Tuesday, June 29, 2010

SEJARAH PENUBUHAN MAKTAB PERGURUAN TEKNIK


Selaras dengan syor-syor dalam Penyata Razak dan Penyata Rahman Talib tentang pendidikan teknik dan vokasional, Jawatankuasa Penyemak Dasar Pelajaran 1960 mencadangkan sebuah maktab perguruan teknik ditubuhkan selewat-lewatnya pada tahun 1962. Oleh itu dalam bulan Jun 1960, Kerajaan Persekutuan telah bersetuju untuk mendapatkan pakar teknik dari Kanada bagi mengkaji penubuhan maktab perguruan teknik di negara ini.

Kemudian pada bulan Jun 1961, dengan kerjasama Kerajaan Kanada melalui Rancangan Colombo, dua orang pakar pendidikan teknik dan vokasional Kanada iaitu Encik C.C. Aschroft, pakar kejuruteraan dan bekas Pengetua Maktab Perguruan Teknik Ontario, Kanada dan Encik D.T. Dingwell, bekas guru teknik di Junior Technical Trade School, Kuala Lumpur (1956-1958) telah datang ke negara ini untuk membuat kajian. Hasilnya, mereka telah mengesyorkan kepada kerajaan beberapa langkah yang perlu diambil termasuklah anggaran perbelanjaan pembinaan bangunan, reka bentuk bangunan, bengkel, makmal, kurikulum dan sebagainya.Berikutan itu, satu perjanjian kerjasama lima tahun telah ditandatangani antara Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu dengan Kerajaan Kanada. Mengikut perjanjian tersebut, Kerajaan Kanada bertanggungjawab untuk menyediakan tenaga pengajar, merangka data kursus dan menganjurkan latihan untuk kakitangan tempatan di Kanada.

Dengan itu lahirlah Maktab Perguruan Teknik (MPT) pada 17 Mei 1962, selepas tibanya sekumpulan guru teknik dan vokasional dari Kanada yang diketuai oleh Encik B.F. Addy. Bangunan MPT yang pertama terletak di Jalan Damansara, Kuala Lumpur. Bangunan ini adalah bekas bangunan Kolej Perempuan Melayu (Malay Girl's College) yang telah berpindah ke Seremban, Negeri Sembilan. Kemudian pada akhir tahun 1967 apabila perkhidmatan kakitangan dari Kanada tamat, semua tanggungjawab untuk mengurus maktab ini diambil alih oleh pegawai-pegawai tempatan.Peranan maktab ini telah menjadi bertambah penting dengan terlaksananya Sistem Pelajaran Aneka Jurusan dalam tahun 1965 yang memperkenalkan empat mata pelajaran baru di peringkat sekolah menengah rendah, iaitu Seni Perusahaan, Sains Pertanian, Perdagangan dan Sains Rumah Tangga.

MPT mula mengendalikan Kursus Pertukangan pada awal tahun 1970, apabila jabatan berkenaan di Maktab Perguruan Pertukangan di Kuantan dipindahkan ke sini. Pada tahun 1972 kursus Pengajian Perdagangan pula dimulakan apabila Jabatan Pengajian Perdagangan Maktab Perguruan Ilmu Khas dipindahkan ke maktab ini dalam usaha menggabungkan jurusan teknik dan vokasional.
MPT juga telah mengendalikan latihan perguruan dalam tiga komponen kursus Kemahiran Hidup: Ekonomi Rumah Tangga, Kemahiran Manipulatif Tambahan dan Pertanian sejak 1989 sehingga kursus-kursus tersebut dipindahkan ke Maktab Perguruan Batu Pahat dalam tahun 1992.Mulai tahun 2006, MPT dinaiktarafkan dengan kemampuan menganugerakan Ijazah Perguruan kepada para pelajarnya. Ia mula dikenali sebagai Institut Perguruan Teknik (IPTKL).

No comments:

Post a Comment