Sunday, June 20, 2010

Bagaimana Mata Berfungsi Ketika Membaca


Untuk memahami bagaimana kepantasan membaca boleh dipertingkatkan kita perlu mengetahui sedikit sebanyak bagaimana mata berfungsi. Mata manusia adalah satu organ yang dikhususkan untuk mengesan cahaya. Seseorang boleh melihat sesuatu objek melalui bahagian mata yang dipanggil kanta (lens). Apabila cahaya memasuki mata, suatu imej yang nyata sampai ke retina iaitu suatu struktur di belakang mata yang mengandungi beratus-ratus juta sel saraf yang sangat sensitive kepada cahaya. Setengah sel saraf ini berbentuk kon dan sangat peka kepada keseluruhan cahaya. Semua sel saraf ini menghantar utusan terus kepada otak. Di otak, utusan saraf itu diterjemahkan sebagai kederiaan penglihatan. Sebenarnya, retina ini tidaklah terasing daripada otak. Ia patut dianggap sebagai suatu persambungan kepada otak (as an extension of the cortex).

Di bahagian tengah retina iaitu pada paksi optik terdapat suatu kawasan kecil yang dipanggil fovea atau pusat penglihatan. Kawasan ini dipenuhi oleh bintik kuning yang tidak mempunyai sel rod tetapi mempunyai sebilangan besar sel kon untuk membolehkan objek yang difokus pada fovea menjadi amat jelas.
Rajah: Mata

Di fovea ini pada dengan sel kon, lebih kurang suku juta sel pada setiap satu milimeter persegi. Ini membolehkan tanggapan imej yang sampai kepada fovea itu tajam dan halus daripada bahagian retina yang lain.

Apabila seseorang melihat secara terus kepada sesuatu objek, misalnya sebuah buku, cahaya dari objek itu terus ke fovea. Jika kita melihat pada suatu barisan perkataan dari suatu muka surat sejauh lebih kurang dua kaki dari mata anda, hanya lebih kurang tiga huruf sahaja yang menjadi pusat penglihatan dalam suatu ketika penglihatan, hingga akhirnya lingkaran pandangan itu tinggal samar-samar sahaja. Ada dua implikasi yang penting semasa seseorang itu membaca;
  1. Mata bergerak di sepanjang barisan supaya bahagian-bahagian lain pada barisan itu akan menjadi fokus kepada fovea.
  2. Untuk melihat sesuatu objek dengan jelas, mata mestilah berhenti bergerak seketika supaya imej yang sampai pada fovea itu dapat dihantar kepada otak.
Menurut Javal (1878), mata bergerak secara genjuran. Semenjak dari itu ahli psikologi menyebutnya sebagai pergerakan genjuran mata (saccades eye movement). Pada masa seseorang itu membaca, matanya jarang berhenti daripada bergerak lebih daripada setengah saat. Seseorang itu tidak menyedari genjuran mata itu berlaku kerana maklumat yang diproses kepada otak dari suatu ketetapan {fixation) ke suatu ketetapan yang lain semasa membaca itu berlaku dengan cara yang licin dan berterusan.

No comments:

Post a Comment