkatan usia. Masalah sukar kawal kencing (incontinent) atau inkontinens itu turut menjejaskan kehidupan seharian. Ramai yang salah faham mengenai masalah ini apabila menganggap OAB sesuatu yang lumrah padahal ia sebenarnya boleh dirawat. Tindakan membiarkan masalah itu berlarutan sebaliknya boleh mengundang padah kerana ia menjejaskan kehidupan lelaki dan wanita pada semua peringkat umur.

Silap jika ada yang beranggapan masalah ini cuma dihadapi mereka di peringkat usia lanjut kerana gadis remaja pun tidak terkecuali. Kajian yang dilakukan ke atas wanita di 11 negara di Asia mendapati 53.1 peratus individu berusia di antara 29 hingga 59 dibelenggu masalah itu.

Apakah puncanya OAB ini? Ia disebabkan keadaan pundi kencing yang terlalu aktif sehingga menyebabkan pesakit perlu kerap ke tandas. Tanda-tanda paling penting OAB adalah rasa terdesak untuk buang air kecil, diikuti kekerapan dan perlu bangun sehingga dua kali atau lebih pada waktu siang atau malam untuk kencing.

Bagaimanapun OAB juga wujud pada individu yang mempunyai sistem saraf yang normal. Sebagai contoh jangkitan saluran kencing, batu karang atau ketumbuhan pundi kencing boleh menyebabkan aktiviti melampau pada otot 'detrusor' yang membawa gejala OAB. Apapun, punca sebenar yang menyebabkan OAB masih tidak dapat dipastikan.

Pakar urologi dan Presiden Yayasan Kontinens Malaysia (CFM), Dr Peter Ng, menjelaskan OAB boleh dilihat berdasarkan tiga ciri utama iaitu kekerapan, terdesak/gesaan dan bangun malam (F.U.N Frequency Urgency and Nocturia).

"Kekerapan bermaksud pesakit OAB berulang ke tandas berkali-kali manakala terdesak/gesaan menjelaskan rasa terdesak untuk membuang air kencing yang sukar ditangguh. Bangun malam pula merujuk kepada perbuatan sering bangun malam untuk membuang air kecil. Antara semua tanda-tanda ini, kekerapan adalah gejala yang paling penting dalam membuat penilaian OAB.

"Keadaan ini bukan saja merimaskan malah menyusahkan pesakit. Bayangkan mereka terpaksa ke tandas sebegitu kerap. Malah rasa gelisah sering melanda apabila mereka terpaksa melakukan tugasan penting seperti bermesyuarat sedangkan mereka asyik ke tandas.

"Selain itu, tidur dan rehat pesakit dan pasangannya juga boleh terganggu kerana sering terbangun malam untuk buang air kecil," katanya selepas pelancaran sejenis pil bagi melegakan OAB keluaran GlaxosmithKline (GSK) yang dikenali Vesicare (Solifenacin succinate), baru-baru ini.

Menurutnya, masalah itu menyebabkan penghidap OAB terpaksa remeh memikirkan lokasi tandas berhampiran tempat dituju.

"Akibatnya, mereka rasa tertekan, menyisihkan diri dan mengehadkan aktiviti yang menyebabkan kesejahteraan dan kualiti hidup terjejas," katanya.

Jelas Dr Peter lagi, ramai yang menghidap OAB keberatan untuk mendapatkan rawatan walaupun sekian lama terganggu akibat desakan untuk ke tandas. Ada yang malu untuk membincangkan secara terbuka manakala ramai yang menyangka ia adalah sebahagian daripada proses penuaan dan tidak perlukan perhatian dari segi perubatan.

"OAB adalah penyakit yang disahkan dan boleh dirawat dengan bantuan perubatan. Malah amalan senaman yang betul seperti senaman Kegel untuk melatih otot pelvik; melatih otot vagina; stimulasi elektrikal lantai pelvik selain terapi untuk melatih tabiat buang air kecil yang lebih sistematik boleh membantu," katanya.

Jenis ubatan yang digunakan untuk melegakan masalah kesihatan ini ialah Oxybutinin (Ditropan), Tolterodine, Darifenacin dan terbaru dalam kumpulannya ialah Solifenacin atau Vesicare.

Fakta: Faktor risiko OAB
  • Usia yang lanjut (20 peratus populasi berusia 70 ke atas mungkin akan melaporkan tanda OAB)
  • Strok
  • Kecederaan saraf tunjang
  • Dementia
  • Penyakit Parkinson
  • Diabetes
  • Pembesaran prostat
  • Pembedahan prostat
  • Hamil kembar
INFO: Tip tangani OAB
  • Ambil kira jumlah pengambilan cecair dan waktu pengambilannya.
  • Jauhi minuman kafein.
  • Amalkan pengambilan makanan yang kaya dengan serat atau ambillah makanan tambahan yang berserat.
  • Latih pundi kencing untuk melewatkan sedikit gesaan ke tandas apabila terasa ingin kencing.
  • Sesetengah orang berhadapan dengan masalah untuk mengosongkan pundi kencing dengan sepenuhnya. Justeru, tunggu beberapa minit selepas membuang air kecil untuk membuang air kecil kali kedua. Ini bagi memastikan pundi kencing benar-benar kosong.
  • Jadualkan waktu untuk anda membuang air kecil setiap hari. Misalnya, setiap dua atau tiga jam sekali. Ia lebih baik daripada anda ke tandas hanya selepas terasa ingin membuang air kecil.
  • Lakukan senaman otot lantai pelvik bagi menguatkan otot berkenaan dan saluran kencing anda.
  • Pakai pelapik seluar dalam bagi mengelakkan anda terkucil.
  • Kekalkan berat badan yang ideal.
Oleh Suzan Ahmad - suzan@bharian.com.my
Sumber: http://www.bharian.com.my/

No comments:

Post a Comment