Monday, June 28, 2010

Rentap


Masyarakat Sarawak di sini terdiri daripada pelbagai bangsa terutama masyarakat Iban, Melayu dan Cina. Masyarakat Iban Betong kebanyakkannya tinggal di kawasan pedalaman di sepanjang Sungai Layar, Sungai Spak dan Sungai Padeh. Di kawasan Spaoh dan Debak pula lebih tertumpu di kawasan Ulu Paku, Ulu Rimbas, Ulu Bayor dan sedikit tinggal di sepanjang jalan Pusa. Mereka mengamalkan pertanian pindah (padi bukit) di samping getah, lada dan koko sebagai tanaman komersial. Antara tokoh terkenal masyarakat Iban pada masa dahulu di kawasan ini termasuklah seorang panglima yang bernama Rentap.

Manakala masyarakat Melayu pula ramai yang mendiami kawasan hiliran dan persisiran pantai meliputi kawasan Pusa, Debak, Spaoh dan Maludam sedikit di kawasan pinggiran pekan. Pekerjaan tradisi masyarakat ini termasuklah menjadi nelayan terutama di Kampung Pusa dan sekitarnya. Mereka juga pada zaman awalnya bergiat dalam usaha penanaman padi di pinggiran sungai. Selain daripada itu, ada juga yang melibatkan diri dengan aktiviti pembalakan terutama di sekitar Beladin. Seperti juga masyarakat Iban, masyarakat Melayu di sini juga tidak kurang hebatnya dengan nama-nama tokoh terkenal seperti nama Datuk Patinggi Udin, Abang Abdul Kadir, Abang Godam dan Datuk Patinggi Kedit.


Penduduk Cina pula kebanyakannya tinggal di pekan, sama ada di Betong, Spaoh, Debak, Pusa dan Maludam. Pada tahun 1927, pekan Betong dikatakan mempunyai 16 buah unit kedai sahaja yang dimonopoli oleh masyarakat Cina. Tidak dinafikan juga masyarakat Cina di sini pada awalnya ada yang tinggal di pinggir pekan bagi mengusaha tanaman sayur-sayuran. Golongan ini lebih dikenali sebagai 'Cina Kebun'.

Seperti juga di daerah-daerah lain di negeri Sarawak, Betong juga mempunyai latar belakang sejarah perjuangan menentang penjajah. Antaranya kisah perjuangan Panglima Rentap yang menentang "White Colonial Regime" yang diketuai oleh Rajah Brooke pada sekitar tahun 1840 dan 60-an di Layar dan Sungai Skrang. Untuk menangani masalah pemberontakan ini, Regime Brooke telah membina sebuah kubu yang dinamakan sebagai 'Fort Lily' bagi tujuan pertahanan yang seterusnya telah dijadikan pusat pentadbiran pada tahun 1858. Pemberontakan kaum Iban yang diketuai oleh Rentap ini berakhir apabila Regim Brooke membuat serangan besar-besaran sebanyak tiga kali iaitu pada tahun 1857, 1858 dan 1861.

Sumber: http://sejarahmalaysia.pnm.my/

No comments:

Post a Comment